Ucapan Penuh Emosi Hazard Mencuri Perhatian Ramai

Para pemain Real Madrid memeluk erat Eden Hazard selepas bintang Belgium itu memberikan ucapan yang sungguh beremosi ketika keraian mereka menjuarai saingan Champions League musim ini.

Hazard turut berjanji di hadapan para penyokong yang beliau pada musim hadapan akan berusaha untuk memberikan yang terbaik dan mahu membantu kelab memenangi pelbagai kejuaraan.

Pemain kebangsaan Belgium itu melalui karier yang mengerikan di Santiago Bernabeu yang mana beliau kerap diganggu dek masalah kecederaan selepas ditandatangani dengan nilai £88.5 juta dari Chelsea.

Masalah kecederaan jelas sekali membataskan aksi beliau bersama Los Blancos dengan Hazard sepanjang kariernya bersama Real Madrid, beliau hanya mampu menjaringkan 6 gol sahaja.

Walau kerap diketepikan, namun beliau tetap tersenarai dalam senarai skuad Real Madrid yang berjaya memenangi dua gelaran La Liga sebelum ini.

Beliau turut berjaya memenangi gelaran Champions League musim ini bersama Real Madrid selepas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu menewaskan Liverpool 1-0 kemarin.

Walau bagaimanapun, Hazard hanya beraksi selama 83 minit sahaja sepanjang musim ini dalam saingan Champions League bersama Real Madrid.

Dalam saingan La Liga pula, beliau hanya sempat membuat tujuh penampilan sahaja dalam kesebelasan utama Real Madrid musim ini.

Dan ketika pemain seperti Vinicius Jr dan Rodrygo memainkan peranan penting dalam membantu Real Madrid memenangi gelaran Champions League ke-14 mereka, Hazard tampil memberitahu peminat yang mereka akan mampu menyaksikan yang terbaik darinya musim hadapan.

“Ia merupakan tiga tahun yang sangat sukar, tapi tahun hadapan, saya akan berikan segalanya untuk kamu semua.”

Jelas Hazard di atas pentas selepas beliau mengambil microphone untuk berucap ketika keraian Champions League mereka di Plaza de Cibele.

“Saya yakin yang tahun hadapan merupakan milik saya, saya tak ragu-ragu.”

Rakan sepasukannya yang mendengar ucapan Hazard itu kemudiannya segera memeluk beliau sambil melompat-lompat memberi semangat kepadanya.

Para peminat turut mengucapkan selamat tinggal kepada ketua pasukan, Marcelo yang akan meninggalkan kelab penghujung musim ini selepas mengharungi 15 tahun karier yang gemilang di Santiago Bernabeu.

Pemain left-back Brazil itu telah berjaya memenangi 25 piala sepanjang kariernya bersama Real Madrid dan jelas sekali beliau sangat beremosi ketika mengucapkan selamat tinggal kepada para peminat.

Beliau akan meninggalkan Real Madrid sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah kelab dengan Marcelo turut menyatakan bahawa:

“Saya sangat gembira, saya berpuas hati. Saya habiskan perjalanan saya di Madrid sebagai pemain tapi saya akan tetap bersama kelab ini kerana kelab ini merupakan kehidupan saya. Saya akan bermain di luar sebentar dan saya akan kembali.”

Baru-baru ini turut tular video yang memperlihatkan bagaimana Carlo Ancelotti berjaya menaikkan semangat anak-anak buahnya hanya dengan ucapan ringkas beliau.

Ucapan motivasi Ancelotti berjaya menaikkan semangat pemain Real Madrid

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti telah memberi ucapan yang berjaya menaikkan semangat anak-anak buahnya menjelang aksi perlawanan akhir bertemu Liverpool kemarin.

Real Madrid berjaya menewaskan Liverpool 1-0 ketika aksi dalam perlawanan akhir saingan Champions League di Paris kemarin.

Pengurus dari Itali itu kembali menjadi pengurus Real Madrid buat kali kedua selepas beliau memutuskan untuk meninggalkan Everton pada Julai lalu.

Menjelang aksi sepak mula perlawanan akhir, Ancelotti tampil memberi semangat kepada anak-anak buahnya agar lebih tenang dan yakin untuk turun bertemu Liverpool.

“Ia memerlukan keberanian yang menakjubkan untuk sampai ke tahap ini.”

Jelas Ancelotti pada Jumaat lalu.

“Kita melalui musim yang sungguh hebat pada musim ini dan kita semakin hampir untuk mencapai sesuatu yang besar pada musim ini.”

Beliau kemudiannya menyambung lagi dengan menyatakan:

“Kami sangat tenang di kem, saya di sini untuk menguruskan perlawanan dengan pemain senior membantu pemain muda dan ada atmosphere yang menakjubkan dalam skuad dengan mereka semua turut sangat yakin.”

Ancelotti kemudiannya terus menerus menambah lagi keyakinan anak-anak buahnya pada Jumaat lalu sebelum sepak mula perlawanan akhir Champions League di Paris.

Ketika para pemain Real Madrid menjalani sesi latihan akhir, pengurus berusia 62 tahun itu telah memberi arahan kepada anak-anak buahnya supaya berkumpul di tengah-tengah padang di stadium Stade de France.

BT Sport memuat naik video ucapan penuh bersemangat itu yang membantu meningkatkan keyakinan para pemain.

Menurut siaran TV Sepanyol, El Chiringuito, Ancelotti mendedahkan bahawa:

“Apa yang telah kita lakukan sehingga sekarang ia sudah tak penting ketika ini. Jadi esok, kamu kena biasakan diri dengan itu.”

“Kamu semua sudah ada di sini dan kamu perlu nikmati perlawanan terpenting dalam dunia bola sepak. Ia akan jadi sesuatu yang indah, tapi ia memang akan jadi sukar.”

“Perlawanan akhir esok akan jadi seperti satu acara besar. Dan selepas perlawanan, kita semua akan bergembira.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bale, Marcelo Dan Hazard Antara 6 Pemain Yang Real Mahu Lepaskan Januari Ini