Eden Hazard Mahu Kuburkan VAR Dari Dunia Bola Sepak

Eden Hazard menegaskan yang beliau sememangnya tidak gembira dengan kewujudan sistem Video Assistant Referee (VAR) dalam dunia bola sepak.

Bekas bintang Chelsea itu juga turut menyatakan yang beliau sangat berhasrat mahu menguburkan sistem itu dari terus digunakan.

Bintang Real Madrid itu bercakap tentang impak negatif yang disebabkan oleh penggunaan sistem tersebut sejak dari awal ia diperkenalkan.

Pemain kebangsaan Belgium itu turut menegaskan yang sudah menjadi lumrah andai pengadil melakukan kesilapan ketika membuat keputusan dan VAR bukan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam satu temu bual bersama ESPN, wartawan tersebut telah bertanya kepada Hazard bahawa:

“Jika ada satu hal yang boleh kamu ubah dalam dunia bola sepak, pertukaran peraturan, atau sesuatu yang kamu rasa kamu mahu lihat ada perubahan, apa yang kamu mahu ubah tentang dunia sukan ini?”

Hazard pada awalnya mengambil masa untuk mencari jawapan dengan beliau kemudiannya menjawab:

“Tentang permainan ini? biar saya berfikir seketika.”

Bintang Real Madrid itu kemudiannya memilih untuk menguburkan VAR dari dunia bola sepak sebagai jawapan beliau.

“Kamu tahu saya tak suka sangat dengan VAR ini. Saya memang tak suka, saya akan buang itu.”

Beliau kemudiannya telah menjelaskan tentang mengapa beliau mahu menguburkan VAR dari dunia bola sepak dengan menyatakan:

“Kerana ia sebahagian dari bola sepak yang mana pengadil juga turut melakukan kesilapan dan kamu tahu, kerana orang kerap mengeluh maka kerana itulah mereka cetuskan VAR ini.”

Pemain kebangsaan Belgium itu kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan bahawa:

“Kamu tahu selepas menjaringkan gol, kami semua kena tunggu dan ia seolah-olah mengurangkan sikit kegembiraan ketika kamu dapat menjaringkan gol. Kamu selalu rasa macam, ‘Ada VAR’ jadi saya rasa memang saya mahu buang itu.”

VAR telah di bawa masuk untuk memudahkan pengadil membuat keputusan dan keputusan itu sepertinya sukar untuk dibantah.

Walau bagaimanapun, penggunaan sistem tersebut sebenarnya kerap mencetuskan kontroversi sejak dari awal ia diperkenalkan dan digunakan dalam dunia bola sepak.

Dalam saingan Premier League, VAR merupakan satu hal yang konsisten menjadi topik perbualan hangat semua pihak dan pengadil perlawanan kebiasaannya mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan berbanding dalam pertandingan lain.

Para peminat sebaliknya lebih kuat bersorak ketika menanti pengadil menyemak video berbanding ketika bersorak meraikan gol sebenar.

Bekas bintang Manchester United, Rio Ferdinand turut ada bercakap tentang VAR pada bulan lalu dengan menyatakan:

“Kadang kala ia ok tapi ia sekadar untuk membantu dalam sesuatu situasi itu sahaja dan sebenarnya ia mengeruhkan keadaan. Di pentas antarabangsa mereka akan pergi dan lihat skrin dan dengan segera membuat keputusan jadi ia nampak lebih effisyen dan lebih berkesan berbanding penggunaan ia dalam saingan Premier League.”

Jelas Ferdinand menurut Metro.

“Saya lebih memilih pengadil yang mengendalikan permainan yang membuat keputusan dengan bantuan dari penjaga garisan. Ia akan menjadikan bola sepak lebih menarik untuk dibincangkan.”

Selain Hazard dan Rio Ferdinand, ramai lagi sebenarnya individu berpengaruh dalam dunia bola sepak yang sama sekali tak gembira dengan kewujudan VAR.

Bahkan ada pihak yang menganggap VAR sebenarnya membunuh keseronokkan dalam dunia bola sepak dan kerana itulah mereka tak gembira sistem itu diperkenalkan.

Walau bagaimanapun, seperti yang Ferdinand sendiri nyatakan, VAR sebenarnya ada sisi kebaikkannya yang tersendiri, namun tidak dinafikan yang sistem tersebut juga sebenarnya sangat bermasalah.

Sumber: SPORTbibble

BACA:  Ramos Mengamuk Di Padang Latihan Selepas Disiku Pemain Remaja Real Madrid