Bale Tidak Tolak Kemungkinan Sertai Bayern Munich Pada Masa Hadapan

Pemain Real Madrid, Gareth Bale tidak menolak kemungkinan untuk menyertai Bayern Munich pada jendela perpindahan musim panas yang akan datang.

Pemain antarabangsa Wales ini mengharungi musim yang mengecewakan akibat dibelenggu masalah kecederaan berterusan dan ia telah mengganggu prestasi beliau musim ini.

Ada kemungkinan Bale akan berpindah ke Jerman musim panas nanti, bukan Manchester United

Bale dilaporkan bersedia untuk mencari angin baru musim hadapan dan telah dikaitkan dengan kepulangan ke Liga Perdana Inggeris untuk bermain di bawah Jose Mourinho.

Walaubagaimanapun, Manchester United mungkin berdepan cabaran untuk mendapatkan khidmat Bale kerana juara Bundesliga musim ini, Bayern Munich bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan Bale.

Bale menyertai Real Madrid dari Tottenham pada tahun 2013 dalam perjanjian bernilai €91juta untuk menjadikan beliau pemain termahal dunia ketika itu.

Walaupun berjaya membantu Los Blancos merangkul 3 trofi Liga Juara-Juara dalam 4 musim terakhir, Bale telah menerima kritikan pedas daripada beberapa pihak atas persembahan beliau musim ini. Setakat musim ini, beliau telah berjaya menjaringkan 14 gol dalam semua pertandingan buat Los Blancos.

Bayern Munich sering kecundang di tangan Real Madrid setiap kali kedua-dua pasukan ini bertembung di pusingan kalah mati UCL

Antara kritikan yang diterima Bale hadir daripada bekas pemain dan pengurus besar Real Madrid yang mendakwa persembahan Bale tidak mencerminkan pemain yang dibeli dengan harga €100juta.

Bale sedang bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok menentang Bayern Munich dan ketika bercakap kepada SportBild, Bale enggan mengesahkan masa depannya bersama Real Madrid.

“Dalam bolasepak, anda tidak boleh katakan tidak. Buat masa sekarang, saya bermain untuk Real Madrid dan sedang menikmati pengalaman ini. Bayern Munich mempunyai pasukan yang hebat dan mereka dianggap sebagai salah sebuah kelab paling berjaya di Eropah.”

“Setiap pemain akan berbesar hati apabila dikaitkan dengan kelab seperti Bayern Munich. Tetapi buat masa sekarang, saya adalah pemain Real Madrid.”

Jika Bale dikaitkan dengan perpindahan ke Jerman, penyerang sensasi Bayern Munich Robert Lewandowski pula dilaporkan menjadi sasaran Real Madrid musim panas ini.

Jangan masuk Real Madrid bro. Ko power macam mane pon Benzema jugak yang main nanti

Bekas pemain Dortmund ini meneruskan prestasi cemerlang beliau dengan menjaringkan 39 gol untuk Bayern Munich dalam semua pertandingan musim ini. Dan Bale tidak meragui penyerang antarabangsa Poland ini akan berjaya di Sepanyol sekiranya beliau mengambil keputusan untuk berhijrah.

“Robert Lewandowski mempunyai kualiti untuk bermain dengan Real Madrid. Beliau merupakan antara penyerang terbaik dunia ketika ini. Bayern Munich dan pasukan kebangsaan Poland mendapat jaminan gol sekiranya beliau bermain.”

“Real Madrid sedar dengan ancaman serius daripada Lewandowski. Beliau penjaring gol yang hebat dan kami akan cuba untuk merantai pergerakan beliau.”

BACA:  Vinicius Jr Terlepas Peluang Terhidang Luas