Chelsea Setuju Dapatkan Gonzalo Higuain Secara Pinjaman Daripada Juventus

Menurut laporan dari Sky Italy, Chelsea telah bersetuju untuk mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Argentina, Gonzalo Higuain daripada Juventus secara pinjaman sehingga penghujung musim ini.

Perjanjian pinjaman itu juga boleh disambung untuk 12 bulan yang seterusnya bergantung atas beberapa perkara.

Peminat Chelsea menghitung hari menunggu ketibaan Higuain yang kini mencecah usia 31 tahun

Higuain kini bermain bersama AC Milan secara pinjaman sejak awal musim dengan Juventus terpaksa melepaskan Higuain bagi memberikan ruang kepada Cristiano Ronaldo dalam skuad mereka.

Difahamkan pihak atasan Chelsea tidak berapa berkenan dengan idea untuk membawa Higuain masuk ke Stamford Bridge, tetapi ketua jurulatih Maurizio Sarri berkeras mahu kembali bekerjasama dengan Higuain di Chelsea.

Chelsea berdepan masalah ketumpulan di jentera serangan musim ini dengan Alvaro Morata dan Olivier Giroud dilihat gagal menjalankan tugas dengan baik. Disebabkan masalah tersebut, Sarri kerap menggunakan Eden Hazard sebagai ‘false 9’ dalam perlawana-perlawanan besar.

Menurut laporan dari Itali lagi, Ketua Eksekutif Chelsea Marina Granovskaia masih lagi tidak percaya Higuain akan menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan pasukan tersebut.

Segalanya bagaikan tidak menjadi buat Higuain di Milan

Bekas pemain Real Madrid itu dilaporkan ingin kembali bersatu dengan pengurusnya di Napoli dahulu, Maurizio Sarri yang kini menjadi ketua jurulatih di Chelsea.

Higuain mengharungi musim terbaik sepanjang kariernya ketika bermain di bawah Sarri dimana beliau berjaya memecahkan rekod Serie A dengan menjaringkan 36 gol pada musim 2016/2016.

Sebelum ini, pengurus AC Milan Gennaro Gattuso mengesahkan Gonzalo Higuain ingin meninggalkan kelab tersebut.

Walau bagaimanapun, Higuain gagal mempamerkan persembahan seperti yang dikehendaki peminat Milan dan pemain antarabangsa Argentina itu hanya mampu menjaringkan 8 gol sahaja dalam semua pertandingan setakat ini.

“Apabila pemain sudah membuat keputusan, amat susah untuk kami mengubahnya. Saya mempunyai hubungan dengan Higuain yang berlandaskan kejujuran. Jika kami ingin mengatakan sesuatu, kami bercakap depan-depan.”

“Buat masa sekarang, Higuain masih lagi pemain kami dan kami berpegang teguh terhadapnya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.”

“Saya sudah bercakap dengan Higuain panjang lebar tetapi agak sukar untuk memberi nasihat kepadanya kerana karier seorang pemain hanya bertahan selama 13-14 tahun.” Tambah Gattuso lagi.

Bakal kembali bergabung di Stamford Bridge

“Ia keputusan Higuain, bukan saya. Perkara paling penting adalah kami berbincang seperti anak jantan, memandang mata ke mata dan bercakap perkara yang sebenar.”

“Saya masih lagi tidak faham mengapa Higuain berasa kurang gembira kerana dari apa yang saya lihat, beliau kelihatan gembira dan bercampur dengan baik dalam bilik persalinan.”

“Kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti. Jika segala-galanya terletak di bahu saya, saya akan simpan Higuain di rumah saya dan menghidangkan makan malam kepada beliau.”

BACA:  Premier League 2020/21: West Bromwich Albion 3-3 Chelsea