Conte Berjaya Catat Kemenangan Dalam Aksi Debutnya Sebagai Pengurus Tottenham Hotspur

Antonio Conte memulakan kariernya sebagai pengurus Tottenham Hotspur dengan membantu kelabnya mencatat kemenangan dalam saingan Europa Conference League.

Beliau berjaya membantu Tottenham Hotspur menewaskan Vitesse 3-2 dalam perlawanan yang panas dan kontroversi yang memperlihatkan tiga kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan.

Ketibaan Conte di ibu kota London itu seolah-olah menghidupkan semula harapan para penyokong Spurs untuk melihat kelab mereka menjulang Piala pertama.

Conte menunjukkan karisma dan gaya seorang pengurus berkelas dunia ketika berdiri di tepi padang sambil memberi arahan kepada anak-anak buahnya yang bermain dengan 10 orang pemain, untuk menewaskan pasukan yang bermain dengan sembilan orang pemain.

Conte disambut dengan penuh meriah oleh para penyokong Spurs di Tottenham Hotspur Stadium, dengan perlawanan ini merupakan aksi debut beliau sebagai pengurus baharu kelab.

Beliau juga sepertinya gembira dengan sambutan dari para peminat yang menyambut dan meraikan kedatangan beliau ke bumi London itu.

Bermain dengan formasi 3-4-3, Conte menurunkan kesebelasan terbaik dan paling beliau percayai dalam perlawanan ini.

Son Heung Min membuka tirai jaringan untuk Tottenham Hotspur pada minit ke-14 permainan, untuk Spurs mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.

Lucas Moura kemudiannya menggandakan kedudukan lapan minit selepas itu, hasil umpanan cantik dari Harry Kane.

Jacob Rasmussen menjaringkan gol sendiri ketika cuba menghalang percubaan dari Harry Kane pada minit ke-28 permainan untuk meletakkan Spurs 3 gol dihadapan.

Ia merupakan satu permulaan yang sangat baik untuk anak-anak buah Antonio Conte dengan mereka sudah berjaya menjaringkan tiga gol dari 30 minit aksi permainan.

Walau bagaimanapun, Rasmussen kemudiannya berjaya menebus kesilapan awal beliau dengan meledak gol pertama untuk Vitesse cuba mengejar Spurs.

Sebelum rehat separuh masa, hasil kesilapan dungu dari Lucas Moura, pasukan pelawat berjaya memperoleh gol kedua dalam perlawanan ini untuk mengubah kedudukan menjadi 3-2.

Perlawanan yang awalnya disajikan dengan kedua-dua pasukan berusaha meledak gol berubah menjadi semakin panas pada aksi babak kedua perlawanan.

Tottenham Hotspur yang sedang risau pasukan pelawat akan melakukan comeback semakin tertekan selepas Christian Romero dilayangkan kad merah pada minit ke-59 permainan.

Pemain kebangsaan Argentina itu dilayangkan kad merah selepas menerima amaran kedua dalam perlawanan ini.

Lloris kemudiannya berjaya menjadi wira Tottenham Hotspur dengan beliau cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan dari pasukan lawan.

Pasukan pelawat walau bagaimanapun gagal memanfaatkan kesempatan bermain dengan kelebihan seorang dan tidak mampu untuk mencari gol penyamaan.

Mereka kemudiannya terpaksa berpuas hati bermain dengan 10 orang pemain, selepas ketua pasukan lawan, Danilho Doekhi menerima kad kuning kedua pada minit ke-80 permainan.

Empat minit selepas kehilangan seorang pemain, Vitesse terpaksa akur kehilangan seorang lagi pemain selepas penjaga gol, Markus Schubert dilayangkan kad merah kerana menahan bola percubaan Emerson Royal menggunakan tangan di luar kotak penalti.

Dua kad merah itu secara tidak langsung menghancurkan harapan Vitesse untuk kembali bangkit, dan setidak-tidaknya mengutip satu mata.

Conte sepertinya berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan ini, dengan beliau memberi pujian kepada para pemainnya selepas tamat perlawanan.

“Ia merupakan perlawanan yang gila.”

Jelas Conte kepada BT Sport.

“Kebiasaannya saya tak suka dengan permainan seperti ini kerana dalam perlawanan semuanya boleh berlaku, tapi pada masa sama saya rasa kami patut menang dan kami benar-benar menang.”

“Kami mendahului 3-0 dan kemudian bolos dua yang mana ia sepatutnya boleh kami elak dan selepas kad merah, kami dalam masalah, tapi says rasa mencatat kemenangan dengan sukar adalah bagus untuk pasukan dan para pemain ini perlu perbaiki keyakinan mereka.”

“Mereka perlu bekerja lebih keras dan masalahnya adalah kita perlu cari masa sesuai untuk lakukan itu.”

“Saya gembira kerana saya jumpa sekumpulan pemain yang menunjukkan kepada saya kemampuan yang menakjubkan. Malam ini mereka mahu menang dan atas alasan ini kami menang, tapi sudah tentu kami perlu perbaiki lebih banyak.”

“Saya rasa ini merupakan hal yang sangat positif.”

“Dalam fikiran saya, masih banyak yang boleh diperbaiki oleh setiap pemain ini.”

“Ia bukan mudah kerana kita bersedia untuk perlawanan ini dan hanya ada satu hari sahaja kerana esok mustahil untuk bekerjasama dengan pemain ini yang sudah bermain hari ini, kerana mereka sudah tentu perlu rehat lepas keluarkan banyak tenaga.”

“Kita akan berlatih bersama pemain yang tidak bermain.”

“Kita perlu lebih bersabar kerana kita ada banyak yang perlu ubah. Taktikal, fizikal dan untuk pemain tahu apa saya mahu, tapi saya tak takut dengan semua cabaran ini.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Sembang Falsafah : Kenali Wing Back, Winger & Inside Forward!