Courtois: Cintaku Tertinggal di Madrid

Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois menghangatkan lagi spekulasi perpindahan beliau ke Real Madrid selepas beliau dipetik berkata hatinya berada di Madrid, walaupun sedang dalam perbincangan bagi melanjutkan kontraknya di Chelsea.

Penjaga gol Belgium ini mempunyai kontrak di Stamford Bridge sehingga 2019, tetapi masih lagi belum menandatangani kontrak baru untuk terus kekal bersama Chelsea.

Maaf Chelsea, tetapi hatiku berada di Madrid

Courtois dilaporkan menjadi calon utama untuk mengisi posisi penjaga gol utama Real Madrid musim hadapan, dengan Los Blancos bakal melakukan rombakan besar-besaran selepas mengharungi musim yang amat mengecewakan.

Dalams satu temuramah bersama majalah sukan Belgium Sport/Foot Magazine, Courtois mengesahkan perbincangan sedang dilakukan di antara ejennya dan Chelsea berhubung kontrak baru. Beliau turut berkata hatinya berada di Madrid kerana dua anaknya kini tinggal di sana.

“Situasi peribadi saya sekarang amat berkait rapat dengan bandar Madrid. Kedua-dua anak saya kini tinggal di Madrid bersama ibu mereka. Saya ber ‘Facetime’ setiap hari dengan anak perempuan saya. Dia selalu berkata yang dia sangat rindukan saya. Anak lelaki saya pula masih lagi terlalu kecil untuk berkata-kata.”

Bekas teman wanita Courtois membawa anak-anak mereka pulang ke Sepanyol, meninggalkan Courtois keseorangan di London

“Setiap kali ada masa terluang, saya akan pergi ke Sepanyol untuk berjumpa dengan anak-anak saya. Situasi ini agak sukar buat saya. Betul, hati saya kini berada di Madrid. Perkara ini logik dan mudah untuk difahami.”

“Jika Real Madrid berminat untuk mendapatkan khidmat saya, mereka perlu berbincang dengan Chelsea. Tetapi, buat masa sekarang tiada sebarang perbincangan berlaku di antara Real Madrid dan Chelsea. Apa yang pasti, suatu hari nanti saya akan pulang ke Madrid.”

“Saya amat menyukai Sepanyol dan bandarnya. Saya bermain di Sepanyol selama 3 musim bersama Atletico Madrid, dimana saya berubah menjadi seorang dewasa.”

Detik terindah Coutois di Sepanyol adalah ketika membantu Atletico Madrid memenangi La Liga

“Atletico Madrid merupakan sekumpulan pemain yang amat rapat. Kami keluar bersama-sama dan rakan sepasukan turut mengajar bahasa Sepanyol kepada saya. Apabila tiba masa untuk saya berpindah, saya mengalirkan airmata.”

“Permulaan hidup saya di London agak sukar. Ketika saya mula-mula tiba, cuaca agak sejuk dan segalanya adalah bisnes. Tetapi sekarang, saya sudah menyesuaikan diri dan berasa bagus disini.”

“Saya faham terdapat spekulasi mengenai perpindahan saya ke Real Madrid kerana mereka mahu mendapatkan penjaga gol yang baru. Tetapi saya tidak hiraukan perkara sebegini kerana fokus saya tetap pada Chelsea.”

BACA:  Media Sepanyol Dedah Man Utd Diam-Diam Risik Ancelotti Ganti Ten Hag