David de Gea Dalam Perbincangan Sertai Real Madrid

Real Madrid telah memulakan perbincangan dengan bekas penjaga gol Manchester United, David de Gea setelah Thibaut Courtois disahkan mengalami kecederaan ACL.

Courtois mengalami kecederaan serius itu ketika menjalani latihan, beberapa hari sebelum bermulanya musim baharu La Liga 2023/24 menentang Athletic Bilbao di San Mames pada hujung minggi ini.

Kebiasaannya kecederaan ACL akan menyebabkan seseorang pemain terpaksa berehat panjang hampir keseluruhan musim untuk pulih sepenuhnya.

Pada masa ini Andriy Lunin dijangka akan mengambil peranan sebagai penjaga gawang Los Blancos. Namun demikian penjaga gol berusia 24 tahun itu adalah satu-satunya pemain di posisi tersebut di dalam senarai daftar skuad pada masa ini.

Selain Lunin, Real Madrid turut memiliki penjaga gol berusia 21 tahun, Lucas Canizares yang tidak pernah melakukan sebarang penampilan bersama skuad utama.

Pada masa ini De Gea adalah ejen bebas selepas kontraknya bersama Manchester United tamat pada Jun lalu.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu turut menarik perhatian dariapda kelab Saudi Pro League, selain turut berada di dalam radar Bayern Munich setelah kelab Jerman itu membenarkan Yann Sommer menyertai Inter Milan sebagai pengganti Andre Onana.

Sumber daripada 90min mengatakan Real Madrid begitu terdesak untuk mendapatkan De Gea. Malah kelab Sepanyol itu dikatakan sudah menyediakan kontrak sebelum menemui wakil De Gea.

Madrid bukan bandar yang asing buat De Gea kerana penjaga gol itu adalah produk akademi Atletico Madrid yang merupakan seteru setempat Real Madrid.

Penjaga gol itu melakukan penampilan pertama bersama Atletico pada 2009 pada usia remaja. Prestasi cemerlangnya kemudian diintai Manchester United sebelum dipancing oleh kelab itu sebagai pengganti Edwin van der Sar.

Hanya berusia 20 tahun pada ketika itu, De Gea pada mulanya bergelut di Premier League kerana fizikalnya walaupun membantu kelab itu muncul juara liga pada 2013.

Musim 2014 sehingga 2016, De Gea dianggap sebagai antara penjaga gol terbaik dunia dan dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid pada 2015 – sebelum digagalkan oleh mesin faks yang tidak berfungsi.

Dan lapan tahun selepas itu, De Gea kini semakin hampir untuk menyertai Real Madrid.

BACA:  Hazard Akui Berbelah Bahagi Sama Ada Untuk Memilih Real Madrid Atau Chelsea