Delegasi Arsenal Tiba Di Jerman Untuk Memuktamadkan Perjanjian Aubameyang

Penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang semakin hampir untuk menyertai Arsenal selepas delegasi dari Arsenal tiba di Jerman untuk mengadakan perbincangan rasmi bersama Dortmund.

Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis telah tiba di Jerman bagi mewakili Arsenal dalam perbincangan untuk membawa pemain antarabangsa Gabon ini ke Emirates.

X sabor nak ke Arsenal sampai tunggu kat airport

Gazidis bersama Huss Fahmy (penasihat kontrak) dan Sven Mislintat (Ketua Pencari Bakat) tiba dari England tengah hari kelmarin bagi mengadakan perbincangan dengan ejen Aubameyang dan seterusnya bersama pegawai Dortmund.

Arsene Wenger dilihat terdesak untuk menambah tenaga baru bagi memperkuatkan bahagian serangan Arsenal berikutan perpindahan Alexis Sanchez ke Manchester United dan Theo Walcott yang telah menyertai Everton.

Wenger melihat Aubameyang sebagai pemain terbaik untuk bermain bersama pemain yang bakal masuk ke Arsenal, Henrikh Mkhitaryan disamping Mesut Ozil dan Alexander Lacazette.

Delegasi Arsenal tiba di Jerman, Turut kelihatan Lamborgini Aubameyang di belakang

Arsenal telah melakukan bidaan rasmi yang pertama pada Sabtu lepas berjumlah £53 juta tetapi tawaran tersebut telah ditolak Dortmund. Dortmund mahu yuran perpindahan dinaikkan sekitar £60 juta ataupun Olivier Giroud disertakan sekali dalam perjanjian tersebut.

CEO Borussia Dortmund, Hanz-Joachim Watzke dipetik ketika memberikan temuramah kepada akhbar Ruhr Nachrichten, Dortmund telah menerima tawaran rasmi daripada Arsenal berkenaan Aubameyang.

“Saya mengesahkan yang kami sudah menerima permohonan dari Arsenal untuk mendapatkan Pierre-Emerick Aubameyang. Kami tidak akan membuat sebarang komen mengenai yuran perpindahan seperti yang disebut dalam akhbar British Sabtu lalu.”

Perbincangan telah diadakan di antara delegasi Arsenal dengan wakil Dortmund pada tengahari Ahad (semalam) bagi memperhalusi perjanjian ini tetapi tiada sebarang kata sepakat telah dipersetujui setakat ini. Mislintat mengesahkan perkara tersebut pada pihak media tempatan Jerman yang perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan.

Tayang harta

Beberapa gambar telah tersebar di media sosial yang menunjukkan kereta dimiliki Aubameyang telah dilihat berada berdekatan dengan tempat letak kereta Lapangan Terbang Dortmund.

Produk akademi AC Milan ini telah mengharungi musim yang agak mengecewakan bersama Dortmund dari segi disiplin, selepas beliau beberapa kali melanggar peraturan kelab dan digantung dari bermain oleh pihak pengurusan Dortmund.

Walaupun berdepan masalah disiplin, Aubameyang masih lagi mampu menjaringkan 13 gol dalam Bundesliga setakat ini, yang mana jumlah tersebut hanya diatasi oleh penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski.

BACA:  Arteta Rayu Pemain Arsenal Agar Kembali Menang, Tak Nak Seri Dah