Detik Menyentuh Perasaan Alisson Becker Memberi Kejutan Kepada Peminat Liverpool Yang Menyelamatkan Pesakit Leukemia

Dalam dunia yang penuh kesibukan dan kekalutan dunia, agak elok juga jika kita disajikan dengan cerita-cerita yang menyentuh perasaan sekaligus dapat menaikan semangat dan emosi kita yang melihat.

Selaku kelab yang mempunyai jiwa yang besar, Liverpool telah melakukan satu perkara yang mampu mengalirkan air mata insan-insan yang berhati lembut di mana menerusi kerjasama dengan Nivea Men UK dalam Siri Dear Liverpool FC, mereka telah mengaturkan pertemuan yang cukup bermakna di antara dua insan.

Libbie Booker, telah didiagnose menghidap leukemia pada usianya 13 tahun dan selepas dua tahun melalui rawatan kemoterapi, penyakit ini datang kembali.  Satu-satunya cara untuk menyembuhkannya adalah dengan menerima derma stem cell  daripada individu yang sanggup.

Keluarga Libbie terpaksa merayu ke seluruh dunia mencari sang wira yang mampu menderma stem cell buat anak mereka, dan selepas ujian dilakukan ke atas beberapa individu, akhirnya pihak perubatan mendapati stem cell milik Ethan Beckley adalah yang paling sesuai.

Hasil daripada tindakan berani tersebut, akhirnya Libbie, yang merupakan penyokong kelab Huddersfield Town, bergelar leukemia survivor dan dapat menjalani hidup seperti insan lain.

Dalam mengenali Ethan, keluarga Libbie mendapati bahawa pemuda ini merupakan seorang penyokong tegar Liverpool FC, tetapi tidak pernah berpeluang menonton perlawanan di Anfield, mahupun menjejakkan kakinya ke bandaraya tersebut.

Sebagai menghargai jasa Ethan, Libbie melalui ibunya, Susan, telah mengutuskan sepucuk surat kepada kelab kebanggaan Merseyside ini, dengan harapan dapat menemukan jalan untuk mengucapkan terima kasih kepada Ethan.

Dengan pertolongan Nivea Men, Ethan menerima kejutan besar ini. Dia tiba di Anfield untuk bertemu dengan keluarga Libbie dan ketika itu, dia hanya berfikir dia akan melakukan satu lawatan ke seluruh stadium tanpa menyedari dia bakal menerima sesuatu.

Ketika sedang menunggu, Ethan bertemu dengan pemain yang sangat diminatinya, Alisson Becker dan tidak lama kemudian, Ethan akhirnya dapat bertemu keluarga Libbie di tepi padang stadium Anfield.

Ketika inilah Ethan menerima kejutan buatnya menerusi surat daripada Nivea.

“Wahai Ethan,

“Kami maklum bahawa perkara terbesar yang dapat kami lakukan untuk kami adalah membawa kesedaran ke peringka yang lebih jauh supaya lebih ramai orang akan mendaftarkan diri dengan Anthony Nolan stem cell,  jadi sebagai satu jenama kami rasa kamu berhak tahu bahawa kami akan menggunakan platform kami dalam bulan mendatang untuk memberikan sokongan kepada kamu semua di dalam kempen mereka.

“Libbie dan keluarganya dengan jelasnya mahukan hari ini menjadi hari kamu, dan membolehkan Libbie mencapai impiannya untuk menjadi seorang jururawat.

“Nivea Men akan menaja segala kos pembelajarannya pada tahun ini.

“Akhir sekali, kami ingin menjemput anda semua kembali ke Liverpool dengan semua perbelanjaan ditaja serta pengalaman sebagai seorang VIP di Anfield, untuk menyambut masa depan yang penuh dengan kemungkinan.

“Kami sangat berbangga dapat memberikan kejutan kepada insan yang penyayang seperti kamu.”

Tidak dapat menahan sebak, akhirnya air mata Ethan gugur juga di hadapan Libbie, Susan dan juga Alisson Becker.

Kerjasama antara Liverpool dan Nivea ini wajar dipuji dan diikuti oleh kelab-kelab lain, terutamanya pasukan-pasukan yang ada di Malaysia.

Jarang sekali kita dapat lihat di negara kita, pasukan-pasukan Liga Malaysia – sama ada Super atau Perdana – mengadakan sesi bersama peminat, apatah lagi sesi yang menyentuh perasaan seperti ini.

Jadi, tidak hairanlah kenapa kita dapat lihat kenapa Liverpool begitu power pada hari ini, kan?

Pada hujung minggu ini, The Reds bakal mengalu-alukan kedatangan bekas kapten mereka, Steven Gerrard, yang akan kembali ke stadium keramat ini sebagai pengurus pasukan Aston Villa.

Ketika ini, Liverpool berada pada kemuncak prestasi di mana mereka telah berjaya memenangi 13 daripada 15 perlawanan yang dilalui mereka dalam kesemua pertandingan, termasuklah membelasah seteru utama mereka di England, Manchester United, lima gol tanpa balas di gelanggang lawan.

Penyerang dari Mesir, Mohamed Salah, kini menjadi pemain yang paling digeruni di atas padang di mana dia telah menjaringkan 20 gol dalam 21 perlawanan, serta turut melakukan sembilan assist.

Dalam kempen Liga Juara-Juara UEFA, Liverpool mencipta sejarah apabila muncul kelab Inggeris yang pertama memenangi kesemua perlawanan pada peringkat kumpulan sekaligus mendapat tiket sebagai pasukan pilihan menjelang pengundian pusingan kalah mati 16-pasukan pada hari Isnin nanti.

Sumber : Liverpool FC

BACA:  Liverpool Berpeluh Untuk Singkirkan Nottingham Forest Dari Saingan FA Cup