“Dia Tak Macam Tu Di Tempat Kami” Jelas Noble Tentang Lingard

Ketua pasukan West Ham, Mark Noble telah bercakap tentang Jesse Lingard ketika temu bualnya selepas tamat aksi kemenangan skuadnya menewaskan United di Old Trafford awal pagi tadi.

The Hammers berjaya menewaskan setan merah 1-0 dalam aksi pusingan ketiga saingan Carabao Cup, dengan Noble berasa tidak gembira melihat perangai Lingard bersama United.

Manuel Lanzini berjaya menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan tersebut seterusnya membantu skuadnya untuk menyingkirkan setan merah dari kejohanan tersebut.

Walau bagaimanapun telah berlaku satu insiden antara Noble dengan bekas rakan sepasukannya yang kini kembali beraksi bersama United, Lingard.

Insiden tersebut agak kontroversi dan menjadi topik perbualan hangat para peminat di media sosial selepas tamat perlawanan tersebut.

Dengan West Ham bermati-matian mahu mempertahankan kedudukan 1-0, ketua pasukan mereka dikatakan terpaksa menarik baju Lingard ketika bintang United itu berpeluang untuk menjaringkan gol penyamaan.

Insiden tersebut berlaku di dalam kotak, namun pengadil perlawanan tidak menghadiahkan sepakan penalti dan ia telah mengundang rasa tidak gembira pemain kebangsaan England itu bersama jutaan penyokong setan merah yang menonton perlawanan tersebut.

Bagi The Hammers, kemenangan mereka dalam perlawanan ini sedikit sebanyak berjaya merawat luka kekalahan di tangan United dalam aksi saingan liga minggu lalu.

Ketika pertemuan mereka dalam saingan Premier League, Jesse Lingard berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk United pada minit-minit akhir permainan.

Sementara Nobel pula, beliau merupakan punca mengapa West Ham terlepas peluang untuk membawa pulang setidak-tidaknya satu mata pada minggu lalu, kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti di minit akhir permainan.

Bercakap tentang insiden melibatkan beliau dengan Lingard di dalam kotak penalti, Noble mendedahkan kepada Sky Sports bahawa:

“Itulah bola sepak, dia dived dan saya beritahu dia supaya berhenti menjerit, apa yang lucunya, dia tak pernah buat macam tu ketika di tempat kami, tapi dia buat macam tu dekat sini.”

“Kami ketawa di atas padang hari ini, saya suka Jesse. Dia ada karakter yang hebat dan saya sangat berbangga dia datang sini dan dapatkan kesempatan dia.”

“Dia selalu jaringkan gol yang menakjubkan, jelas sekali salah satu darinya adalah ketika bertemu kami, ia menyakitkan, dia seorang pemain yang hebat dan dia berhak untuk dapat apa yang dia dapat.”

Walaupun kedua-dua Lingard dan Noble mampu berdamai dan ketawa bersama di atas padang, namun para peminat di media sosial masih tidak puas hati dengan insiden tersebut.

Selepas video insiden tersebut tular, kebanyakkan peminat mula memberi pandangan masing-masing dan ramai yang bersetuju ia sepatutnya penalti.

Ketika aksi pertemuan mereka dalam saingan Premier League sebelum ini, turut berlaku dua insiden yang memperlihatkan sepakan penalti United dinafikan oleh pengadil perlawanan.

Namun penafian kali ini mungkin sedikit menyakitkan kerana ia menyebabkan Manchester United tersingkir dan terlepas salah satu Piala sasaran mereka.

West Ham berjaya untuk mara ke pusingan 16 terbaik dalam saingan Carabao Cup, yang mana lawan mereka selepas ini merupakan Juara bertahan, Manchester City.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho Pertahan Aksi Anak Buah, Dakwa United Bermain Baik Walaupun Seri