Dicalonkan Sebagai Pengganti Xavi, Arteta Kata: ‘Tak Mahulah’

Mikel Arteta menjadi nama yang dikaitkan dengan Barcelona. Di mana pengurus itu dalam senarai pendek untuk menggantikan Xavi Hernandez jika pengurus itu dipecat.

Xavi yang mendapat tekanan selepas gagal membawa Barcelona ke pusingan kalah mati Liga Juara Juara Eropah, perlu menamatkan musim ini sekurang kurangnya dengan 1 piala untuk menyelamatkan jawatannya.

Ini lebih lebih lagi ditambah dengan trend perbelanjaan Xavi pada musim panas lalu. Ketika kelab sedang papa kedana, dia terus meminta duit tabung untuk mendapatkan pemain pemain baharu.

Xavi mendapatkan ramai pemain termasuk Jules Kounde, Robert Lewandowski, Raphinha dan beberapa nama lagi. Walaupun ada beberapa pemain ditandatangani secara percuma, pemain pemain tersebut tetap diberikan kontrak agak lumayan.

Diario Sport melaporkan bahawa Arteta adalah calon kukuh untuk menjadi pengurus Barcelona yang seterusnya. Ini selepas Xavi baru baru ini mengakui dia merasai tekanan sebagai pengurus Barcelona.

Selepas gagal membawa kelab itu mara ke suku akhir UCL dan sekali lagi terjerumus ke lembah hina bermain di UEL, untuk sebuah kelab seperti Barcelona. Ditambah pula ada Manchester United dan Sevilla dalam pertandingan itu.

Xavi merasakan pentas UEL juga sangat sukar untuk Barcelona.

Maka Barcelona sudah menyediakan perancangan awal jika ada apa apa berlaku pada Xavi. Arteta dianggap calon sesuai kerana rekod cemerlangnya dengan anak anak muda di Arsenal.

Selain itu Arteta merupakan bekas pemain graduan La Masia yang pernah beraksi untuk pasukan remaja mereka. Jadi, Barcelona mengklaim Arteta sebagai produk mereka ketika dia sedang power di Arsenal.

Selama ini, mereka tak pandang pun kan.

Arteta ketika ini membantu Arsenal kekal di puncak liga dan berpeluang cerah untuk memenangi Liga Perdana Inggeris jika terus kekalkan kecemerlangan mereka.

Selain itu, hubungan rapat Arteta dengan Guardiola juga dianggap boleh menjadi faktor penting. Guardiola sangat cintakan Barcelona.

Jika Arteta meminta pandangan Guardiola, kemungkinan besar pengurus Man City itu akan menyokongnya untuk ke Barcelona.

Arteta mendengar rumors itu. Dia menyatakan bahawa dia berbesar hati dikaitkan dengan kelab segah Barcelona.

Cuma pada masa ini, dia sangat gembira, ceria dan tertawa riang di Arsenal. Tiada sebab untuk dia meninggalkan kelab itu.

Arsenal memberikannya sokongan padu dan tak berbelah bagi. Memberikannya dana perpindahan jauh lebih besar berbanding pengurus sebelumnya.

Arsenal terus percaya dengan falsafah Arteta berpegang kepada motto: Percaya kepada proses, di kala ramai peminat masa itu mulai sangsi dengan proses dimaksudkan.

Kini hasilnya luar biasa. Arsenal menjadi salah sebuah pasukan terbaik di Eropah sekali lagi.

Lantas Arteta berkata: “Kawe sebenarnya, sangat sangat gembira berada di sini.”

“Kawe pikir, Barcelona daley landasan yang sangat bagus deh. Mereka ada jurulatih yang padu, jurulatih yang menjadi lejennn di kelab tu dan mengangkat martabat mereka. Ho.. go tu la bey.”

“Demo kena hormak sket benda tu dehh. Jangey dok kecek supo hiley pedomey.”

Atau terjemahannya:

“Saya sanat gembira berada di sini. Saya rasa Barcelona di landasan yang tepat. Mereka memiliki jurultih yang luar biasa, jurulatih yang telah menjulang nama Barca ke kemuncak. Kamu harus menghormati perkara tersebut.”

Dengan jawapan yang padu diberikan Arteta, pastinya peminat Arsenal berasa lega.

Ini kerana sudah selalu terbukti bahawa, setiap kali Arsenal sedang bergembira maka akan ada makhluk bernama Barcelona yang dapat cuba menapau pemain dan kini pengurus mereka.

Sebelum ini mereka pernah melakukan pujukan yang sama ke atas Fabregas sebagai graduan La Masia. Yang akhirnya tiba di sana hanya untuk menjadi pemain pilihan kedua.

BACA:  Arteta: "Kami Yang Sepatutnya Menang Sebab Bermain Lebih Cantik Daripada Mereka"