Disisihkan Kerana Masalah Disiplin Sekali Lagi, Peminat Mahu Aubameyang Dipecat Sebagai Kapten

Foto Pierre-Emerick Aubameyang mendapat tatu baharu telah berlegar di media sosial. Gambar itu dilaporkan diambil sehari sebelum dia digugurkan oleh Arsenal daripada skuad yang berhadapan dengan Southampton.

Penyerang Gabon, 32, diketepikan daripada skuad The Gunners dalam perlawanan Liga Perdana menentang Southampton kerana “pelanggaran disiplin”. Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus berbakat besar, Mikel Arteta.

Dua puluh empat jam sebelum itu, artis tatu tetapnya Alejandro Nicolas Bernal berkongsi post Instagram dengan Aubameyang sedia mencacah tatu pada lengannya.

Walaupun tatu bukanlah alasan utama Aubameyang digugurkan, namun sebenarnya pemain itu diberikan pelepasan khas untuk bercuti ke luar kota sebelum itu.

Tetapi Aubameyang yang sudah diberikan pelepasan khas itu telah sekali lagi melanggar peraturan dengan tiba lewat pada sesi latihan pasukan.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak bersama dengan pasukan pada latihan pada hari Jumaat. Di mana dia harus melapor diri.

Bercakap sebelum sepak mula aksi berdepan Southampton, Arteta ditanya, di mana kaptennya? Arteta berkata: “[Aubameyang tak ada hari ini], malangnya kerana pelanggaran disiplin.”

“Saya fikir kami sangat konsisten bahawa kami mempunyai beberapa perkara yang tidak boleh ditolak ansur dalam pasukan yang kami telah menetapkan diri kami sebagai sebuah kelab, dan dia tidak terlibat hari ini.”

Ini adalah kali kedua Arteta secara terbuka menyatakan bahawa Aubameyang dilarang untuk menyertai pasukan untuk tugasan perlawanan kerana masalah disiplin.

Ditanya sama ada ia adalah hukuman itu adalah jangka panjang, Arteta menambah: “Ia bermula hari ini. Sudah tentu ia bukan situasi yang mudah, atau situasi yang kami mahu ia melibatkan kapten kelab kami.”

Aubameyang diketepikan daripada skuad hari perlawanan untuk kemenangan derbi London utara pada Mac ke atas Tottenham selepas tiba lewat untuk taklimat pasukan pada hari perlawanan.

Isu terbaharu ini akan menimbulkan persoalan mengenai hubungan Arteta dengan Aubameyang selepas kapten kelab itu hanya bermain selama lima minit sebagai pemain gantian dalam kekalahan 2-1 di Everton pada Isnin.

Ditanya mengenai dakwaan pakar Sky Sports Gary Neville bahawa keadaan itu akan membuatkan hubungan antara Arteta dan Aubameyang akan retak, bos Gunners itu berkata: “Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemain saya.”

“Semua orang perlu memahami bahawa saya sentiasa lakukan yang terbaik untuk kelab ini dan untuk pasukan ini.”

“Dan selalunya jika itu boleh memberi manfaat kepada mana-mana individu, saya akan sentiasa melakukannya.”

“Keputusan yang saya ambil bukan atas sebab peribadi, keputusan hanya untuk mendapatkan prestasi, dan yang terbaik daripada pasukan. Itu sahaja.”

“Jelas sekali, apabila pemain tidak menjaringkan gol ia menjejaskan keyakinannya, ia menjejaskan mood dan mungkin kepercayaan, tetapi anda perlu memberontak terhadap situasi ini, tidak menerimanya dan berasa kasihan pada diri sendiri.”

Akhir sekali Arteta menolak laporan bahawa Arsenal mempertimbangkan untuk membenarkan Aubameyang pergi pada Januari ini.

Arteta menambah: “Sejujurnya, kami tidak pernah membincangkan perkara seperti ini, dan apabila pemain berada dalam kesukaran — atau pasukan berada dalam kesukaran — apa yang kami perlukan adalah menyokong mereka.”

Arsenal menang 3-0 ke atas Southampton. Dengan 3 gol Gunners dijaringkan oleh Alexandre Lacazette, Martin Odegaard dan juga Gariel Magalhaes.

Aubameyang telah menerima kritikan hebat daripada penyokong Arsenal selepas mengalami krisis keyakinan di depan gawang.

Malah ramai peminat Arsenal mulai menggesa agar captaincy Aubameyang ditarik balik.

Dalam liga Perdana Inggeris, dia hanya menjaringkan empat gol dalam 14 perlawanan. Dia telah dikeluarkan dalam aksi di Old Trafford untuk digantikan dengan Eddie Nketiah, dengan The Gunners ketinggalan 3-2.

Masalah disiplin Aubameyang ini bukanlah perkara baru. Namun sebelum ini dia menjaringkan banyak gol, jadi orang tak bising. Ketika di Borussia Dortmund, sudah beberapa kali dia melanggar peraturan.

Dia pernah ponteng latihan hanya kerana dia berparti di Milan bersama dengan kawan kawannya.

BACA:  Aubameyang Dilucutkan Dari Jawatan Sebagai Ketua Pasukan Arsenal