Mkhitaryan & Aubameyang Mahu Arsenal Kekal Bersatu Menghadapi Detik Sukar

Pemain baru Arsenal, Henrikh Mkhitaryan sedar dengan krisis yang sedang melanda Arsenal ketika ini tetapi beliau mahu seluruh pasukan bersatu bagi menghadapi cabaran di hadapan sehingga tamat musim ini.

Dalam perlawanan terakhir Arsenal, mereka menampilkan persembahan yang lembik ketika dibelasah Manchester City dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Carabao yang berlangsung Ahad lepas.

United We Stand !

Arsenal dan Manchester City bakal berentap sekali lagi dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan Arsenal menjadi tuan rumah kali ini.

Mkhitaryan merupakan pembelian terbaru Arsenal pada tirai perpindahan pemain Januari lalu. Beliua menyertai Arsenal dalam perjanjian pertukaran pemain dengan Manchester Unted, dimana Alexis Sanchez berpindah ke arah sebaliknya.

Arsene Wenger turut memperkuatkan barisan serangannya dengan mendapatkan bekas rakan sepasukan Mkhitaryan di Borussia Dortmund, Pierre Emerick-Aubameyang dalam perjanjian rekod kelab.

MKhitaryan dan Aubameyang mengharungi permulaan yang sukar buat The Gunners walaupun mereka berdua berganding baik ketika Arsenal menewaskan Everton bulan lepas di Emirates.

Arsenal berpeluang melunaskan hutang Piala Carabo awal pagi esok

Selepas perlawanan tersebut, Arsenal mengalami kekalahan perit kepada musuh tradisi mereka iaitu Tottenham Hotspurs dengan Harry Kane menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Arsenal juga tumpas di tangan kelab kerdil dari Sweden, Ostersunds dalam pusingan kalah mati Europa League di hadapan penyokong sendiri walaupun berjaya meloloskan diri ke pusingan seterusnya.

Dalam satu temubual eksklusif Mkhitaryan bersama Skysports, pemain antarabangsa Armenia itu berkata Arsenal mempunyai kualiti yang cukup untuk mengubah situasi sukar yang dihadapi mereka sekarang.

“Ini bukan waktu yang baik untuk Arsenal tetapi saya berada di sini untuk memberikan yang terbaik bagi membantu Arsenal kembali ke tahap mereka sebelum ini. Saya tahu tugas tersebut bukannya senang tetapi kami sedang berusaha dan memberikan yang terbaik.”

“Saya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Arsene Wenger. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bolasepak dan mampu memberikan nasihat yang bagus kepada para pemain. Saya sangat gembira kerana dapat berada di Arsenal.”

Kami akan terus berjuang demi Wenger !

“Sudah tentu Arsene Wenger juga berada dalam keadaan yang sukar. Tetapi sebagai pemain, kami bermain untuk kelab dan juga untuk Arsene Wenger kerana beliau adalah ‘role model’ kepada seluruh pasukan. Kami bersedia berjuang untuk Arsene Wenger.”

Pemain antarabangsa Gabon, Pierre Emerick-Aubameyang berkongsi pendapat yang sama dengan Mkhitaryan dan percaya semua pemain Arsenal harus kekal bersatu dan bekerja keras bagi mengubah masa depan kelab ini.

“Saya tahu sekarang adalah masa yang sukar buat Arsenal tetapi pada pendapat saya, kami bermain menentang pasukan kuat sebelum ini. Kami cuma perlu bersatu dan terus bekerja keras.”

“Arsene Wenger merupakan pengurus yang sangat baik, semua orang sedar perkara tersebut. Mungkin ini bukan masa yang senang buat beliau, tetapi kami pemain harus memberikan yang terbaik untuk menunjukkan kepada Wenger yang kami bermain untuknya.”

BACA:  Juventus Sahkan Minat Untuk Dapatkan Khidmat Aaron Ramsey