Pemain Dota 2 terkenal Malaysia, Ohaiyo menyifatkan tindakan menyingkirkan beliau selepas membantu Fnatic layak ke ESL One Major Katowice 2018 sebagai kejam dan mementingkan diri.
Ohaiyo atau nama sebenarnya, Khoo Chong Xin terasa terkilan dengan sikap pengurusan bekas pasukannya itu yang tidak memberitahu lebih awal keputusan untuk menggantikan tempat beliau dalam pasukan Fnatic dengan bekas pemain Evil Genius, Universe atau nama sebenarnya Saahil Arora.
Apa yang mengecewakan Ohaiyo adalah keputusan tersebut diberitahu sejurus mereka selesai menjamah pizza sebagai tanda meraikan kejayaan layak ke pertadingan berstatus Major tersebut.
Dalam saingan peringkat Final ‘BO5’ peringkat Asia Tenggara, Fnatic berjaya menjinakkan cabaran pasukan dari Filipina, TNC dengan kemenangan 3-2, dan mengesahkan tempat mereka ke pertandingan tersebut.
Selepas habis menjamah makan malam, Ohaiyo menerima perkabaran buruk tersebut sambil menambah Universe sebenarnya sudah berada di Malaysia, dan kini sedang menumpang di rumah salah seorang pemain Fnatic, EternalEnvy.
Ohaiyo memberitahu beliau tidak terlalu kecewa digantikan dengan Universe, tetapi apa yang mengecewakannya adalah tindakan pengurusan Fnatic mempergunakan beliau untuk bermain menentang TNC walaupun keputusan telah dibuat untuk menyingkirkan beliau.
Dalam posting terbaru Ohaiyo dalam laman peribadi Facebook, beliau telah menyuarakan kepada umum kekecewaannya terhadap Fnatic.
“Situasi penyingkiran saya sangat sedih dan kejam. Ianya berlaku selepas saya membantu Fnatic menang ke atas TNC untuk layak ke ESL One Katowice Major Main Event.”
“Kami makan pizza bagi meraikan kejayaan tersebut dan selepas selesai makan, saya telah diberitahu Adam Shah (Jurulatih Fnatic) dan Eric Khor (pengurus Fnatic) yang saya telah digantikan oleh Universe.”
“Mereka turut memberitahu Universe telah tiba sehari sebelum perlawanan Final menentang TNC. Universe tinggal di rumah sewa EternalEnvy sejak tiba di Malaysia.”
“Ini lah kekejaman Fnatic terhadap saya. Sama ada kami menang atau kalah, saya tetap akan digantikan. Saya tidak kecewa digantikan, tetapi saya kecewa dengan bagaimana saya dipergunakan rakan sepasukan untuk kepentingan mereka sendiri.”
“Mereka sebenarnya boleh menggantikan tempat saya sejurus Universe tiba tetapi mereka menunggu sehingga kami mendapat slot ke ESL One Katowice.”
“Mungkin mereka risau kalah dalam perlawanan Final tersebut dan terlepas ke saingan Major. Jadi mereka mengambil keputusan untuk menggunakan Universe pada perlawanan tersebut.”
“Saya menulis posting ini kerana saya sangat kecewa dengan mereka yang mengambil keputusan ini, dan mempergunakan seseorang untuk kepentingan mereka sendiri.”
Ohaiyo merupakan tonggak paling lama Fnatic, dan telah berkhidmat lebih 3 tahun dengan pasukan yang berpengkalan di Malaysia ini.
Selain Universe yang masuk menggantikan tempat Ohaiyo, Fnatic turut dianggotai dua pemain Filipina, Abed dan DJ. Dua lagi pemain adalah EternalEnvy dan PieLieDie yang baru sahaja menyertai pasukan tersebut musim ini.
Antara sumbangan terbesar Ohaiyo bersama Fnatic adalah ketika pasukan tersebut mendapat tempat keempat kejohanan terbesar dunia Dota 2, The International 2016 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5.7 juta.