Manchester United Tiada Peluang, Real Madrid Masih Sayangkan Bale

Spekulasi yang mengaitkan penyerang Real Madrid, Gareth Bale dengan perpindahan ke Manchester United pada jendela perpindahan akan datang telah dinafikan ejen yang mewakili pemain tersebut.

Gareth Bale berterusan dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Liga Perdana Inggeris dengan Manchester United dilaporkan bersedia untuk berbelanja besar bagi memperkuatkan jentera serangan mereka bagi merealisasikan impian mereka untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim hadapan.

Jangan mengharap sangat Setan Merah

Walaubagaimanapun, perkara tersebut telah dinafikan oleh ejen pemain itu sendiri, Jonathan Barnett yang berkata Bale masih sayangkan Real Madrid dan Real Madrid juga masih sayangkan Bale.

Masa depan bekas bintang Tottenham Hotspurs itu di Santiago Bernabeu kerap menjadi tanda tanya kerana beliau sering mengalami kecederaan yang menyebabkannya tidak dapat beraksi secara konsisten. Prestasi beliau juga terjejas teruk musim ini akibat kecederaan yang dialaminya pada awal dan pertengahan musim.

Walaupun masa depan Bale sering menjadi tajuk perbualan banyak pihak, pemain berusia 28 tahun ini telah menerima sokongan padu daripada pengurus pasukan, Zinedine Zidane dan juga ejennya sendiri yang mahu spekulasi perpindahan musim panas nanti dihentikan.

“Gareth Bale merupakan pemain Real Madrid dan beliau sayangkan Real Madrid. Dan Real Madrid juga sayangkan Bale.” Ujar Barnett ketika bercakap kepada ESPN FC.

Jonathan Barnett, ejen Bale yang kaya raya selepas pemain tersebut memecahkan rekod dunia perpindahan suatu ketika dahulu

“Berita yang ditulis wartawan mengenai spekulasi perpindahan Bale adalah tidak berasas. Wartawan ini tidak mempunyai sebarang idea untuk ditulis, jadi mereka mencipta sesuatu dan mereka ini juga tidak kisah sama ada berita itu palsu atau tidak.”

Bale masih lagi mempunyai kontrak yang lama bersama Los Blancos dimana kontraknya hanya akan berakhir pada tahun 2022. Real Madrid menganggap Bale sebagai pemain penting untuk masa depan kelab tersebut sejak membelanjakan €100juta untuk mendapatkan beliau daripada Spurs pada tahun 2013.

“Perasaan saya kuat mengatakan Gareth Bale akan terus kekal menjadi pemain Real Madrid musim hadapan. Bale tidak akan sekali-kali hilang motivasi, Beliau merupakan pemain yang sangat penting buat Real Madrid.”

Dalam perlawanan terakhir mereka, Bale berjaya mencatatkan assis untuk gol jaringan Cristiano Ronaldo ketika Real Madrid seri 1-1 menentang Atletico Madrid hujung minggu lalu.

21 penampilan sahaja setakat musim ini berlangsung. Tetapi masih lagi mempunyai backup daripada abg botak

Walaubagaimanapun, persembahan Bale dalam perlawanan tersebut masih lagi menerima kritikan daripada bekas penyerang dan direktor Real Madrid, Jorge Valdano yang menganggap persembahan Bale tidak setimpal dengan yuran perpindahannya.

“Pergerakan Bale baik dan beliau memberikan bantuan gol kepada Cristiano Ronaldo. Beliau dilihat mahu turut serta dalam setiap pergerakan pasukan dan mahu mempamerkan keupayaan sebenar beliau sepanjang 90 minit perlawanan.”

“Yang menjadi masalahnya adalah apa yang Bale telah lakukan dalam perlawanan tersebut tidak setimpal dengan €100juta yang dibelanjakan untuk mendapatkan beliau. Nilai ini akan terus bersama beliau sepanjang kariernya di Real Madrid.”

BACA:  Scott McTominay Kecewa Dengan 'Fitnah' Dari Keane Dan Neville