EURO 2020 Suku Akhir: AET Switzerland 1-1 Sepanyol (Pen. 1-3)

Perlawanan antara Switzerland dan Sepanyol merupakan perlawanan pembukaan pusingan suku akhir EURO 2020 dan sudah pasti menjanjikan kejutan selepas apa yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan ini pamerkan untuk mara.

Switzerland mencipta kejutan dengan permainan paling sensasi dengan semangat dan kekentalan luar biasa menerajang keluar pasukan juara dunia, Perancis sehingga berantakan dan koyak teruk.

Pemain Perancis dilihat bertelagah sesama sendiri selepas kekalahan kepada Switzerland hingga melibatkan ahli keluarga dan keburukan pemain bintang Perancis sehingga kini masih diperkatakan.

Kreativiti Xherdan Shaqiri yang diperam Liverpool dan kepimpinan yang tegas lagi kental dari Granit Xhaka membuatkan Switzerland menjadi pasukan bawah anjing (underdog) di EURO 2020.

Sepanyol yang kebuntuan gol dengan sentuhan penyudah yang mengecewakan sejak perlawanan pertama peringkat kumpulan meledak lima gol ketika memadamkan semangat kebangkitan Croatia.

Skrip perjalanan Sepanyol sama seperti Perancis, ketinggalan lalu mengejar dan mendahului 3-1 sebelum Croatia mengikat dengan dua gol lewat permainan.

Namun Sepanyol berjaya menamatkan masa tambahan dengan kemenangan hasil jaringan Alvaro Morata dan Mikel Oyarzabal dikuasakan oleh kehebatan Daniel Olmo.

Rekod pertemuan antara Sepanyol dan Switzerland yang bakal berlangsung di Allianz Arena di Munich, Jerman ternyata berpihak kepada Sepanyol yang mencatatkan 16 kemenangan dari 22 perlawanan dan hanya sekali kalah.

Sepanyol

Perlawanan – 22
Menang – 16
Seri – 5
Kalah – 1

Switzerland

Perlawanan – 22
Menang – 1
Seri – 5
Kalah – 16

Sepanyol bermain seperti biasa dengan permainan hantaran pendek seperti mana dunia kenali mereka walaupun mampu membuat hantaran lintang namun sebolehnya mereka mahu membuat hantaran sehingga ke dalam gawang.

Atau mungkin juga kerana Alvaro Morata berada di depan maka membuat umpanan kepada Morata bukan pilihan bijak.

Sepanyol menguasai permainan usai sepak mula dan Switzerland sempat mencuba dengan satu rembatan liar jarak jauh dari Xherdan Shaqiri.

Selepas lapan minit perlawanan, Jordi Alba sudah meletakkan Sepanyol di depan dengan percubaan Jordi Alba yang telah terbias kaki Denis Zakaria dan masuk ke gawang sendiri.

Yann Sommer yang tidak memakai kaca mata hitam tidak mampu melakukan apa-apa dengan bola tersebut. Koke mencatatkan nama selaku pencipta bantuan gol.

Kemudian penjaring ditukar menjadi milik Denis Zakaria yang diiktiraf sebagai gol sendiri yang ke-10 di EURO 2020.

Pada minit ke-17 sepakan percuma Koke sedikit tinggi dan bola melepasi palang ketika Yann Sommer sudah sampai untuk menghalang.

Pada minit ke-23, Switzerland terpaksa mengeluarkan Breel Embolo kerana kecederaan dan Ruben Vargas dimasukkan.

Sepanyol terus mengasak dan Yann Sommer terpaksa bekerja keras menafikan serangan demi serangan Sepanyol termasuklah tandukan Cesar Azpilicueta.

Switzerland juga banyak melancarkan serangan ke kubu Sepanyol namun banyak penyudah liar yang hadir. Agak bosan perlawanan suku akhir ini.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada Sepanyol.

Lima minit bersambung permainan Sepanyol dan Switzerland masing-masing melakukan satu percubaan mengancam namun tidak menghadirkan gol.

Pada minit ke-55 Denis Zakaria hampir menebus kesilapan beliau namun tandukannya sedikit sahaja tersasar untuk menghadirkan gol penyamaan.

Tolakan cantik dilakukan Ruben Vargas selepas menari-nari dipinggir kotak berjaya mencari Steven Zuber dan tolakan Zuber berjaya diselamatkan Unai Simon.

Pada minit ke-68 Xherdan Shaqiri menjaringkan gol penyamaan selepas aksi badut ditunjukkan dua pemain Sepanyol dan bola sampai kepada Remo Freuler.

Remo Freuler yang berpeluang menjaringkan gol tidak tamak dan menolak kepada Shaqiri yang mempunyai peluang lebih besar untuk menyamakan kedudukan.

Sepuluh minit kemudian Remo Freuler telah dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas melakukan terjahan gunting yang berbahaya ke atas Gerard Moreno.

Switzerland tiada pilihan lain selain bermain bertahan dengan mengeluarkan Xherdan Shaqiri dan Haris Seferovic digantikan Djibril Sow dan Mario Gavranovic.

Akhir permainan bertahan Switzerland berjaya mengheret Sepanyol yang semakin buta kayu ke masa tambahan.

Bertali arus serangan yang dilancarkan oleh Sepanyol dan jarang-jarang yang merbahaya, walaupun ada Yann Sommer sangat liat untuk ditewaskan buat kali kedua.

Switzerland mempamerkan aksi bertahana yang sangat mapan dan hampir mustahil untuk Sepanyol membuat umpanan dari bola tinggi dan hantaran pendek menjadi pilihan.

Di masa tambahan 30 minit Sepanyol melakukan 18 percubaan dengan 8 percubaan tepat dengan 80 peratus penguasaan bola namun tiada gol terhasil.

Akhirnya, Switzerland berjaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti yang kembali meluaskan peluang mereka kepada 50-50.

Ketua pasukan Sepanyol, Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama dan Mario Gavranovic mudah meletakkan bola ke gawang.

Fabian Schaer, Manuel Akanji dan Ruben Vargas gagal mengambil kelebihan yang ada apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Switzerland.

Rodri mengikut jejak Busquet namun Daniel Olmo, Gerard Moreno tidak bermasalah menewaskan Jann Sommer. Mikel Oyarzabal menjadi wira Sepanyol dengan sepakan terakhir.

Sepanyol mara ke separuh akhir dan prestasi cemerlang Switzerland selaku pasukan bawah anjing sudah berakhir dan mensia-siakan kelebihan selepas mapan bertahan.

Sepanyol bakal bertemu pemenang perlawanan antara Itali dan Belgium.

Switzerland: Yann Sommer, Nico Elvedi, Manuel Akanji, Ricardo Rodriguez, Silvan Widmer, Remo Freuler, Denis Zakaria, Steven Zuber, Xherdan Shaqiri, Breel Embolo, Haris Seferovic.

Subs: Gregor Mbabu, Ruben Vargas, Yvon Mvogo, Djibril Sow, Christian Fassnacht, Loris Benito, Mario Gavranovic, Edimilson Fernandes, Gregor Kobel, Fabian Schar, Eray Comert, Jordan Lotomba.

Spain: Unai Simon, Cesar Azpilicueta, Aymeric Laporte, Pau Torres, Jordi Alba, Koke, Sergio Busquets, Pedri, Ferran Torres, Alvaro Morata, Pablo Sarabia.

Subs: David de Gea, Diego Llorente, Marcos Llorente, Gerard Moreno, Thiago, Eric Garcia, Robert Sanchez, Jose Gaya, Rodri, Daniel Olmo, Adama Traore, Mikel Oyarzabal.

Referee: Michael Oliver (England)

BACA:  UEFA Akan Ambil Tindakan Jika Pemain Terus Bergaduh Dengan Botol Minuman Penaja