EURO 2020 Suku Akhir: Belgium 1-2 Itali

Pertemuan antara Belgium dan Itali merupakan perlawanan suku akhir EURO 2020 sepatutnya berlangsung dengan sedap lagi menghiburkan lantaran reputasi dicipta kedua-dua pasukan setakat ini.

Pasukan bimbingan Roberto Martinez mara ke suku akhir selepas menewaskan juara bertahan Portugal dengan aksi yang tidak meyakinkan dengan satu percubaan tepat sahaja yang merupakan gol kemenangan.

Dalam perlawanan menentang Portugal, Belgium telah kehilangan Kevin De Bruyne kerana kecederaan buku lali dan juga Eden Hazard yang mengalami kecederaan hamstring.

Belum dapat dipastikan lagi samada dua pemain kreatif itu sempat kembali cergas, Dries Mertens dan Yannick Carrasco akan menjadi calon pengganti.

The Azzuri telah dipaksa bermain sehingga masa tambahan oleh Austria yang mempamerkan permainan penuh bersemangat sebelum menemui sentuhan mereka untuk menang.

Roberto Mancini pula telah kehilangan ketua pasukan dan benteng pertahanan kental mereka, Giorgio Chiellini yang mengalami kecederaan betis.

Rekod pertemuan secara kepala ke kepala (head to head) menyaksikan Belgium dan Itali pernah bertemu sebanyak 22 kali dan The Azzuri menang 14 kali manakala The Red Devil menang 4 kali.

Belgium yang kita kenali kini dibarisi generasi emas bukanlah seperti 10 tahun yang lalu merupakan pasukan belasahan yang bergelut untuk mara ke kejohanan utama dunia.

Itali

Perlawanan – 22
Menang – 14
Seri – 4
Kalah – 4

Belgium

Perlawanan – 22
Menang – 4
Seri – 4
Kalah – 14

Belgium menyenaraikan Kevin De Bruyne untuk menentang Itali namun Eden Hazard tidak berada langsung dalam senarai nama pemain walaupun sebagai pemain simpanan.

Romelu Lukaku terlebih dahulu menguji bahagian pertahanan Itali yang terkenal dengan kekentalan namun tidak berakhir dengan jaringan.

Federico Chiesa yang mula menjadi pemain utama Itali cuba membalas apabila lolos di bahagian kiri namun sekadar mendapat sepakan penjuru yang tiada hasil.

Leonardo Bonucci meletakkan Itali di depan pada minit ke-13 ini merupakan gol pertama Leonardo Bonucci diperingkat antarabangsa yang berpunca dari sepakan percuma.

Namun gol tersebut dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) kerana offside.

Youri Tielemans mencuba dengan percubaan jarak jauh namun tersasar. Kevin De Bruyne pula merembat namun dengan selamba Giorgio Chiellini menanduk keluar.

Lima belas minit pertama perlawanan berlangsung dengan sangat menghiburkan dan saling berbalas serangan yang agak mengancam walaupun tiada gol yang sah terhasil.

Kevin De Bryune terus menunjukkan ancaman dengan rembatan kaki kiri kencang namun Gianluigi Donnarumma pula mempamerkan aksi menyelamat bertaraf dunia satu layangan badan yang menawan.

Belgium datang lagi dengan serangan balas, Kevin De Bruyne melorongkan bola kepada Romelu Lukaku dan bergelek melepasi pemain Itali.

Rembatan Lukaku mencari far post berjaya ditepis keluar Gianluigi Donnarumma.

Itali membalas kembali dengan rembatan Federico Chiesa yang dihadang Toby Alderweireld dan terbias dan bola tepat sampat ke tangan Thibaut Courtois.

Lorenzo Insigne pula cuba melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti namun bola agak tinggi dari palang gol.

Sepakan percuma pendek Itali mudah dipatahkan Belgium namun bola tidak dikeluarkan dengan kemas dan dihantar kepada Marco Veratti.

Nicolo Barella segera menerima bola dari Marco Veratti melarikan bola sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Thibaut Courtois pada minit ke-31.

Lorenzo Insigne telah menggandakan kedudukan buat Itali pada minit ke-44 dengan satu larian solo dari sebelah kiri padang.

Kemudian Lorenzo Insigne telah memotong masuk ke tengah melepasi pemain Belgium terkesima sebelum melencongkan bola dari kejauhan.

Thibaut Courtois melayangkan badan dengan penuh regangan namun gagal menyentuh bola yang menerobos jaring.

Sejurus selepas itu Giovanni Di Lorenzo telah menyepak kaki Jeremy Doku dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti dan pemeriksaan semula VAR juga bersetuju itu adala penalti.

Satu tindakan sia-sia dari Giovanni Di Lorenzo. Romelu Lukaku tiada masalah untuk menewaskan Gianluigi Donnarumma yang cemerlang dalam tempoh 45 minit pertama.

Perlawanan separuh masa kedua terus berlangsung dengan rancak dan jaringan Romelu Lukaku tidak memberi keselesaan untuk Itali yang memerlukan gol tambahan.

Gol Lukaku itu menjadi pemangkin kepada semangat Belgium untuk terus mencari gol penyamaan.

Romelu Lukaku terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan dari bola hantaran cantik Kevin De Bruyne tapi sayang tolakan Lukaku telah terkena paha Leonardo Spinazzola.

Itali segera membalas dengan serangan pantas Nicolo Barella telah melakukan umpanan cantik kepada Ciro Immobile namun sentuhan pertamanya kelaut mensia-siakan peluang.

Itali datang lagi, kali ini Lorenzo Insigne melakukan lambungan maut namun Leonardo Spinazzola yang hanya berhadapan dengan Thibaut Courtois melakukan voli yang kelaut.

Lorenzo Insigne memaksa Courtois bekerja keras untuk melayangkan badan apabila melakukan satu rembatan lagi rembatan lencong.

Nacer Chadli yang masuk menggantikan Thomas Menunier pada minit ke-69 terus berfungsi dengan hantaran cantik namun gagal ditanduk tepat Lukaku dan Thorgan Hazard pula telah terlajak ke depan.

Namun malang menimpa Nacer Chadli yang hanya mampu bermain selama lima minit sahaja dipadang kerana kecederaan dan digantikan Dennis Praet.

Leonardo Spinazzola mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar selepas menerima rawatan di padang. Mungkin kempen EURO 2020 sudah berakhir buat Spinazzola.

Jeremy Doku tidak mengenal erti penat apabila secara solo memotong masuk dari kiri melepasi beberapa orang pemain Itali, rembatannya pula sedikit melepasi palang.

Tempoh 10 minit terakhir menyaksikan Belgium terus menekan untuk mencari gol penyamaan dan Itali kental bertahan menanti peluang melakukan serangan balas.

Gol dicari Belgium tidak kunjung tiba dan Itali mara ke separuh akhir untuk bertemu Sepanyol yang beraksi lebih awal.

Belgium Starting XI : Thibaut Courtois, Toby Alderweireld, Thomas Vermaelen, Jan Vertonghen, Thomas Meunier, Youri Tielemans, Axel Witsel, Thorgan Hazard, Jeremy Doku, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku.

Subs: Dedryck Boyata, Yannick Carrasco, Matz Sels, Dries Mertens, Jason Denayer, Leander Dendoncker, Christian Benteke, Nacer Chadli, Michy Batshuayi, Leandro Trossard, Dennis Praet, Thomas Kaminski.

Italy Starting XI : Gianluigi Donnarumma, Giovanni Di Lorenzo, Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini, Leonardo Spinazzola, Nicolo Barella, Jorginho, Marco Verratti, Federico Chiesa, Ciro Immobile, Lorenzo Insigne.

Subs: Salvatore Sirigu, Manuel Locatelli, Andrea Belotti, Domenico Berardi, Matteo Pessina, Emerson Palmieri, Francesco Acerbi, Bryan Cristante, Federico Bernardeschi, Alessandro Bastoni, Rafael Toloi, Alex Meret.

Referee: Slavko Vincic (Slovenia).

BACA:  Tendangan Sudut Pelik dan Kelakar Itali Mengundang Perdebatan Umum