EURO 2020: Turki 0-2 Wales

Semi finalis Euro 2016, Wales turun untuk perlawanan kedua menentang Dark Horse dalam kejohanan besar, Turki yang dilihat agak goyah ketika tewas kepada Itali pada perlawanan pembukaan.

Kali terakhir Turki bertemu Wales adalah pada Ogos 1997 dalam pusingan kelayakan Piala dunia di mana 10 gol terhasil di mana Turki menang dengan jaringan 6-4.

Empat gol Turki ketika itu telah dijaringkan oleh pemain legenda, Hakan Sukur dan dalam perlawanan itu pengurus Wales ketika ini Robert Page beraksi selaku pemain.

Pada minit ke-6 Gareth Bale telah melorongkan bola dengan cantik kepada Aaron Ramsey dan percubaan Ramsey telah diselamatkan penjaga gol Turki, Ugurcan Cakir dengan kaki.

Joe Morrell telah menerjah keras Hakan Calhanoglu dan sepakan percuma pantas terus diambil, Cengiz Under melarikan bola dan menghantar kepada Burak Yilmaz.

Namun percubaan Burak Yilmaz tersasar disebelah kanan tiang. Bijak sungguh sepakan percuma pantas Turki.

Cengiz Under telah melakukan percubaan cantik bak seorang tekong sepak takraw dari luar kotak penalti Wales namun tak cukup kuat dan mudah penjaga gol Wales, Danny Ward merigat bola.

Minit ke-16 Wales datang lagi melalui Aaron Ramsey dan mendakwa bola terkena tangan pemain pertahanan Turki, Caglar Soyuncu pemain Wales cuba membantah, pengadil tenang meneruskan permainan.

Ulang tayang jelas menunjukkan bahawa itu merupakan bola ke tangan ketika Caglar Soyuncu sedang bersilat.

Gareth Bale telah melakukan satu hantaran membunuh dari udara dan sekali lagi mencari Aaron Ramsey yang lepas dari perangkap offside.

Entah bagaimana Aaron Ramsey boleh terlepas peluang sebegitu ketika berdepan satu lawan satu dengan Ugurcan Cakir. Langit pilihan Ramsey.

Gareth Bale selaku ketua pasukan Wales menaruhkan kepercayaan penuh kepada Aaron Ramsey walaupun telah melepaskan dua peluang besar sebelum ini.

Pemain Real Madrid itu sekali lagi melambungkan hantaran maut kepada Ramsey dan kali ini gol berjaya dijaringkan untuk gol pembukaan pada minit ke-43.

Aaron Ramsey sejuk-sejuk boleh mencetak hatrik dan meletakkan Wales tiga gol di depan pada separuh masa pertama tapi pembaziran terjadi.

Daniel James yang bermain di sayap kiri dengan kelajuan tidak boleh bawa bincang cemerlang apabila mencipta tiga peluang namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Turki terus mempamerkan permainan agresif saat bermula babak kedua dengan trus mengasak kubu Wales, hantaran Hakan Calhanoglu telah ditanduk liar Cengiz Under.

Mehmet Zeki telah menjatuh Gareth Bale betul-betul di atas garisan kotak gol dan pengadil perlawanan dari Portugal, Artur Soares Dias memberi isyarat sepakan penalti.

Perlawnan dihentikan kerana untuk lebih keadilan Video Assistant Referee (VAR) membuat penilaian akhir sama ada di dalam kotak atau tidak.

Keputusan VAR senada dengan keputusan awal yang dibuat oleh Artur Soares Dias, sah sepakan penalti untul Wales.

Gareth Bale mengambil sepakan dengan wajah yang tidak tenang dan hasilnya bola menjauhi palang gol dan mendekati langit yang mengecewakan Wales dan penyokong mereka.

Penjaga gol Turki, Ugurcan Cakir sudah melakukan layangan badan yang tepat dengan arah sepakan Bale yang nyata sia-sia.

Memasuki masa kecederaan Turki masih gagal mencari gol penyamaan walaupun menyerang bertali arus dan Wales pula berterusan melakukan pembaziran.

Akhirnya di penghujung permainan, Wales menggandakan kedudukan berpunca dari sepakan penjuru pendek Bale membawa bola ditepi garisan gol seperti Mat Yo.

Bale berjaya lepas dan menghantar bola kepada Connor Roberts yang melakukan rembatan leret melalui celahan kaki pemain Turki.

Sangat menghiburkan permainan daripada Wales dan Turki di mana lebih banyak gol sepatutnya terhasil tetapi masing-masing tidak tajam.

Turki Starting XI (4-1-4-1): Ugurcan Cakir; Mehmet Zeki Celik, Kaan Ayhan, Caglar Soyuncu, Umut Meras; Yokuslu; Cengiz Under, Kenan Karaman, Ozan Tufan, Hakan Calhanoglu; Burak Yilmaz.

Subs: Mert Gunok, Mert Gunok, Merih Demiral, Dorukhan Tokoz, Yusuf Yazici, Taylan Antalyali, Ozan Kabak, Orkun Kokcu, Irfan Kahveci, Muhammed Akturkoglu, Mert Muldur, Halil Dervisoglu

Pengurus Turki: Senol Gunes

Wales Starting XI (4-3-2-1): Danny Ward; Connor Roberts, Chris Mepham, Joe Rodon, Ben Davies; Joe Allen, Joe Morrell; Gareth Bale, Aaron Ramsey, Daniel James; Kieffer Moore.

Subs: Wayne Hennessey, Adam Davies, Chris Gunter, Neco Williams, Tom Lockyer, Harry Wilson, Tyler Roberts, Ethan Ampadu, Rhys Norrington-Davies, Jonathan Williams, David Brooks, Dylan Levitt

Pengurus Wales: Robert Page

Pengadil Turki vs Wales: Artur Soares Dias (Portugal)

BACA:  Senarai Pemain Yang Memenangi UCL dan Euro Pada Tahun Yang Sama