G.Neville: Sepanyol Pasukan Paling Menyerlah Di Piala Dunia Setakat Ini

Bekas pemain antarabangsa England, Gary Neville berkata persembahan Sepanyol ketika menentang Portugal merupakan persembahan terbaik dalam Piala Dunia setakat ini.

Walaupun Sepanyol dilanda kontroversi dengan pemecatan Julen Lopetegui sehari sebelum perlawanan pembukaan, mereka berjaya bangkit sebanyak dua kali untuk mendahului perlawanan pada satu ketika sebelum Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pada saat akhir menerusi sepakan percuma untuk mengikat kedudukan menjadi 3-3.

Diego Costa merupakan penjaring terbanyak Sepanyol setakat ini dengan 3 gol. Kalau Morata, belum tentu dapat banyak tu

Neville yang kini bekerja sebagai pengulas sukan di Sky Sports turut berkata walaupun persembahan Sepanyol dicacatkan dengan kesilapan David De Gea, corak permainan yang ditunjukkan pemain Sepanyol wajar diberi pujian.

“Sepanyol pada mata saya merupakan pasukan yang kuat. Jika anda lihat aksi pertama mereka menentang Portugal, mereka berhak mendapat lebih kredit atas permainan yang dipamerkan mereka. Sudah tentu anda tidak jangka David De Gea akan melakukan kesilapan sedemikian.”

“Nacho juga melakukan kekasaran kepada Ronaldo pada 5 minit yang pertama, termasuk kekasaran Gerard Pique berdekatan kotak penalti yang mengakibatkan sepakan percuma kepada Portugal.”

Gary Neville percaya persembahan Sepanyol ketika menentang Portugal merupakan persembahan terbaik di Piala Dunia setakat ini. Mabuk ketum ke apa

“Dan sudah tentu, kesilapan-kesilapan ini berjaya dihukum oleh Ronaldo dengan jaringan gol. Pada pendapat saya, persembahan Sepanyol dalam perlawanan pertama merupakan persembahan terbaik yang saya saksikan setakat ini.”

Sepanyol mendominasi arena bolasepak antarabangsa bermula dari 2008 sehingga 2012 dimana mereka berjaya menjuarai EURO’ 2008, EURO’ 2012 dan Piala Dunia 2010.

Walau bagaimanapun, pada edisi Piala Dunia 2014, mereka tersingkir seawal peringkat kumpulan apabila tewas dua perlawanan pertama.

Tetapi untuk edisi Piala Dunia kali ini, Neville percaya Sepanyol mempunyai ramuan yang cukup untuk mara lebih jauh selepas berjaya menjinakkan Iran 1-0 dalam perlawanan kedua kumpulan B kelmarin.

“Ada sesuatu yang kurang menyenangkan mengenai Sepanyol. Keputusan seri menentang Portugal merupakan keputusan yang lebih baik dari apa yang semua sangka.”

Semua orang tidak menyangka David De Gea bertukar menjadi David De Karius dalam satu malam

“Saya tahu mereka menghadapi kesukaran menentang Iran tetapi mereka berjaya melepasi halangan tersebut. Pada pendapat saya buat masa sekarang, Sepanyol dan Brazil merupakan pasukan yang harus diberi perhatian.”

“Saya mungkin akan tukar ramalan saya dari Perancis kepada Brazil atau Sepanyol jika saya seorang kaki judi. Tetapi saya bukan kaki judi!”

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sepanyol adalah pertemuan menentang Morocco, pasukan yang sudah sah terkeluar dari saingan Piala Dunia.

Keputusan seri sudah cukup untuk melayakkan Sepanyol ke pusingan kalah mati.

BACA:  Gerard Pique Umumkan Persaraan Dari Arena Antarabangsa