Neville: Menang Lawan Liverpool Dan Kerusi Pengurus United Jadi Milik Solskjaer

Bekas pemain Manchester United, Gary Neville percaya amat sukar buat United untuk tidak menawarkan jawatan tetap kepada Ole Gunnar Solskjaer sekiranya pengurs tersebut berjaya memacu pasukannya menewaskan Liverpool malam esok.

Manchester United dan Liverpool bakal bertembung di Old Trafford dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam esok dengan setiap pasukan mempunyai misi masing-masing untuk dicapai.

Win against Liverpool tomorrow, and the job is yours Ole !

Liverpool  wajib meraih 3 mata penuh sekiranya mereka mahu menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, dengan Manchester City berkongsi mata yang sama dengan Liverpool ketika ini iaitu 65 mata.

Walau bagaimanapun, Liverpool masih mempunyai kelebihan 1 perlawanan manakala City tidak akan bermain minggu ini kerana bakal menentang Chelsea dalam final Piala Carabao.

Manchester United pula bagaikan tersedar dari mimpi ngeri selepas Solskjaer mengambil alih pasukan tersebut dari Jose Mourinho. Solskjaer berjaya membimbing United memenangi 11 dari 13 perlawanan yang mereka telah harungi bersama dan kini berada di tempat ke-4 dalam liga.

Satu-satunya kekalahan yang dialami Solskjaer setakat ini adalah tewas kepada Paris Saint-Germain dalam pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah. Selebihnya, mereka berjaya mencatat kemenangan penting ke atas pasukan seperti Chelsea, Arsenal dan Tottenham untuk memberi sesuatu yang boleh diraikan peminat Setan Merah musim ini.

Sukar untuk pengurus lain melakukan perkara yang Solskjaer lakukan ketika ini terhadap skuad United

Ketika bercakap kepada Sky Sports, Neville percaya Solskjaer hampir pasti ditawarkan jawatan tetap sekiranya beliau berjaya mencatat kemenangan ke atas Liverpool malam esok.

“Dua atau tiga bulan lepas Solskjaer mungkin berharap beliau akan mendapat jawatan tersebut. Tetapi jika beliau menewaskan Liverpool pada hari Ahad nanti, saya tidak nampak jalan lain kecuali menawarkan jawatan tetap kepada Solskjaer.”

“Jawatan tersebut tidak sepatutnya bergantung kepada satu perlawanan sahaja. Tetapi selepas menewaskan Chelsea, Tottenham, Arsenal dan Liverpool, saya rasa mustahil buat Solskjaer untuk tidak ditawaran jawatan tersebut.”

“Ia merupakan rentetan keputusan yang menakjubkan dan agak susah untuk tidak memberi jawatan tersebut kepada Solskjaer jika beliau berterusan menewaskan pasukan demi pasukan selepas ini.”

Rakan Neville di Sky Sports, Jamie Carragher juga percaya tiada siapa yang lebih layak untuk menggalas tugas pengurus United selain Solskjaer.

Martial dan Lingard antara pemain yang menyerlah di bawah Solskjaer

“Solskjaer sepatutnya sudah ditawarkan jawatan pengurus tetap atas apa yang beliau telah lakukan setakat ini. Agak susah untuk pengurus lain mengambil jawatan tersebut pada musim panas nanti.”

“Tekanan untuk mendapatkan tahap permainan seperti yang dipamerkan Anthony Martial, Paul Pogba, dan Marcus Rashford di bawah Solskjaer sekarang memang agak sukar.”

“Para pemain juga mahu Solskjaer mengisi jawatan pengurus tetap kerana mereka sedang menikmati bola sepak dan turut memenangi perlawanan.”

BACA:  Sedia Tinggalkan PSG, Pochettino Mahu Jadi Pengurus Man United