Gareth Southgate Pahlawan Yang Hapuskan Sumpahan Separuh Akhir England

Gareth Southgate akhirnya menjadi pahlawan bagi skuad Baginda Ratu yang telah berjaya menghapuskan sumpahan England di peringkat separuh akhir dalam kejohanan bola sepak utama dunia.

England di bawah bimbingan Gareth Southgate buat pertama kalinya mara ke perlawanan akhir EURO selepas menewaskan Denmark 2-1 dalam perlawanan ke-37 Tiga Singa sepanjang kejohanan EURO.

Ini merupakan perlawanan akhir pertama England di kejohanan utama dunia selepas 55 tahun sejak menjuarai Piala Dunia pada tahun 1966 selaku tuan rumah.

Tempoh 55 tahun ini juga merupakan tempoh paling panjang dalam sejarah bagi sebuah negara Eropah untuk mara ke final di dua kejohanan utama dunia itu iaitu EURO dan Piala Dunia.

Untuk rekod England telah tewas dalam enam daripada tujuh perlawanan terakhir mereka apabila perlawanan dibawa ke masa tambahan dalam kejohanan utama.

Namun Gareth Southgate telah memusnahkan dan menghapuskan segalan sumpahan dan badi itu termasuklah sumpahan separuh akhir England yang menyaksikan mereka kemarau ke final selama 55 tahun.

England pada mulanya dijangka tidak mampu pergi jauh kerana lawan menunggu mereka di pusingan kalah mati adalah Jerman atau Perancis atau Portugal dan Jerman menjadi lawan England.

England menukar jalan cerita dari laluan sukar kepada laluan mudah selepas tenang menumpaskan Jerman sekaligus membalas dendam kekalahan separuh akhir EURO 1996.

Ukraine pasukan di bawah anjing (underdog) merupakan lawan di suku akhir menjadi mangsa belasahan England apabila tewas dengan empat gol tanpa balas dan tidak melawan.

England mempamerkan aksi kebangkitan di hadapan penyokong sendiri selepas ketinggalan kepada Denmark di mana Mikkel Damsgaard telah menjaringkan satu sepakan percuma yang cantik dan merecik.

Namun jaringan padu Mikkel Damsgaard hanya sempat bertahan selama sembilan minit sahaja apabila Simon Kjaer telah menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran Bukayo Saka.

Kasper Schmeichel ternyata cemerlang menafikan percubaan England dan perlawanan dibawa ke masa tambahan. England memperoleh gol kemenangan yang kontroversi melalui sepakan penalti selepas Raheem Sterling dijatuhkan.

Kasper Schmeichel terus cemerlang apabila berjaya menyelamatkan sepakan Harry Kane, namum Kane pantas menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol kemenangan.

England sebelum ini telah kecundang sebanyak empat kali dalam saingan separuh akhir kejohanan utama dunia. Inilah perlawanan separuh akhir yang dikatakan satu sumpahan buat England.

Piala Dunia 1990

England layak ke perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1990 yang dianjurkan di Itali selepas menewaskan wakil Afrika, Cameroon 3-2 pada masa tambahan, sekaligus menempah tiket perlawanan bertemu Jerman Barat yang menewaskan Czechoslovakia di suku akhir.

Perlawanan separuh akhir berlangsung dengan sengit namun kedua-dua pasukan dilihat tidak mampu menembusi gol lawan pada separuh masa pertama. Pada minit ke 60, Andreas Brehme menggamatkan Stadium Delle Alpi di Turin apabila menjaringkan gol pendahuluan perlawanan menerusi sepakan percuma yang tertampan pemain England, lalu melemaskan penjaga gol, Peter Shilton.

Menjelang 10 minit terakhir perlawanan, England diselamatkan oleh penyerang sensasi mereka ketika itu, Gary Lineker, yang mengambil peluang daripada kekalutan tiga pertahanan Jerman Barat di dalam kotak penalti mereka.

Keputusan 1-1 kekal sehingga selepas masa tambahan dan membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti. Untuk rekod, ini adalah kali pertama England menghadapi situasi penentuan sepakan penalti dalam kejohanan besar.

Lineker, Peter Beardsley dan David Platt – kesemua mereka menyempurnakan tiga sepakan pertama England, dengan Brehme, Lothar Matthaus, Karl-Heinze Riedle melalukan perkara yang sama buat Jerman Barat.

Giliran penalti keempat England diambil oleh pertahanan kiri, Stuart Pierce, yang kemudiannya merembat bola ke tengah gol mengenai kaki penjaga gol Jerman, Bodo Ilgner.

Olaf Thon mengambil kesempatan ini dengan menyudahkan sepakan penalti keempat Jerman Barat sekaligus memberikan tekanan kepada pemain kelima England, Chris Waddle.

Bagaimana tingginya harapan rakyat England ketika itu, begitulah juga bola sepakan Waddle selepas dia melepaskan rembatan sekuat hati sehingga bola terbang melepasi gawang.

England pulang hampa sebagai pasukan keempat terbaik Piala Dunia selepas tewas di tangan tuan rumah, Itali di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kejohanan Eropah 1996

Enam tahun selepas kekecewaan tersingkir kepada Jerman Barat menerusi sepakan penalti, England sekali lagi berdepan pasukan yang sama di separuh akhir dan sekali lagi dikecewakan menerusi penentuan yang sama.

Musim panas tahun tersebut menyaksikan keyakinan tinggi bangsa Inggeris yang bola sepak akhirnya akan pulang ke rumah asalnya di mana mereka mendapat hak penganjuran. Tampil cemerlang di peringkat kumpulan dan suku akhir, England turun dengan begitu yakin menentang seteru lama mereka.

Seawal minit kedua, pasukan Tiga Singa mendahului lawan menerusi tandukan penyerang sensasi Alan Shearer. Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Stefan Kuntz menyamakan kedudukan buat pasukan Jerman dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat masa tambahan dibunyikan.

Lima sepakan penalti pertama berjaya disudahi dengan jaringan gol oleh England, sebelum Gareth Southgate berjalan dari tengah padang untuk mengambil sepakan sudden-death yang pertama England. Mungkin terlalu berdebar dan gemuruh, Southgate menyepak lemah dan diselamatkan Andreas Kopke, sebelum Andreas Moller menjaringkan penalti yang membawa Jerman ke perlawanan akhir menentang Republik Czech.

Piala Dunia 2018

England hadir ke Russia denga perasaan bercampur baur di mana mereka tidak diletakkan harapan yang tinggi oleh penyokong mereka sendiri selepas berulangkali tampil mengecewakan di pentas utama dunia, walaupun pernah dibarisi pemain yang digelar generasi emas pasukan seperti David Beckham, Steven Gerrard, Frank Lampard dan Michael Owen.

Malah sebelum bermulanya kempen Piala Dunia mereka, Southgate seakan menjadi bahan jenaka media di England, mengenangkan kegagalan penaltinya pada tahun 1996 dan juga aksinya yang melucukan dalam iklan pizza selepas itu, sehinggakan dia pernah digelarkan sebagai badut.

Selepas mereka berjaya menumpaskan Colombia menerusi sepakan penalti di peringkat 16-pasukan, tiba-tiba penyokong England disuap rasa yakin yang tinggi bahawa bola sepak akan pulang ke rumah pada kali ini. Pada perlawanan suku akhir, England mengatasi Sweden 2-0 dan menempah tiket ke separuh akhir bertemu Croatia.

England bermula garang di mana mereka berjaya mendapat gol awal menerusi sepakan percuma daripada pemain bek sisi, Kieran Trippier. Walaupun berdepan asakan hebat Croatia, mereka masih mampu mengekalkan kelebihan sehingga tamat separuh masa pertama.

Walaubagaimanapun pada minit ke-68, gol mereka akhirnya bocor juga apabila Ivan Perisic berjaya menewaskan Jordan Pickford menerusi tampanan di dalam kotak penalti hasil hantaran dari tepi. Kedudukan kekal sehingga 90 minit perlawanan dan diheret ke masa tambahan.

Pada minit ke-109, Mandzukic menghukum kelekaan pertahanan England menerusi rembatan jarak dekat dalam kotak penalti menewaskan Pickford, sekaligus menamatkan cabaran England memburu tiket ke perlawanan akhir.

Liga Negara-Negara 2019 (Nations League)

Selepas Piala Dunia, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah menganjurkan Liga Negara-Negara atau lebih mudah dikenali sebagai Nations League, dengan tujuan memberikan perlawanan berkualiti kepada negara-negara Eropah berbanding perlawanan persahabatan yang tidak membawa sebarang maksud.

England muncul sebagai juara Kumpulan A Liga A, mengatasi cabaran Sepanyol dan Croatia, sekaligus melayakkan mereka ke perlawanan separuh akhir menentang Belanda.

Pada minit ke-32, England mendahului pasukan lawan selepas dianugerahkan sepakan penalti apabila penyerang wonderkid Marcus Rashford dijatuhkan oleh Matthijs de Ligt. Rashford kemudiannya tenang menghadiahkan gol pertama buat pasukan Tiga Singa tersebut.

Pada minit ke-73, De Ligt menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol menerusi tandukan hasil bola hantaran sepakan sudut. Pada minitke-82, Jesse Lingard menggamatkan Estadio D. Alfonso Henriques d Guimaraes, Portugal apabila berjaya menembusi jaring Belanda sekali lagi.

Akan tetapi, seluruh pemain England kecewa apabila gol tersebut dibatakan kerana ofsaid selepas dilihat oleh VAR.

Kedudukan kekal sehingga 90 minit lantas mengheret perlawanan ke masa tambahan. Kyle Walker menjadi petualang pasukan apabila tertolak bola ke gol sendiri pada minit ke-97, sebelum Quincy Promes melengkapkan kemenangan Belanda pada minit ke-114

Kesimpulan

Jadi dengan layaknya England ke perlawanan akhir Kejohanan Eropah 2020 ni, nak tanya lah juga.

Agaknya dah habis ke sumpahan separuh akhir ni? Ke sebenarnya tiada sumpahan pun, tapi pasukan England sengaja buat kalah sebelum ni?

Sumber : Sportsmole

BACA:  Legenda England Dihentam Teruk Kerana Menzalimi Penyokong Kanak-kanak