Gergasi La Liga Sangat Berminat Untuk Dapatkan Anthony Martial Pada Jendela Perpindahan Januari Ini

Gergasi saingan La Liga, Atletico Madrid dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Anthony Martial pada jendela perpindahan Januari nanti.

Atletico mahu menawarkan pertukaran pemain dengan Manchester United pada Januari ini dengan harapan untuk mendapatkan penyerang sensasi setan merah, Martial.

Gergasi Sepanyol itu baru-baru ini telah diundi untuk bertemu Manchester United di pusingan 16 terbaik dalam saingan Champions League.

Diego Simeone dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Perancis itu, dengan beliau ketika ini sedang menggesa pimpinan kelab untuk mendapatkannya.

Eurosport mendakwa yang Atletico sangat yakin United akan lepaskan Martial pada jendela perpindahan Januari ini dengan pihak kelab bakal menghantar wakil ke Old Trafford untuk memulakan rundingan pada bulan ini.

Juara bertahan saingan La Liga itu juga sanggup menawarkan pertukaran pemain bersama Man United, dengan mereka akan memberikan sesiapa sahaja yang setan merah minat untuk dapatkan dari Wanda Metropolitano.

Martial sendiri merasakan yang khidmat beliau sudah tidak diperlukan lagi pada musim ini, dengan beliau baru membuat 10 penampilan sahaja dari semua pertandingan sepanjang musim baharu ini.

Dari 10 penampilan itu, Anthony Martial hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dan kerana itulah beliau juga turut berminat untuk meninggalkan kelab.

Beliau pada ketika ini masih mempunyai baki kontrak selama tiga tahun di Old Trafford, dengan Martial sebenarnya baru sahaja menandatangani kontrak baru pada tahun 2019 yang lalu.

Walau bagaimanapun, beliau dijangka sudah mula meminta ejennya untuk membawa beliau keluar dari Old Trafford pada jendela perpindahan Januari ini nanti.

Bercakap pada awal bulan lalu, ejen Martial, Philippe Lamboley menyatakan yang pemain penyerang Perancis itu mahu meninggalkan Old Trafford kerana kecewa tidak mendapat minit permainan yang diharapkan.

“Anthony berharap untuk meninggalkan kelab pada Januari nanti.”

Jelas Lamboley kepada Sky Sports News.

“Dia cuma mahu bermain. Dia tidak mahu kekal pada Januari ini dan saya akan berunding dengan kelab tidak lama lagi.”

Newcastle United, Arsenal, Barcelona dan Paris Saint Germain merupakan antara kelab yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Martial pada jendela perpindahan Januari ini.

Minggu ini, pengurus interim kelab, Ralf Rangnick telah ditanya tentang kenyataan dari Lamboley, dengan beliau kemudian menjawab:

“Saya tidak berkomunikasi dengan ejen melalui media.”

“Pemain sendiri tidak bercakap dengan saya atau kami semua tentang itu.”

Salah seorang pemain Atletico yang paling berpotensi untuk ditukarkan dengan Anthony Martial adalah Kieran Trippier.

Media Sepanyol, Mundo Deportivo mendakwa yang United sangat berminat untuk menandatangani Kieran Trippier pada musim panas lalu, namun usaha mereka bertemu kegagalan.

Setan merah dilaporkan akan sekali lagi berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan England itu pada jendela perpindahan Januari ini.

Tawaran dari Atletico Madrid untuk mengajak pertukaran pemain merupakan antara kesempatan terbaik untuk Manchester United mendapatkan pemain sasaran utama mereka itu.

Trippier yang kini berusia 31 tahun itu telah membuat 38 penampilan untuk Atletico Madrid sejak ditandatangani dari Tottenham Hotspur pada tahun 2019 yang lalu.

Beliau merupakan nadi penting kelab ketika membantu Atletico Madrid menjuarai saingan La Liga pada musim lalu.

Beliau juga turut pernah mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab, dengan Manchester United sememangnya bakal menjadi pasukan pilihannya seandainya beliau kembali ke England.

Arsenal dan Manchester City juga turut pernah menyatakan minat untuk mendapatkan Trippier, namun beliau sepertinya lebih memilih untuk ke Old Trafford.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Man Utd Bengang Martial Tidak Dipilih Sebagai Pengganti Nkunku