Gergasi Serie A Sangat Berminat Untuk Mendapatkan Khidmat Anthony Martial

Penyerang Manchester United, Anthony Martial ketika ini sedang diburu oleh Inter Milan dengan Juara bertahan Serie A itu berminat untuk menandatanganinya pada musim panas ini.

Gergasi Serie A itu sedang dalam usaha untuk merombak skuad sedia ada dengan mereka telah melepaskan Romelu Lukaku ke Chelsea dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £97.5 juta.

Inter Milan juga dilaporkan berkemungkinan akan melepaskan seorang lagi penyerang utama mereka, Lautaro Martinez dengan yuran perpindahan bernilai £60 juta ke Tottenham Hotspur.

Jentera serangan Inter yang membantu mereka menjuarai saingan liga kesemuanya telah menarik minat pasukan lain, dengan pihak kelab menerima tawaran yang sukar untuk mereka lepaskan.

Nerazzurri terpaksa menjual kedua-dua pemain tersebut memandangkan kedudukan ekonomi kelab tidak berada dalam keadaan yang begitu baik.

Namun begitu, menurut sumber laporan dari The Mirror, Inter telah mengenal pasti Anthony Martial sebagai calon terbaik untuk menggantikan Lukaku yang akan kembali beraksi dalam saingan Premier League.

The Nerazzurri telah hangat dikaitkan dengan pemain kebangsaan Perancis itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Terdapat juga laporan yang menyatakan United berminat untuk membuat pertukaran pemain yang melibatkan Ivan Perisic dengan Martial sejak dari era Jose Mourinho lagi.

Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak pernah dipersetujui, namun Inter masih tetap berminat untuk mendapatkan bekas bintang Monaco itu sebagai pemain pinjaman.

United pula telah meletakkan Martial sebagai pemain yang wajib mereka jual dan berminat untuk menawarkan bintang Perancis itu kepada Inter Milan.

Setan merah setidak-tidaknya mahu mendapatkan dana tambahan bagi mengurangkan beban mereka yang telah membelanjakan dana besar ketika membawa Martial ke Old Trafford pada tahun 2015 yang lalu.

Manchester United meletakkan tanda harga bernilai £50 juta untuk Anthony Martial, namun ia sepertinya agak tinggi dan kualiti yang ditunjukkan oleh pemain penyerang itu tidak berada di tahap terbaik.

Martial bakal kembali lebih baik berbanding sebelum ini

Martial pada musim lalu hanya mampu menjaringkan empat gol sahaja dalam saingan Premier League, dan lebih kerap menghabiskan masa di bangku simpanan sahaja kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Beliau mengalami masalah kecederaan lutut ketika sedang beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis dan menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang.

Beliau ketika ini sudah kembali beraksi dan diturunkan bermain selama 45 minit ketika aksi kemenangan 4-0 menewaskan Everton di Old Trafford kemarin.

“Dia menjalani latihan dengan baik bersama kami, tapi untuk pemain yang sudah berehat lama, mereka memerlukan masa untuk mendapatkan prestasi terbaik, perlu berusaha lebih keras.”

Jelas Ole Gunnar Solskjaer berkait keadaan Martial pada ketika ini.

“Ia adalah lebih baik dari sesuatu yang kami bimbangkan ketika mula-mula dia mengalami kecederaan pada Mac lalu. Dia nampak bagus. Semoga ia akan terus kekal setiap kali dia beraksi selepas ini.”

Sumber: SB

BACA:  Solskjaer: Martial Mampu Ulangi Pencapaian Ronaldo