Gnabry: Liverpool Pasukan Pilihan, Tetapi Kami Adalah Bayern Munich

Pemain sayap Bayern Munich, Serge Gnabry mendakwa Liverpool merupakan pasukan pilihan untuk layak ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah tetapi beliau tetap percaya Bayern Munich mampu mencipta kejutan apabila kedua-dua pasukan berentap pada minggu hadapan.

Pemain antarabangsa Jerman itu berkata beliau tidak terkejut ramai pihak meletakkan Liverpool sebagai calon pilihan untuk menang berdasarkan prestasi pasukan tersebut dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool pilihan utama tapi kami adalah Bayern Munich !

Liverpool kini berada di tangga ke-2 dalam Liga Perdana Inggeris, ketinggalan 1 mata di belakang Manchester City selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Everton malam kelmarin.

Ia merupakan keputusan seri ke-4 Liverpool dari 6 perlawanan liga terakhir mereka dan mereka juga gagal untuk menjaringkan sebarang gol dalam 2 dari 3 perlawanan terakhir.

“Saya tidak rasa pendapat orang ramai adalah salah [mengenai Liverpool sebagai calon pilihan]. Liverpool sedang melalui musim yang cukup cemerlang, anda tidak boleh nafikan perkara tersebut.” Ujar Gnabry kepada Goal.

“Itu tidak mengapa. Tetapi ia tidak bermakna kami akan menghadapi perlawanan itu dengan tidak mengharapkan apa-apa. Sebaliknya, kami mempunyai kekuatuan kami tersendiri. Kami adalah Bayern Munich, segalanya boleh berlaku.”

Gnabry antara pemain yang bermain cemerlang di Anfield tempoh hari. Robertson tercungap nk jaga Gnabry

Gnabry yang pernah bermain untuk Arsenal sebelum ini, mengakui beliau banyak belajar dari trio berbisa Liverpool iaitu Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Walau bagaimanapun, Gnabry merasakan terdapat seorang lagi pemain yang memainkan peranan yang sama penting seperti trio serangan Liverpool.

“Georginio Wijnaldum. Apabila saya melihat perlawanan Liverpool, beliau berada di mana-mana.”

“Beliau bekerja di belakang tabir, menjadi penghubung di antara bahagian tengah dan pertahanan. Beliau membuat impak yang cukup besar dalam permainan Liverpool.”

Dalam perkembangan lain pula, Gnabry baru sahaja menandatangani kontrak baru untuk kekal lebih lama bersama juara Jerman itu.

Gnabry menandatangani kontrak baru untuk kekal di Allianz Arena sehingga tahun 2023. Beliau menyertai Bayern Munich pada musim panas 2017 dari Werder Bremen.

Berikutan persaingan sengit dalam skuad utama, Gnabry dibenarkan untuk berpindah ke Hoffenheim secara pinjaman musim lepas dalam usaha untuk bermain dengan lebih kerap.

Tindakan meminjamkan Gnabry musim lepas nyata membuahkan hasil selepas pemain tersebut mempamerkan prestasi cemerlang bersama Bayern Munich dan muncul pemain penting dalam kesebelasan utama pasukan tersebut.

“Kami sangat gembira kerana dapat mengikat Serge bersama Bayern Munich untuk satu tempoh yang lama.” Ujar Direktor Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic.

“Beliau membuat langkah besar ke hadapan dalam musim pertamanya bersama kami.”

“Serge merupakan salah seorang pemain muda kami dan komponen penting dalam skuad ini. Kami yakin beliau akan membawa lebih banyak kegembiraan kepada kami.”

BACA:  Carragher: Adakah Nama Liverpool Sudah Tertulis Pada Trofi Liga Perdana Inggeris ?