Graeme Souness Namakan Pemain Yang Tak Sepatutnya Man Utd Jual

Graeme Souness sekali lagi tampil untuk mencari kesalahan Manchester United, dengan kali ini beliau menghentam keputusan setan merah melepaskan Jonny Evans sebelum ini.

Beliau menganggap setan merah tak sepatutnya menjual pemain pertahanan itu kerana mereka kini dilihat tidak memiliki pemain yang lebih bagus berbanding Evans.

Evans memulakan karier profesionalnya bersama Manchester United, dengan beliau telah membuat 200 penampilan bersama kelab secara keseluruhannya.

Dari 200 penampilan itu, Jonny Evans berjaya membantu setan merah untuk menjulang tiga kali gelaran Premier League sebelum dilepaskan oleh Man Utd.

Bekas pemain pinjaman Sunderland itu kemudiannya melengkapkan perpindahan menyertai West Bromwich Albion pada tahun 2015 dek kerana beliau bergelut untuk mendapatkan minit permainan di bawah kendalian Louis Van Gaal.

Evans kemudiannya bermain di peringkat tertinggi bersama Leicester City, yang mana beliau telah membuat 117 penampilan dan turut berjaya membantu The Foxes menjuarai saingan Piala FA.

United telah mengeluarkan dana yang sangat besar untuk menandatangani pemain pertahanan seperti Harry Maguire, Victor Lindelof, Eric Bailly dan Raphael Varane.

Namun mereka tetap bergelut dengan masalah prestasi di posisi tersebut dan kerana itulah Graeme Souness menegaskan yang mereka tak sepatutnya melepaskan Jonny Evans.

Lima tahun selepas setan merah menjual Evans, Souness masih tak nampak ada sebab yang masuk akal tentang mengapa setan merah membuat keputusan seperti itu.

Beliau merasakan Evans sebenarnya jauh lebih bagus berbanding kesemua pemain centre-back yang Manchester United ada pada ketika ini.

“Saya lihat Manchester United sebenarnya langsung tak buat kajian terperinci tentang bagaimana mereka bekerja.”

Jelas Souness kepada talkSPORT.

“Saya tak nampak sesiapa yang mengangkat tangan dan kata, ‘saya yang tandatangani dia. Dia pemain saya.’

“Saya tak nampak sesiapa yang bertanggungjawab untuk itu. Perkara paling penting untuk kamu lakukan kepada sesebuah kelab adalah pengambilan dan sejak berakhirnya zaman Fergie, ia merupakan perkara paling teruk yang dilakukan oleh Manchester United.”

“Itu adalah apa yang saya nampak. Kamu lihat pada pemain yang mereka bawa masuk, pemain mereka jual.”

“Jonny Evans dibenarkan untuk pergi. Jonny Evans sebenarnya jauh lebih bagus berbanding semua pemain centre-back yang mereka ada sekarang. Saya betul-betul tak faham.”

Evans merupakan antara anak emas Sir Alex Ferguson dengan beliau merupakan nadi penting kelab selepas berakhirnya era Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic.

Pengurus Ireland Utara, Michael O’Neill turut pernah menyatakan bahawa:

“Ada perjumpaan antara pengurus di Perancis dan Sir Alex ada di situ dan dia sempat berbual dengan saya. Secara terang-terangan dia kata pada saya yang dia tak percaya Van Gaal boleh jual Jonny dari United.”

“Dia rasa yang Evans sepatutnya terus bersama kelab dan akan menghabiskan kariernya di Old Trafford.”

Souness turut menghentam Anthony Martial dan Juan Mata ketika temu bual yang sama dengan beliau merasakan kedua-dua pemain ini sudah tidak patut ada bersama United.

Selain itu, Souness turut menghentam Manchester United kerana melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus interim, dengan beliau merasakan setan merah perlukan kejayaan segera.

Beliau merasakan Ralf Rangnick tak mungkin mampu untuk membantu United mendapatkan kejayaan segera dan turut mengkritik pengurus dari Jerman itu tidak terlalu bagus.

Manchester United pada minggu ini akan turun beraksi bertemu Arsenal di Old Trafford, dengan mereka bertekad mahu mencatatkan kemenangan pertama selepas berdepan beberapa keputusan yang mengecewakan sebelum ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kehadiran De Gea Buat Penyokong Setan Merah Teruja Selepas Kecewa Dengan Onana