Grealish Sudah Hampir Pasti Sertai City Dengan Yuran Perpindahan Bernilai £100 Juta

Jack Grealish dijangka akan melengkapkan perpindahan menyertai Juara saingan Premier League musim lalu, Manchester City dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £100 juta.

Terdapat laporan pada minggu lalu yang menyatakan bahawa Grealish yang awalnya berminat untuk menyertai Manchester United telah mengubah minatnya untuk menandatangani perjanjian bersama Manchester City.

Beliau dengan tiba-tiba mengubah keputusannya selepas mengetahui yang Pep Guardiola sedang bersedia untuk melengkapkan perpindahannya.

Menurut laporan sama, Juara Premier League itu telah mengadakan rundingan bersama Aston Villa dalam usaha mereka untuk mendapatkan Jack Grealish.

Rundingan untuk mendapatkan ketua pasukan Aston Villa itu dikatakan sudah hampir untuk diselesaikan dengan kedua-dua belah pihak telah bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Daily Mail melaporkan yang City akan menghantar bidaan rasmi bernilai £100 juta sebaik Grealish bersama skuad kebangsaan England menghabiskan acara Euro 2020 ini.

Menurut laporan dari talkSPORT, rundingan itu sudah hampir untuk diselesaikan, dan jika perlawanan terakhir England adalah bertemu Jerman di pusingan 16 terbaik, maka sebaik tamat perlawanan tersebut, bidaan rasmi akan dihantar oleh Manchester City.

Bintang berusia 25 tahun itu sepertinya sudah hampir melengkapkan perpindahan beliau menyertai Manchester United pada musim panas yang lalu.

Beliau berjaya menarik minat setan merah pada ketika itu selepas mempamerkan aksi persembahan cukup menakjubkan ketika membantu Villa kembali ke saingan premier league.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya telah menandatangani perjanjian baru dengan Aston Villa dengan pihak kelab berusaha untuk melindungi bintang mereka itu.

Beliau kemudiannya berjaya mengekalkan rentak persembahan terbaiknya pada musim berikutnya itu, dengan menjaringkan enam gol dan mencatatkan 10 assists.

Pada tahun 2021 ini, Jack Grealish kerap diketepikan dari skuad utama Villa kerana sering dibelenggu masalah kecederaan.

Ketika para peminat mendesak Gareth Southgate untuk menurunkan Grealish sebagai kesebelasan utamanya, Manchester City menjadi semakin berminat untuk mendapatkan ketua pasukan Aston Villa itu.

Manchester City akan memecahkan rekod £89 juta setan merah bayar untuk tandatangani Paul Pogba pada tahun 2016 yang lalu, untuk menjadikan Grealish sebagai pemain paling bernilai dalam saingan premier league.

City juga akan memecahkan rekod perpindahan termahal kelab yang bernilai €68 juta ketika mereka menandatangani Ruben Dias dari Benfica pada musim panas tahun lalu.

Villa juga sepertinya sudah berjaya mendapatkan pengganti untuk Jack Grealish selepas mereka baru-baru ini melengkapkan perpindahan mendapatkan Emi Buendia dari Norwich City.

City juga mungkin akan sekali lagi memecahkan rekod yuran perpindahan termahal premier league pada musim panas ini, dengan mereka bakal melaburkan dana besar untuk menandatangani Harry Kane.

Finalis Liga Juara-Juara musim lalu itu dilaporkan bersedia membayar Tottenham Hotspur £100 juta dan ditambah dengan seorang pemain dalam usaha mereka untuk mendapatkan Harry Kane.

Tottenham Hotspur dilaporkan meletakkan nilai £150 juta untuk pemain penyerang terhebat sepanjang zaman mereka itu.

Pep Guardiola mungkin mahu menggandingkan Grealish, Kane, Phil Foden dan Raheem Sterling di bahagian jentera serangan beliau pada musim hadapan.

Hal dan keputusan itu mungkin akan sepenuhnya dipersetujui oleh Gareth Southgate untuk memastikan kesemua pemain itu dapat membina keserasian bersama jika dipanggil sertai skuad kebangsaan.

Gabriel Jesus berkemungkinan bakal ditawarkan kepada Tottenham Hotspur sebagai pengganti Kane dan ditambah dengan £100 juta sebagai yuran perpindahan penyerang England itu.

Mengikut kepada semua sumber yang dipercayai, urusan perpindahan Grealish untuk sertai City sudah hampir pasti untuk dimuktamadkan.

BACA:  Tweet Lama Grealish Tentang Ronaldo Kembali Tular Di Media Sosial