Griezmann Bagi Alasan Bodoh Tentang Mengapa Perancis Sekadar Seri Bertemu Hungary

Antoine Griezmann menyalahkan jumlah penonton yang ada di Ferenc Puskas Arena merupakan sebab utama mengapa Perancis gagal untuk menewaskan Hungary.

Perancis telah menunjukkan rentak persembahan yang agak menarik ketika aksi perlawanan pembukaan Euro 2020 mereka bertemu Jerman sebelum ini.

Kemenangan menewaskan Jerman menyebabkan ramai yang beranggapan Perancis akan menang mudah bertemu Hungary, seterusnya mencatatkan kemenangan kedua mereka dari dua perlawanan awal.

Walaupun Hungary turun sebagai tuan rumah, namun pemenang Piala Dunia 2018 itu jelas menjadi pasukan pilihan untuk memenangi aksi bertemu pasukan yang dianggap lauk dalam kumpulan F itu.

Namun begitu, hal tersebut tidak berlaku seperti apa yang dibayangkan, Hungary ternyata menggila dalam perlawanan ini dan memberikan laluan yang sukar kepada Perancis.

Attila Fiola membuka tirai jaringan sebelum tamat aksi babak pertama permainan dan gol tersebut diraikan penuh meriah oleh 60,000 penonton yang ada di Arena tersebut.

Griezmann bagaimanapun berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk skuad Didier Deschamps mengikat Hungary 1-1 dalam perlawanan ini.

Walaupun tidak tewas, namun ia boleh dianggap sebagai satu kegagalan kepada pasukan pilihan seperti Perancis untuk tidak mengutip tiga mata penuh bertemu pasukan yang dianggap belasahan.

Bintang Barcelona, Antoine Griezmann telah memberikan alasan yang tak masuk akal dan dianggap alasan bodoh oleh sesetengah pihak tentang alasan mengapa Perancis gagal menewaskan Hungary.

“Kami tak dapat menyesuaikan diri di atas padang, kami sudah terbiasa bermain dengan suasana sunyi.”

Jelas bintang berusia 30 tahun itu kepada beIN Sports selepas tamat perlawanan.

“Kami tahu yang ia akan jadi sukar untuk kami.”

Bekas bintang Atletico Madrid itu telah menegaskan yang beliau bersama rakan senegaranya telah ‘terlupa’ bagaimana cara untuk membiasakan diri bermain dengan stadium dipenuhi penyokong.

Sememangnya tidak ada mana-mana pemain yang merasai nikmat bermain di hadapan penyokong seramai itu yang berada di stadium sejak Mac 2020 lagi.

Lebih tepat lagi, sejak wabak pandemik melanda dunia, bola sepak sering dimainkan secara tertutup dengan tidak ada penonton yang dibenarkan untuk masuk menonton.

Para penyokong yang menonton di rumah boleh dengar suara pemain dengan jelas ketika mereka beraksi tanpa kehadiran penonton di stadium.

Selepas itu, pihak stadium mula menyediakan bunyi palsu untuk jadi penghangat suasana dengan menambah bunyi suara penonton ketika perlawanan dilangsungkan menggunakan pita rakaman.

Hungary merupakan satu-satunya stadium di Euro yang membenarkan peminat memenuhi stadium, namun di tempat-tempat lain, masih ada yang menggunakan bunyi suara rakaman sebagai penghangat suasana.

Griezmann, Kylian Mbappe dan Karim Benzema berkesempatan untuk menjaringkan gol pada aksi babak pertama permainan, namun usaha mereka gagal.

Penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi telah mempamerkan rentak permainan yang sungguh menakjubkan dalam perlawanan ini, dengan beliau beberapa kali menafikan percubaan dari jentera serangan Perancis.

Fiola kemudiannya menggegar Puskas Arena dengan menjaringkan gol pembukaan untuk Hungary pada penghujung aksi babak pertama permainan.

Ousmane Dembele yang dimasukkan sebagai pemain gantian turut memperoleh kesempatan untuk menjaringkan gol, sebelum Griezmann menyamakan kedudukan.

Hugo LIoris menghantar bola jauh ke depan mencari Mbappe, dengan bintang PSG itu cemerlang mengawal bola di dalam kotak penalti sebelum melorongkannya mencari Griezmann untuk meledak gol penyamaan.

Walau bagaimanapun, keputusan seri sebenarnya satu keputusan yang teruk untuk Perancis kerana gagal untuk mencatatkan kemenangan menewaskan Hungary.

Pasukan tuan rumah pula meraikan kejayaan mereka mampu mengikat Juara Dunia itu dengan penuh kegembiraan.

Ia merupakan satu keputusan yang baik dicatatkan oleh Hungary. Mereka sebelum ini bertahan dengan cukup baik ketika bertemu Portugal, namun kelekaan menyebabkan gawang mereka dibolosi tiga kali di minit-minit akhir perlawanan.

Jadi kejayaan mereka untuk terus mengikat Perancis dan mencuri satu mata dari pasukan pilihan utama kejohanan ini bolehlah dianggap sebagai kejayaan yang cemerlang.

Satu lagi aksi perlawanan kumpulan F, Juara bertahan, Portugal dikejutkan dengan kekalahan 4-2 di tangan Jerman awal pagi tadi.

Perlawanan yang dijangka sengit itu sudahnya berakhir dengan Jerman menang mudah saja menewaskan Portugal.

Perancis selepas ini akan berdepan dengan Portugal, sementara Hungary pula akan berkunjung ke Munich untuk bertemu dengan Jerman.

Persaingan dalam kumpulan maut ini sememangnya sengit dengan belum ada pasukan yang betul-betul sudah selesa untuk layak ke pusingan 16 terbaik.

BACA:  Barcelona Buat Kelakar Dalam Rundingan Kontrak Griezmann Ke Atletico Madrid