Barcelona Buat Kelakar Dalam Rundingan Kontrak Griezmann Ke Atletico Madrid

Penyokong Barcelona sangat marah dengan rundingan yang dilakukan oleh kelab berkait urusan perpindahan mengejut Antoine Griezmann ke Atletico Madrid.

Griezmann akhirnya kembali ke Atletico Madrid, dengan beliau menyertai bekas kelabnya menerusi perjanjian pinjaman sehingga akhir musim ini.

Pemergian beliau jelas membantu Barca mengurangkan kos perbelanjaan, memandangkan kedudukan ekonomi kelab berada di tahap yang sangat teruk pada ketika ini.

Barca sememangnya mengalami masalah kewangan, dengan mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada legenda kelab, Lionel Messi atas masalah yang sama.

Walau bagaimanapun, para penyokong Barca jelas tidak gembira dengan rundingan yang dilakukan oleh kelab, selepas gergasi Catalan itu memasukkan pilihan pembelian tetap dalam kontrak Griezmann.

Pemain penyerang Barca itu boleh dibeli secara tetap oleh Atletico Madrid selepas tamat perjanjian pinjaman dengan yuran perpindahan bernilai €40 juta (£34 juta).

Gergasi Catalan itu mengeluarkan dana bernilai €120 juta (£107 juta) untuk menandatangani Antoine Griezmann pada tahun 2019, dengan pemain kebangsaan Perancis itu menerima gaji yang sangat lumayan di Nou Camp.

Penyokong Barca di media sosial mengecam keputusan kelab meletakkan tanda harga yang begitu murah, kerana mereka baru sahaja membeli Griezmann dua tahun lalu.

“Bartomeu cipta malapetaka, Laporta pula semakin menjahanamkan kelab. Barca diambang kemusnahan.”

“Saya rasa sepatutnya paling murah £60 juta, apa yang ada dalam fikiran Barca saya pun tak tahu, terlalu teruk rundingan mereka.”

“Kita beli dia dengan 120 juta pada dua tahun lalu, selepas bayar gaji dia yang mahal, sekarang kita nak lepaskan dia dengan harga 40 juta?”

“40 juta ni harga kita dapatkan Paulinho, kita beli Griezmann dengan harga 120 juta dari Atletico dan sekarang kita nak jual balik pada mereka dengan harga tiga kali ganda murah? Lebih baik jual pada kelab lain.”

“Atletico secara tak langsung berjaya memperbodohkan-bodohkan kita, dia jual dengan harga tinggi, sekarang dia dapat balik dengan harga murah, dan dia boleh buat duit dengan jual lebih mahal.”

Pemain berusia 30 tahun itu gagal untuk mempamerkan aksi persembahan yang baik sepanjang kariernya di Nou Camp, selepas Barca mengeluarkan dana yang besar untuk mendapatkannya.

Beliau hanya mampu membantu kelabnya menjuarai saingan Copa Del Rey sepanjang dua tahun kariernya bersama Barcelona.

Peminat tentunya sedar kemampuan sebenar Griezmann dengan beliau sebelum ini antara pemain terbaik dunia ketika kariernya bersama Atletico.

Barca sebenarnya berpotensi untuk menjual Griezmann dengan nilai yang lebih tinggi, walau tidak setinggi nilai mereka beli sebelum ini, namun ia tidaklah serendah €40 juta.

Mungkin kerana itulah para penyokong bengang dengan keputusan Barca yang memasukkan klausa pembelian tetap bernilai €40 juta dalam kontrak pinjaman Griezmann ke Atletico.

Penyokong tidak marah kelab meminjamkan beliau ke Atletico kerana boleh membantu kelab untuk mengurangkan perbelanjaan melibatkan gaji, namun klausa pembelian tetap itulah yang mengundang kemarahan mereka.

Griezmann bakal kembali beraksi di bawah Diego Simeone selepas ini, dan beliau dijangka bakal berjaya untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya semula.

Para penyokong Atletico tentunya gembira menyambut kepulangan semula bintang Perancis itu dan sudah tentu mereka tidak sabar untuk melihat aksi pemenang kasut emas Euro 2016 itu.

Griezmann juga bakal bergandingan semula dengan Luis Suarez dan andai beliau berjaya membantu Atletico mempertahankan kejuaraan La Liga, ia tentunya bakal menjadi berita buruk untuk penyokong Barcelona.

Mampukah Griezmann mendapatkan semula tahap persembahan terbaiknya? Atau beliau akan kekal hambar seperti kariernya bersama Barca? Bincangkan di ruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Godin Kecewakan Hati Peminat United Dengan Menyertai Inter Milan