Pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah berkata beliau sudah tidak sabar untuk turun berlumba di Litar Jerez hujung minggu ini walaupun mengalami kecederan kecil ketika berbasikal di Barcelona beberapa hari yang lalu.
Hafizh dilaporkan terjatuh dari basikalnya pada kelajuan 65km/h ketika berbasikal bersama rakan senegaranya yang lain iaitu Adam Norrodin dan Zulfahmi Khairuddin.
Akibat kemalangan tersebut, Hafizh mengalami luka di beberapa bahagian badannya tetapi dilaporkan cergas untuk berlumba. Hafizh kini dalam persediaan untuk menghadapi kempen MotoGP di benua Eropah yang bakal bermula dengan Litar Jerez di Sepanyol hujung minggu ini.
Pelumba Yamaha Tech 3 tersebut mengakui kesakitan yang dialaminya dari kemalangan basikal tidak akan menjejaskan semangatnya untuk berlumba.
“Saya okey. Kecederaan ini agak menyakitkan tetapi tidak cukup untuk melumpuhkan semangat saya. Walaupun mengalami kecederaan, saya masih lagi mahu meneruskan latihan fizikal.”
Hafizh berharap beliau mampu mempamerkan persembahan yang baik dalam perlumbaan seterusnya bagi mengekalkan statusnya sebagai pelumba rookie terbaik musim ini. Hafizh kini menduduki tangga ke-13 dalam keseluruhan pelumba dengan mengumpul 9 mata dari dua perlumbaan pertamanya iaitu Qatar dan Argentina.
Walaubagaimanapun, nasib Hafizh sedikit malang dua minggu lalu apabila terjatuh di Litar Texas, Amerika Syarikat sekali gus gagal mengutip mata dari perlumbaan tersebut.
“Saya tidak sabar untuk beraksi di perlumbaan seterusnya di Litar Jerez. Keadaan fizikal saya semakin bertambah baik dan saya sudah belajar bagaimana untuk mengawal jentera MotoGP dengan lebih baik.”
“Selepas kecewa di Texas, mood saya sudah kembali baik dan saya banyak menjalani latihan berbasikal. Jadi sekarang, saya lebih dari bersedia untuk berlumba kembali.”
“Saya akan cuba untuk mengelak dari melakukan kesilapan seperti di GP Amerika Syarikat dan saya berharap mampu kembali mengutip mata.”
Pengurus pasukan Yamaha Tech 3, Herve Poncharal turut berharap Hafizh mampu mengulangi prestasinya dalam dua perlumbaan awal MotoGP musim ini.
“Hafizh sangat kecewa terjatuh ketika perlumbaan dan gagal mengutip sebarang mata di Texas. Tetapi kami dapat melihat dalam pusingan kelayakan sebelum terjatuh yang beliau sangat laju. Sudah tentu Hafizh mahu menjadi sepantas itu lagi dan bersaing dengan pelumba-pelumba rookie yang lain.”
“Sepanyol merupakan negara yang istimewa buat Hafizh kerana negara ini merupakan pengkalannya di Eropah. Beliau mempunyai ramai peminat di negara ini dan nama timangannya ‘El Pescao’ [bermaksud ikan] juga datang dari Sepanyol. Jadi, pusingan kali ini bagaikan rumah keduanya dalam MotoGP.”