Hamidin Sah Bertanding Jawatan Presiden Pada Kongres FAM Yang Akan Datang

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengumumkan niatnya untuk bertanding merebut jawatan presiden badan bolasepak tersebut pada Kongres FAM yang bakal berlangsung pada 14 Julai nanti.

Kerusi panas Presiden FAM sekali lagi bakal menjadi perhatian umum apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan pengunduran beliau dari jawatan yang mula disandangnya setahun yang lalu.

Adakah Hamidin bakal menjadi Presiden FAM yang seterusnya ?

Perletakan jawatan Tunku Ismail telah diterima sebulat suara oleh kesemua ahli Exco FAM dalam mesyurat luar biasa Exco FAM yang berlangsung pada petang Isnin.

Dalam masa 3 bulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM, semua ahli Exco turut bersetuju untuk melantik Naib Presiden FAM, Datu Wira Yusoff Mahadi sebagai pemangku presiden buat sementara waktu.

Kesemua ahli Exco turut bersetuju untuk memberikan sokongan mereka terhadap Datuk Hamidin untuk menjadi presiden FAM yang seterusnya. Hamidin turut menerima sokongan daripada TMJ sendiri yang mahu beliau menggantikan tempat yang ditinggalkan baginda dalam kempimpinan FAM.

Hamidin berkata beliau sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar tersebut selepas menerima sokongan daripada TMJ dan rakan sejawatanya dalam FAM.

TMJ telah menyatakan sokongan penuhnya terhadap Hamidin

“Selepas perbincangan dari hati ke hati dengan Tunku Ismail dan mengambil kira segala aspek, saya mahu mengesahkan disini yang saya akan bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM yang bakal berlangsung Julai nanti.”

Hamidin berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan dokumen yang diperlukan bagi bertanding jawatan tersebut kepada pemangku presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

“Saya amat terharu dengan sokongan penuh yang diterima dari ahli Exco yang lain dan beberapa pihak lain. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah menyatakan sokongannya terhadap saya.”

“Berdasarkan senioriti dalam FAM, naib presiden FAM sekarang, Datuk Mahadi dan Datuk Subahan Kamal sepatutnya individu yang berhak untuk mengisi jawatan presiden. Tetapi ahli Exco telah menyatakan sokongan mereka terhadap saya pula. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah meletakkan kepercayaan terhadap saya.”

Setahun yang lepas. Dua pencalonan diterima FAM untuk jawatan presiden tetapi TSAM menarik diri pada saat akhir.

“Saya percaya saya mempunyai ramuan yang lengkap untuk menggalas cabaran tersebut selepas bertugas dibawah 3 presiden sebelum ini selama 5 tahun selaku setiausaha agung.”

Masih belum ada tanda-tanda Hamidin bakal berdepan cabaran untuk merebut jawatan tersebut. Peraturan FAM menyatakan mana-mana individu berhak bertanding merebut jawatan presiden sekiranya beliau menerima pencalonan dari kelab yang berdaftar di bawah badan induk tersebut.

Mereka yang berminat untuk bertanding jawatan presiden FAM mempunyai masa sehingga Mei untuk menghantar borang pencalonan. Jika tiada nama yang dihantar, Hamidin akan diumumkan sebagai presiden tanpa bertanding.

BACA:  FAM Bakal Untung RM1.26 Billion Setelah Bekerjasama Dengan MP & Silva Untuk Penswastaan Liga Malaysia