Hari Pertama Perlawanan Ke-6 Saingan UCL Menyajikan Aksi Luar Biasa Panas

Pada awal pagi tadi, sebanyak lapan perlawanan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Champions League telah dilangsungkan.

Liverpool, RB Leipzig, Atletico Madrid, Paris Saint Germain, Ajax, Borussia Dortmund dan Real Madrid masing-masing berjaya mencatatkan kemenangan dalam aksi terakhir mereka di peringkat kumpulan.

Tidak dinafikan banyak aksi-aksi menarik yang berlaku dari kesemua perlawanan yang dilangsungkan pada awal pagi tadi.

Paris Saint Germain kenduri gol menewaskan Club Brugge 4-1 selepas Lionel Messi dan Kylian Mbappe masing-masing meledak dua gol.

RB Leipzig cemerlang menewaskan Manchester City di halaman sendiri dengan perlawanan antara mereka berlangsung agak panas.

Liverpool cemerlang menumbangkan AC Milan dengan menggunakan barisan pemain muda dan pemain simpanan mereka, seterusnya mencipta sejarah pasukan Inggeris pertama catat semua kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan.

Atletico Madrid berjaya mengikuti jejak Liverpool untuk mara ke peringkat kalah mati selepas kejayaan mereka menewaskan Porto 3-1 di halaman lawan.

Ajax berjaya menewaskan Sporting CP 4-2 seterusnya berjaya menjadikan mereka sebagai satu lagi pasukan selain Liverpool yang mara ke aksi kalah mati dengan rekod 100% menang.

Borussia Dortmund berjaya mencatatkan kemenangan 5-0 menewaskan Besiktas, namun mereka gagal untuk layak ke aksi kalah mati.

Real Madrid mudah menewaskan gergasi Serie A, Inter Milan 2-0 dalam aksi perlawanan yang dilangsungkan di halaman mereka sendiri.

Perlawanan terakhir antara Sheriff Tiraspol bertemu dengan Shakhtar Donetsk pula berkesudahan dengan seri 1-1.

Tidak dinafikan lagi aksi hari pertama pada minggu ini sungguh menarik untuk disaksikan selepas hanya satu sahaja keputusan seri yang dicatatkan, sementara tujuh lagi perlawanan lain ada pemenang.

30 gol berjaya dijaringkan dari kesemua lapan perlawanan, dan yang paling menarik untuk dibincangkan adalah banyaknya kad amaran yang dilayangkan oleh pengadil perlawanan.

25 kad kuning yang dilayangkan oleh pengadil perlawanan dari kesemua perlawanan yang dilangsungkan, dengan Porto dan Besiktas paling banyak menerima kad amaran (3).

Aksi Liverpool bertemu AC Milan merupakan satu-satunya perlawanan yang bebas kad amaran dengan tidak ada layangan kad dari pengadil dalam perlawanan tersebut.

Paling teruk ada enam kad merah yang dilayangkan pada hari ini dan berikut merupakan enam penerima kad merah untuk aksi hari pertama minggu terakhir perlawanan peringkat kumpulan saingan Champions League.

Kyle Walker – Man City

Kyle Walker dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran yang sangat tidak sepatutnya beliau lakukan.

Beliau menyepak betis Silva dari belakang dan pengadil perlawanan segera melayangkan kad merah kepadanya atas aksi dungu beliau itu.

Wendell – Porto

Pertembungan antara Atletico dan Porto sememangnya sangat panas dan antara aksi yang paling banyak menerima layangan kad amaran.

Wendell dilayangkan kad merah selepas didakwa menyiku muka Matheus Cunha dan berlakunya kekecohan di garisan tepi padang ketika insiden itu berlaku.

Yannick Carrasco – Atletico

Carrasco menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah dalam aksi panas antara Atletico Madrid bertemu Porto.

Beliau dilayangkan kad merah selepas menghayun leher Otavio yang mahu mengambil bola dari tantannya, dan menyebabkan bintang Porto itu tersembam mencium tanah.

Agustin Marchesin – Porto

Agustin Marchesin dilayangkan kad merah selang satu minit sahaja selepas rakan sepasukannya, Wendell di buang padang.

Beliau merupakan penjaga gol simpanan Porto dan dilayangkan kad merah kerana turut campur bergaduh ketika insiden kekecohan sebelum Wendell dibuang padang.

Welinton – Besiktas

Kad merah yang dilayangkan kepada Welinton sebenarnya agak kontroversi dengan ramai yang merasakan beliau tak sepatutnya dilayangkan kad merah.

Beliau melakukan kekasaran dengan melanggar Mahmoud dari belakang di dalam kotak penalti, dengan pengadil perlawanan segera melayangkan kad merah.

Nicolo Barella – Inter Milan

Dek kerana gagal mengawal emosi, Nicolo Barella telah dilayangkan kad merah kerana menumbuk kaki bintang Real Madrid, Eder Militao.

Beliau awalnya dikasari oleh Eder Militao dan reaksi beliau selepas dijatuhkan itu agak keterlaluan dengan Barella terus hayun penumbuk tepat ke kaki bintang Madrid itu dan menyebabkan beliau dilayangkan kad merah.

BACA:  Real Madrid Diaibkan Oleh Pendatang Baru Dalam Saingan Champions League