Harry Kane Masih Berharap Dipinang Man Utd

Laporan oleh Daily Mail mendedahkan Harry Kane masih berharap untuk menyertai Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini, dan ia terpulang sama ada pengerusi kelab, Daniel Levy sanggup menurunkan tanda harga £100 juta.

Kapten England itu beraksi di Old Trafford pada Isnin lalu dan menjaringkan dua gol untuk membantu negaranya menewaskan Macedonia Utara 7-0 di pusingan kelayakan Euro 2024.

Namun kemungkinan untuk Kane berhijrah ke Man United hanya berlaku sekiranya Levy melembutkan hatinya.

United sebelum ini berpendirian tidak akan berurusan sekiranya perlu membayar £100 juta untuk pemain yang akan berusia 30 tahun dan memiliki baki kontrak setahun bersama Spurs itu.

United sebelum ini turut mengakhiri minat untuk mendapatkan Kane buat masa ini dan mengalihkan perhatian mereja kepada penyerang Atalanta, Rasmus Hojlund.

Walaupun demikian tawaran benilai £80 juta berkemungkinan akan mengembalikan United ke meja rundingan dan Erik ten Hag dilaporkan memilih untuk mendapatkan penyerang yang mempunyai sudah terbukti kemampuannya dan memiliki rekod cemerlang di Premier League.

Kane dilihat sebagai pemain yang sesuai dengan profil dikehendaki Ten Hag selepas menjaringkan 213 gol setakat ini – berada di belakang Alan Shearer sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman – selain memiliki 58 gol bersama England.

Chelsea adalah pilihan lain buat Kane tetapi perpindahan sesama kelab London akan memusnahkan legasi beliau bersama Spurs sekiranya berpindah ke Stamford Bridge – walaupun bakal bekerjasama kembali bersama Mauricio Pochettino.

Levy sebelum ini turut menjelaskan beliau berpendirian enggan menjual Kane kepada mana-mana kelab Inggeris kerana dianggap hanya akan memperkuatkan pasukan lawan.

Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Bayern Munich adalah antara kelab eropah lain yang pernah dikaitkan dengan penyerang itu dan sedang memantau secara dekat situasi tersebut.

Pilihan utama Kane sentiasa adalah Man United dan kini beliau berharap Levy sudi menurunkan tanda harga kepada £80 juta.

Namun buat masa ini Leby dijangka akan kekal dengan pendiriannya – sepertimana ketika dia menolak tawaran £125 juta untuk pemain sama pada musim pans lalu.

Sekiranya situasi tersebut kekal, Kane terpaksa menunggu semusim lagi untuk meninggalkan Tottenham secara percuma.

United pula tidak mahu menunggu dan berhadapan masalah menunggu Levy berubah fikiran menyebabkan kelab itu mencari alternatif lain yang lebih realistik.

Selain itu Ten Hag turut sedang dalam pemburuan untuk mendapatkan Mason Mount daripada Chelsea dan tawaran hampir £50 juta dipercayai telah diolakukan.

Dalam perkembangan lain penjaga gol, David de Gea dijangka akan meninggalkan United sebagai ejen bebas pada minggu hadapan.

Ini bermakna kelab itu kini turut berada dalam pemburuan untuk mengisi jersi No.1 pasukan.

Beberapa nama lain seperti Anthony Martial, Harry Maguire, Scott McTominay, Fred, Anthony Elanga dan Brandon Williams turut dipercayai akan meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini.

Fred pula dikaitkan dengan perpindahan £20 juta ke Fulham, manakala Zidane Iqbal akan menyertau FC Utrecht dengan nilai £850,000.

BACA:  Arnautovic Gembira Di West Ham Walaupun Dikaitkan Dengan Manchester United