Harry Maguire Nafi Ada Masalah Dengan Cristiano Ronaldo

Jika penafian itu merupakan satu tanda-tanda kesedihan, Old Trafford minggu ini mungkin sudah banjir dengan tangisan dan air mata.

Terlalu banyak berita berkait kem United dan sudah tentu setiap isu dibalas dengan penafian oleh para pemain dengan terbaru Harry Maguire pula tampil menafikan dakwaan beliau ada masalah dengan Cristiano Ronaldo.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, agak mustahil untuk peminat tak baca kisah tentang Manchester United, dan tidak keterlaluan untuk katakan setiap hari akan ada isu berkait skuad setan merah itu.

Baik dari segi keputusan perlawanan, aksi dungu di atas padang, aksi kelakar Maguire mahupun situasi tegang di bilik persalinan yang mencetuskan ketidakharmonian di kalangan pemain.

Manchester United akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Brighton hujung minggu lalu, selepas mereka mengharungi dua perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Sebelum mencatatkan dua keputusan seri berturut-turut, United turut terikat 1-1 bertemu Middlesbrough dalam saingan FA Cup, dan terpaksa akur tersingkir selepas tewas dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Selain dari isu atas padang, terlalu banyak isu luar padang yang berlaku melibatkan kem Man Utd dengan isu perhubungan Ralf Rangnick dan Cristiano Ronaldo semakin retak turut menjadi topik perbualan hangat para peminat.

Kemudian timbul pula isu yang mengatakan bahawa bintang Portugal itu mempunyai masalah dengan pemain kebangsaan England, Marcus Rashford.

Terbaru, tular satu lagi isu yang dibocorkan oleh sumber dalaman kelab sendiri, yang mengatakan bahawa Cristiano Ronaldo seolah-olah mahu merampas jawatan ketua pasukan dari Harry Maguire.

Isu berkait Maguire dan Ronaldo dikatakan berpunca dari ketidakpuashatian bintang England itu terhadap pengaruh yang dimiliki oleh Cristiano Ronaldo.

Selepas para peminat hangat membincangkan hal tersebut, ketua pasukan Manchester United itu tampil menafikan dakwaan yang mengatakan beliau tak puas hati dengan Ronaldo.

Laporan tersebut mendedahkan yang Ralf Rangnick telah meminta pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu untuk memantau para pemain muda dalam skuad.

Maguire dilaporkan tak berpuas hati dengan hal tersebut dan merasakan yang hak beliau sebagai ketua pasukan tidak berguna.

Beliau turut merasakan yang para pemain muda kini sudah mula hilang rasa hormat kepadanya.

Maguire tak puas hati Ronaldo miliki pengaruh lebih besar

Cristiano Ronaldo dan Harry Maguire dilaporkan sedang berdepan masalah melibatkan pengaruh dan kuasa berkait kepimpinan dalam kem United.

Hal tersebut sedikit sebanyak turut memeningkan kepala pengurus interim kelab Ralf Rangnick dan pengurus dari Jerman itu sendiri bingung memikirkan masalah yang sedang berlaku.

Ronaldo yang kini berusia 37 tahun berjaya mengakhiri kemarau enam perlawanan tanpa sebarang jaringan, selepas beliau meledak gol ketika aksi kemenangan 2-0 United menewaskan Brighton di Old Trafford.

Walau bagaimanapun, pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu dilaporkan tidak gembira dengan prestasi setan merah pada ketika ini.

Beliau turut dikatakan berpotensi untuk meninggalkan Old Trafford, seandainya Manchester United gagal untuk berada di kelompok empat teratas dalam carta saingan liga pada penghujung musim nanti.

Ronaldo yang kini masih dalam kontrak bersama setan merah sehingga 2023 itu telah berjaya menjaringkan 15 gol dari 27 penampilan dalam semua pertandingan sejak dari awal beliau ditandatangani pada musim panas lalu.

The Daily Mirror melaporkan yang bekas bintang Juventus itu bersama ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire sedang dalam krisis berkait pengaruh dalam bilik persalinan.

Menurut laporan dari akhbar tersebut, Ralf Rangnick telah berunding dengan kedua-dua Maguire dan Ronaldo berkait pertukaran ketua pasukan sehingga akhir musim ini.

Maguire yang ditandatangani oleh kelab dengan nilai £80 juta pada 2019 itu sedang berdepan kecaman teruk dari pelbagai pihak berkait kedudukan beliau sebagai ketua pasukan.

Beliau juga turut dihentam teruk kerana sering mempamerkan aksi dungu dan boleh dikatakan beliau akan buat kelakar dalam setiap perlawanan.

Walau bagaimanapun, pemain pertahanan yang kini berusia 28 tahun itu menolak untuk melepaskan jawatan sebagai ketua pasukan, kerana beliau bimbang beliau akan kehilangan jawatan itu buat selama-lamanya.

Laporan sama turut mendedahkan yang Harry Maguire sebenarnya rasa tergugat sejak kehadiran Cristiano Ronaldo tambahan selepas Ralf Rangnick beri tugasan khas kepada bintang Portugal itu

Ronaldo dikatakan memiliki pengaruh yang lebih besar dalam bilik persalinan dengan pemain-pemain muda dilaporkan sentiasa mengikuti beliau.

Ralf Rangnick yang akan melepaskan jawatan sebagai pengurus interim kelab pada penghujung musim nanti itu telah memberi tanggungjawab kepada Ronaldo, agar memantau para pemain muda dalam skuad United.

Walau bagaimanapun, hal itu telah mencetuskan ketegangan dan menimbulkan rasa tak senang Harry Maguire terhadap kehadiran Ronaldo.

Bekas bintang Leicester City itu dilaporkan merasa terpinggir dan turut kecewa kerana menganggap ramai pemain sudah mula hilang rasa hormat kepadanya.

Maguire menjadi ketua pasukan United tidak sampai enam bulan selepas beliau ditandatangani, dengan Ole Gunnar Solskjaer ketika itu memberikan beliau armband selepas Ashley Young meninggalkan kelab pada Januari 2020.

The Mirror mendakwa yang walaupun pada awalnya Ronaldo beri sokongan kepada Harry Maguire untuk terus menjadi ketua pasukan, namun sokongan vokalnya sudah semakin berkurangan.

Terdapat laporan dari dalam kem United sendiri yang kini Ronaldo sebenarnya hanya menunggu masa sahaja untuk dilantik sebagai ketua pasukan bagi menggantikan Harry Maguire.

“Pada asalnya, Ronaldo meminta pemain lain untuk menyokong Harry. Tapi masalahnya pengurus sekarang mahu Ronaldo untuk pantau semua pemain muda.”

Jelas sumber dalaman United kepada Mirror.

“Hal itu menyebabkan Harry hilang pengaruh, sebagai ketua pasukan, dia perlu akur apa saja yang dikatakan oleh Ronaldo untuk memastikan keadaan terkawal.”

Marcus Rashford baru-baru ini turut memuat naik status di laman twitter untuk menjelaskan tentang isu yang mengatakan bahawa beliau dan Maguire tak gembira melihat Ronaldo terlalu gila pengaruh

Man Utd kini berada di kedudukan keempat dalam carta saingan liga, dengan mereka selepas ini akan berkunjung ke Elland Road untuk beraksi bertemu Leeds United dalam saingan Premier League.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ronaldo Tolak Lakukan Hal Ini Bersama Juventus, Tapi Beliau Lakukannya Bersama United