Hati Cech Panas Gara-Gara Komen ‘Troll’ Dari Bayern Leverkusen

Penjaga gol Arsenal, Petr Cech berada dalam mood yang tidak baik selepas membaca satu komen daripada Bayern Leverkusen mengenai kesilapan beliau yang hampir menjaringkan gol sendiri ketika menentang Manchester City hujung minggu lalu.

Kelab Jerman itu secara bersahaja menyatakan Arsenal sepatutnya meletakkan Bernd Leno sebagai penjaga gol utama dan komen tersebut nyata tidak diterima dengan baik oleh Cech.

Cech bukan seorang yang suka dipermainkan perasaan. Makin tua makin sensitif pulak mamat ni

Cech yang kini berusia 36 tahun tidak melihat komen tersebut sebagai satu perkara yang kelakar dan mempersoalkan tahap profesional Bayern Leverkusen dalam mengendalikan akaun rasmi Twitter mereka.

Dalam perlawanan pertama Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, Cech mendapat kepercayaan Unai Emery untuk berada dalam kesebelasan utama dan meninggalkan penjaga gol baru mereka, Bernd Leno di bangku simpanan sepanjang perlawanan.

Walaupun Cech melakukan beberapa aksi menyelamat, beliau dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Emery yang gemar melakukan ‘build-up’ dari bawah. Ia terbukti apabila Cech hampir-hampir menjaringkan gol sendiri ketika cuba melorongkan bola kepada Shkodran Mustafi.

Insiden itu menyebabkan Cech menerima kritikan dari ramai peminat Arsenal yang merasakan masanya sudah tiba untuk meletakkan bekas penjaga gol Chelsea ini di bangku simpanan bagi perlawanan seterusnya.

Detik yang menyebabkan peminat Arsenal menerima serangan jantung

Video pendek insiden itu tersebar bagai api yang marak di Twitter dan berjaya menarik perhatian bekas majikan Leno dulu, Bayern Leverkusen.

“We might know a guy..”

Itu reply dari akaun rasmi Bayern Leverkusen selepas melihat kesilapan Cech dalam insiden tersebut. Ia memberi gambaran Arsenal sepatutnya beralih arah kepada Bernd Leno yang mungkin lebih sesuai bermain dalam sistem Emery.

Bayern Leverkusen turut memuat naik satu video untuk ‘mengajar’ Arsenal bagaimana untuk membuat ‘build-up’ dari bawah, sesuatu yang gagal dilakukan Arsenal ketika menentang City.

Bagaikan hati yang diguris sembilu, Cech terbaca komen tersebut di Twitter dan gagal melihat perkara tersebut sebagai satu bentuk jenaka.

“Arsenal berkongsi nilai-nilai penting yang bukan hanya mengenai bola sepak yang menjadikan kami sebuah kelab besar. Persaingan yang adil, profesionalism, dan sportmanship merupakan perkara paling penting yang perlu diajar kepada pemain muda dan agak sedih apabila kelab lain di luar sana tidak berkongsi nilai yang sama. @bayern_en”

Bukan semua orang boleh dibawa bergurau, dan Petr Cech bukan orangnya. Bagi menjernihkan kembali keadaan, Bayern Leverkusen menghulurkan permohonan maaf atas keterlanjuran jari  admin menaip perkataan di dunia maya.

“Hi Petr. Mengenai jenaka kami yang mahu melihat Leno, bekas pemain kami beraksi, mungkin telah disalah ertikan daripada sepatutnya. Ia hanya sekadar banter. Kami turut berkongsi nilai yang sama seperti anda sebutkan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada anda dan kelab anda. Nice 1v1 save on Aguero !”

Jadi ingatlah, bukan semua orang boleh dibawa bergurau di dunia maya. Beringatlah sebelum menaip sesuatu di laman sosial walaupun dengan niat untuk bergurau kerana ia mungkin mengguris perasaan seseorang yang kita tidak tahu.

Sekian kuliah Dhuha untuk pagi Selasa yang mulia ini.

BACA:  Bintang Arsenal Update Story Merayu Agar Kelab Melepaskannya