Hazard: Jika Diberi Pilihan, Saya Mahu Kembali Bekerjasama Dengan Mourinho

Pemain sayap Chelsea, Eden Hazard meluahkan perasaan kesalnya terhadap apa yang telah berlaku antara beliau dengan Jose Mourinho suatu ketika dahulu dan berkata beliau teringin untuk kembali bekerjasama dengan Mourinho jika diberi peluang.

Pengurus berasal dari Portugal itu kembali ke Chelsea buat kali kedua pada Mei 2013 dan berjaya membimbing kelab tersebut menjulang trofi Liga Perdana Inggeris pada musim yang berikutnya. Namun begitu, Mourinho dipecat dari jawatannya pada musim 2015/2016 berikutan prestasi hambar dalam Liga Perdana Inggeris.

Hazard rindu untuk bekerjasama dengan Mourinho. Ada can Hazard nak masuk Menyu musim depan, kalau Mourinho ada lagi la

Mourinho juga dikritik hebat pelbagai pihak kerana mempunyai hubungan dingin dengan beberapa pemain utama ketika itu seperti Eden Hazard dan Cesc Fabregas. Mourinho juga tanpa berselindung mengkritik beberapa pemain Chelsea secara umum.

Dalam satu temubual eksklusif bersama akhbar dari Belgium HLN, Hazard menceritakan kembali apa yang telah berlaku pada musim terakhir Mourinho bersama Chelsea. Hazard juga mendedahkan kebanyakan pemain tidak berasa gembira ketika menjalani sesi latihan disebabkan Mourinho.

Walau bagaimanapun, Hazard berasa kesal dengan apa yang berlaku pada musim tersebut dan beliau menghantar mesej peribadi kepada Mourinho meminta maaf atas persembahan buruknya sebaik sahaja Mourinho dipecat Chelsea.

Hazard antara pemain yang meminta maaf secara peribadi kepada Mourinho selepas jurulatih itu dipecat

“Sepanjang 12 tahun saya bermain bola sepak, saya hanya melalui satu musim yang buruk. 6 bulan terakhir di bawah Mourinho sangat teruk, dan sebahagiannya disebabkan salah saya sendiri.”

“Selepas berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris, kami meminta Mourinho memberikan lebih banyak cuti. Disebabkan cuti yang lama, saya kembali untuk pra-musim dalam keadaan fizikal yang tidak bagus.”

“Musim terakhir di bawah Mourinho merupakan musim yang tidak menyeronokkan. Kami gagal untuk mencari kemenangan. Kami juga menjalani latihan dalam keadaan yang tidak seronok. Penyelesaian terbaik pada ketika itu adalah semua pihak membawa haluan masing-masing.”

“Tetapi jika anda tanya saya siapakah jurulatih yang saya mahu kembali bekerjasama, jurulatih itu adalah Jose Mourinho.”

“Saya tidak mempunyai banyak penyesalan dalam karier saya. Tetapi kegagalan untuk bekerjasama dengan lebih lama bersama Mourinho di Chelsea merupakan salah satu daripadanya.”

“Kami sebenarnya mempunyai pasukan yang mantap untuk memenangi lebih banyak trofi. Tapi akhirnya, kami mengharungi kitaran negatif.”

“Saya menghantar mesej kepada Mourinho untuk meminta maaf atas pemecatan beliau. Kami menikmati kejayaan bersama tetapi pada musim tersebut, kami gagal.”

Trofi EPL terakhir Mourinho

“Saya berasa agak bersalah pada ketika itu kerana saya baru sahaja memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan pada musim sebelumnya. Saya merupakan pemain yang menjadi tonggak utama pasukan tetapi saya gagal beraksi dengan baik.”

Jika dilihat pada apa yang berlaku di Manchester United sekarang, skrip sama mungkin berulang. Prestasi United dalam Liga Perdana Inggeris yang terumbang ambing dan hubungannya dengan beberapa pemain utama seperti Paul Pogba dan Anthony Martial berada pada tahap paling rendah.

Adakah sumpahan musim ke-3 Mourinho akan berulang di Old Trafford musim ini ? Sama-sama kita tunggu.

BACA:  Pemuda Dari Malaysia Mengejutkan Dunia Bola Sepak Dengan Ramalannya Yang Tepat