Hazard Nafi Wujud Masalah Antara Beliau Dan Lukaku

Kapten Belgium, Eden Hazard menafikan dakwaan wujud masalah dalam skuad Belgium di Piala Dunia 2018 berikutan kritikan pedas yang dilemparkan Hazard terhadap rakan sepasukannya sebelum ini.

Hazard berkata beliau tidak menyesal melakukan tuduhan terhadap Romelu Lukaku yang disifatkannya ‘bersembunyi’ sebelum pemain terbabit menjaringkan dua gol untuk Belgium bagi membantu mereka menang 3-0 ke atas Panama beberapa hari yang lalu.

Hazard tidak mahu Lukaku bersembunyi di hadapan gol

Pemain tengah Chelsea itu yang diberikan tugas untuk mengemudi pasukan dalam perlawanan pembukaan meluahkan rasa tidak puas hati beliau terhadap persembahan pasukan pada separuh masa pertama.

Lukaku antara pemain yang menjadi sasaran Hazard berikutan aksi hambar beliau pada separuh masa pertama perlawanan.

Kritikan Hazard terhadap rakan-rakannya nyata membuahkan hasil apabila Belgium mempamerkan persembahan yang lebih kemas pada separuh masa kedua dan berjaya menemui jaring Panama sebanyak 3 kali.

Hazard mengakui kritikan tersebut bukan bersifat peribadi dan dilakukan demi kepentingan pasukan. Beliau juga berkata seluruh pemain Belgium masih bersatu padu dan mereka sedang bekerja keras untuk mempamerkan potensi sebenar pasukan.

Selepas mendengar syarahan Kapten Hazard, Lukaku dengan mudah menjaringkan dua gol. Padu

“Sebagai seorang kapten, ataupun jika saya bukan kapten, saya masih boleh bercakap. Saya akan bermain sebaik mungkin di atas padang dan jika mampu, saya akan membantu pemain-pemain lain untuk bermain dengan lebih baik.”

“Saya hanya beritahu Romelu Lukaku jika kami mahu memenangi perlawanan menentang Panama, kami memerlukan beliau untuk menjaringkan gol. Bukan hanya sebagai penjaring gol sahaja, tetapi beliau juga perlu terlibat dalam build-up.”

“Saya dan Lukaku bercakap seperti biasa, dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan tersebut. Segalanya berlangsung dengan baik.”

Hazard terpaksa mengeluarkan kenyataan baru bagi menjawab temu ramah beliau kepada wartawan selepas tamat pertemuan menentang Panama.

Ketika ditemu ramah, Hazard memberitahu kepada pemberita beliau ada berbincang dengan Lukaku pada rehat separuh masa pertama mengenai aksi hambar penyerang Manchester United itu.

“Saya hanya beritahu Lukaku pada rehat separuh masa pertama yang kami memerlukan beliau. Beliau ‘bersembunyi’ di hadapan gol pada separuh masa pertama.”

“Walaupun kami mempunyai ramai pemain yang bagus, agak sukar buat pasukan untuk bermain tanpa seorang pemain.”

Juara Piala Dunia 2018 ?

“Sebaik sahaja beliau terlibat dalam permainan, seperti magik, Lukaku berjaya menjaringkan dua gol. Saya harap beliau faham apa yang saya cuba sampaikan di sini. Beliau tidak beraksi buruk dalam perlawanan itu.”

“Lukaku berjaya menjaringkan dua gol,  jadi semua orang pulang dengan gembira. Ia juga bagus untuk keyakinan beliau. Tetapi saya mahu beliau lebih banyak terlibat dalam permainan, terutamanya pada separuh masa pertama kerana kami tahu apa yang beliau mampu lakukan.”

Belgium akan menghadapi Tunisia dalam perlawanan yang akan berlangsung Sabtu ini dan ia bakal menjadi medan terbaik buat Lukaku untuk mencari lebih banyak gol bagi mengejar kedudukan Cristiano Ronaldo dalam persaingan merebut Kasut Emas Piala Dunia.

BACA:  Hazard Akui Berbelah Bahagi Sama Ada Untuk Memilih Real Madrid Atau Chelsea