Hazard Sanggup Bermain Dimana Sahaja Untuk Conte

Pemain Chelsea, Eden Hazard berkata beliau sanggup bermain dimana sahaja seperti diarahkan Antonio Conte walaupun posisi tersebut bukan posisi kegemarannya.

Dalam beberapa perlawanan besar sebelum ini, Hazard sering diletakkan bermain di posisi paling atas untuk Chelsea. Beliau bertindak sebagai pemain ‘false 9’ dan mempunyai kebebasan penuh untuk bergerak di atas padang tanpa terikat dengan mana-mana zon.

Berkorban apa saja.. harta apa pon nyawa…

Posisi serangan merupakan masalah besar buat Chelsea musim ini berikutan prestasi tidak konsisten pemain termahal kelab, Alvaro Morata dan penyerang antarabangsa Perancis, Olivier Giroud dibawa masuk dari Arsenal untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dengan Morata bergelut untuk mencari prestasi terbaiknya, Conte memilih Hazard untuk mengetuai jentera serangan The Blues, sesuatu yang tidak begitu digemari sebilangan besar peminat pasukan tersebut.

Walaubagaimanapun, pemain antarabangsa Belgium itu tidak kisah diletakkan bermain di posisi tersebut walaupun beliau lebih suka bermain di posisi sayap kiri.

Ketika bercakap kepada Skysports menjelang pertemuan penting menentang Tottenham Hotspurs hujung minggu ini, bekas pemain Lille itu berkata beliau sanggup berkorban untuk Chelsea dengan bermain di mana-mana sahaja seperti diarahkan Conte.

Final sasaran Belgium Piala Dunia kali ini

“Saya hanya mahu berada di atas padang. Nombor 9 ke, nombor 10 ke, saya juga boleh bermain di posisi bek kiri jika pengurus mahu. Tiada masalah buat saya. Saya cuma mahu berada di atas padang and memberikan segala-galanya untuk pasukan seperti yang saya telah lakukan setiap kali beraksi untuk pasukan ini.”

“Saya gembira bermain untuk Chelsea. Saya cuma berfikir mengenai penghujung musim dan Piala Dunia yang akan datang tidak lama lagi. Saya masih mempunyai dua tahun kontrak bersama Chelsea dan saya gembira dengan perkara tersebut.”

Hazard kini berada dalam skuad kebangsaan Belgium untuk tugasan antarabangsa terakhir sebelum Liga Perdana Inggeris berakhir dan beliau hampir pasti akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi Selasa ini.

Belgium berjaya layak ke pusingan terakhir Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia musim panas nanti selepas muncul juara kumpulan ketika pusingan kelayakan. Dari 10 perlawanan kelayakan, Belgium tidak mengalami sebarang kekalahan dan hanya seri satu perlawanan sahaja.

Hazard > Morata + Giroud

Untuk kejohanan Piala Dunia yang akan datang, Belgium telah diundi dalam Kumpulan G bersama-sama England, Panama dan Tunisia. Hazard percaya pasukan Belgium kali ini sudah matang dan mampu mara lebih jauh dari apa yang dicapai mereka 4 tahun lepas di Brazil dimana mereka ditewaskan di peringkat suku akhir oleh Argentina.

“4 tahun lepas merupakan Piala Dunia pertama buat saya dan hampir semua pemain dalam skuad kebangsaan ketika itu. Sekarang, pasukan ini sudah mempunyai pengalaman dari kejohanan 4 tahun lepas dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk mara lebih jauh.”

“Kami mempunyai satu sasaran iaitu untuk mara sehingga ke perlawanan akhir dan selepas itu apa sahaja mampu berlaku.”

BACA:  Kai Havertz Kini Penerima Gaji Termahal Di Arsenal Sejak Mesut Ozil