Inilah Sebab Kenapa Liverpool Tidak Berminat Dengan Tielemans, Phillips dan Bissouma

Liverpool yang menjadi jaguh dalam jendela perpindahan musim panas kali ini dilihat tidak berminat untuk mendapat pemain yang menjadi rebutan banyak kelab iaitu Youri Tielemans, Kalvin Phillips dan Yves Bissouma.

Setakat ini Liverpool telah menyelesaikan perpindahan mega mendapat Darwin Nunez dari Benfica dengan harga £65 juta berserta klausa bonus tambahan yang mampu mencecah £85 juta.

Dengan ikat perjanjian selama 6 tahun, pembelian Nunez yang baru berusia 22 tahun merupakan satu urusan niaga yang bagus mantul dan mantap kali.

Selain itu Liverpool juga telah melamar pemain muda Aberdeen, Calvin Ramsay dengan harga £4.2 juta untuk posisi right back serta pemain sayap berusia 19 tahun, Fabio Carvalho.

Dalam kemeriahan dan kesibukan Liverpool di jendela perpindahan musim panas ini, Jurgen Klopp seperti tidak berminat untuk mendapatkan pemain tengah.

Ramai bijak pandai bola sepak menjangkakan Liverpool akan bermain dengan formasi 4-2-3-1 musim hadapan dan pastinya memerlukan pemain berkualiti untuk mengoperasikan bahagian tengah yang merupakan bahagian terpenting dalam sistem ini.

Thiago dan Fabinho tidak dapat dinafikan pemain tengah bertaraf dunia tambahan pula dengan Jordan Henderson sebagai backup tetapi seiring dengan berlalunya masa, skuad depth di posisi itu semakin kurang berbisa dan perlukan penambahbaikan.

Liverpool adalah prospek yang menarik bagi ramai pemain untuk mengembangkan bakat tetapi mereka sangat memilih disebabkan cara mereka membelanjakan wang mereka.

The Reds dilaporkan bersedia untuk mendapatkan Aurelien Tchouameni dari Monaco (kini bersama Real Madrid) dan telah dikaitkan dengan Jude Bellingham selama bertahun-tahun, tetapi setakat ini Liverpool masih enggan untuk melabur di posisi itu.

Pasukan Jurgen Klopp juga ‘sanggup melepaskan’ tawaran untuk pemain seperti Youri Tielemans dari Leicester City, pemain tengah Leeds United Kalvin Phillips dan bekas pemain Brighton yang memilih untuk ke Tottenham Hotspur, Yves Bissouma.

Menurut National News Sport, The Reds boleh menandatangani pemain tersebut tetapi kelab menolak tawaran yang mereka terima untuk ketiga-tiga mereka, walaupun perpindahan mereka ini dianggap mudah untuk diselesaikan.

Sebab mengapa The Reds dilaporkan memutuskan untuk menolak tawaran tersebut adalah kerana mereka tidak mahu menandatangani pemain baharu yang akan menyebabkan kelab terpaksa membayar gaji yang tinggi setiap bulan. Satu ekosistem yang dijaga rapi Liverpool.

Tiga pemain ini mungkin boleh didapatkan dengan harga yang rendah dan munasabah namun sudah pasti gaji mereka tidak rendah dan akan mengganggu cara Liverpool menguruskan wang.

Antara pemain dengan pendapatan tertinggi di kelab pada masa ini ialah Thiago, dengan pemain Sepanyol itu sudah memasuki tempoh pertengahan dalam kontrak pertamanya di Anfield.

Musim lalu menyaksikan Liverpool banyak menggunakan tenaga muda dijentera tengah yang menyaksikan pemain seperti Curtis Jones, Harvey Elliott dan Tyler Morton mendapat minit permainan.

Jurgen Klopp dan Liverpool pula sememangnya terkenal dengan melahirkan pemain bintang dan mengembangkan bakat pemain muda sehingga mencapai potensi dan sudah pasti memfokuskan kepada Curtis Jones, Harvey Elliott dan Tyler Morton boleh menjadi satu pelaburan yang berbaloi.

Alex Oxlade-Chamberlain yang akan kekal semusim lagi merupakan pemain tengah berkualiti namun sentiasa dibelenggu kecederaan telah memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan minit permainan.

Pemain muda ini tidak kalah dari segi bakat dengan pemain handalan lain namun mereka masih lagi perlu diasuh untuk sentiasa konsisten dan mampu beradaptasi dengan permainan tahap tertinggi.

Ketiga-tiga pemain tengah ini mungkin tidak akan menyertai Liverpool namun mereka hangat dipasaran Youri Tielemans diburu Arsenal, Kalvin Phillips menjadi dambaan Manchester City dan PSG manakala Yves Bissouma sudah sah ke Spurs.

Manchester United tak nak ke Kalvin Phillips?

BACA:  Alexander-Arnold 'Berlatih Selama13 Tahun' Untuk Hadapi Real Madrid