Jabulani Dipilih Sebagai Bola Terhebat Dalam Sejarah Piala Dunia

Jabulani ball merupakan bola rasmi yang digunakan ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dan bola tersebut antara yang paling banyak menerima kritikan dari para pemain.

Walau bagaimanapun, disamping segala kritikan tersebut, Jabulani ball telah dinamakan sebagai bola rasmi Piala Dunia yang terhebat sepanjang zaman.

Ya, terhebat sepanjang zaman, bola tersebut dianggap yang terbaik dari semua bola rasmi Piala Dunia yang lain berdasarkan undian yang dilakukan oleh para peminat.

Bola tersebut merupakan bola yang paling tidak digemari oleh penjaga gol kerana pergerakannya yang sukar diramal dan coraknya yang terlalu unik.

“Bola baru itu tak cukup bagus, bukan hanya untuk penjaga gol tapi untuk semua orang. Pergerakan bola itu sukar diramal.”

Jelas bekas penjaga gol Itali, Gigi Buffon sebelum sepak muka kejohanan pada ketika itu.

Legenda bola sepak Sepanyol, Iker Casillas turut pernah mengkritik bola Jabulani dengan menyatakan:

“Agak menyedihkan untuk kejohanan besar seperti Piala Dunia perlu menggunakan bola seteruk itu. Bukan hanya penjaga gol sahaja yang mengadu, pemain padang juga sama.”

Tidak dinafikan sememangnya ada pemain padang yang mengeluh tentang bola tersebut dengan bekas penyerang Itali, Giampaolo Pazzini menyatakan bahawa:

“Ia bencana. Ia bergerak terlalu banyak dan membuatkan ia sukar untuk dikawal. Kamu melompat untuk menanduk bola hantaran lintang dan dengan tiba-tiba bola bergerak menyebabkan kamu terlepas.”

Walaupun para pemain profesional tidak berkenan dengan bola tersebut, namun ramai sebenarnya para penyokong yang percaya bola Jabulani itu merupakan bola terhebat sepanjang zaman.

SPORTbible melakukan kajian dengan meminta para peminat mengundi bola yang mereka rasakan sebagai bola terhebat sepanjang zaman.

Dari empat pilihan yang diberikan, Jabulani berjaya mengatasi Teamgeist (2006), Fevernova (2002) dan Tango Espana (1982).

Agak mengejutkan juga untuk melihat Fevernova yang digunakan ketika Piala Dunia 2002 di Korea dan Jepun tak dipilih sebagai bola terhebat.

Hal ini kerana bola tersebut merupakan bola yang paling kurang mendapat kritikan berbanding bola-bola lain dan Jabulani pula merupakan yang paling banyak menerima kritikan.

Untuk bola Piala Dunia Qatar ini pula, Adidas telah mengeluarkan bola terbaru yang diberi nama ‘Al Rihla’ dan ia akan digunakan sebagai bola rasmi untuk kejohanan tahun ini.

Legenda bola sepak Brazil, Kaka dan legenda bola sepak Sepanyol, Iker Casillas telah merasmikan Al Rihla dan ia kini sudah boleh didapati di store Adidas berdekatan.

Undian peringkat kumpulan untuk Piala Dunia Qatar akan dilakukan pada hari ini, walaupun masih ada beberapa tempat yang masih belum diisi.

Aksi pertemuan antara Scotland bertemu Ukraine terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu, dengan Wales sudah menanti di pusingan akhir untuk menentukan siapa antara tiga pasukan itu yang akan ke Qatar.

Wales sebelum ini berjaya menewaskan Austria 2-0, dan mereka menunggu di pusingan akhir untuk bertemu pemenang antara Scotland bertemu Ukraine.

Perdana Menteri UK, Boris Johnson sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan yang meminta Wales dan Scotland untuk menarik diri dan memberi laluan kepada Ukraine layak ke Qatar.

Cadangan tersebut walau bagaimanapun telah menerima kritikan yang teruk dari pelbagai pihak, dengan peminat langsung tak bersetuju dengannya.

Penyokong Ukraine sendiri tidak menerima cadangan tersebut, kerana mereka merasakan layak dengan cara seperti itu merupakan satu hal yang tidak bermaruah.

Walau masih ada pasukan yang belum layak, namun sesi undian akan tetap diteruskan pada hari ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Piala Dunia 2022: Sepanyol 7-0 Costa Rica