Jadon Sancho Mungkin Akan Tukar Posisi Baru

Jadon Sancho berkemungkinan besar akan bertukar posisi di Old Trafford, dengan laporan terbaru menyatakan bahawa beliau pada ketika ini sedang gigih menjalani latihan untuk bermain di posisi wing-back.

Sejak melengkapkan perpindahan bernilai £73 juta dari Borussia Dortmund pada musim panas lalu, Jadon Sancho jelas tidak berada di tahap persembahan terbaiknya.

Beliau gagal untuk menjaringkan sebarang gol atau mencatatkan assists selepas membuat 13 penampilan bersama setan merah.

Beliau dilihat berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan, dengan Sancho hanya beraksi selama 566 minit, enam penampilan dalam kesebelasan utama dan hanya beraksi penuh sebanyak satu kali sahaja dari semua pertandingan.

Menurut sumber laporan The Athletic, United pada ketika ini sedang berusaha untuk memberi peranan baru kepada Jadon Sancho.

Ole Gunnar Solskjaer sudah mula bermain dengan sistem 3-4-1-2 sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selepas kekalahan 5-0 mereka di tangan Liverpool.

Formasi itu jelas sekali tidak akan memberi ruang kepada pemain sayap seperti Sancho untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama.

Oleh yang demikian, pihak kelab berusaha untuk mengubah peranan beliau dan akan menurunkan Sancho di posisi wing-back.

Sancho akan bermain di posisi sebelah kanan, dan jelas sekali United bercadang untuk menggantikan beliau dengan Wan Bissaka yang sedang dikritik teruk atas aksi hambar yang beliau persembahkan.

Bekas bintang Crystal Palace itu tidak mempunyai kualiti yang cukup baik ketika memegang bola, dan jelas sekali tidak berkesan ketika membantu jentera serangan.

Laporan tersebut menyatakan yang Sancho sudah mula bermain di posisi tersebut ketika menyertai sesi latihan bersama skuad.

Oleh yang demikian, beliau berkemungkinan akan diturunkan di posisi tersebut selepas ini, bagi membantu skuad untuk menguasai bola dan membantu jentera serangan.

Laporan sama turut menyatakan tentang beberapa faktor lain yang menyebabkan Sancho gagal untuk mendapatkan persembahan terbaiknya di Old Trafford.

Ketika beliau tiba pada pra musim, Sancho dilihat bergelut dengan masalah jangkitan di telinganya, dengan beliau memakai perlindung telinga ketika menjalani latihan untuk mengelak sakit.

Untuk menambah derita Sancho lagi, beliau kemudiannya menderita masalah kecederaan betis.

Walaupun beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam saingan Bundesliga, liga di mana beliau mencipta nama untuk menjadi antara pemain terhebat dunia, Sancho telah memberitahu rakan sepasukannya bahawa kelajuan dalam saingan Premier League merupakan satu hal yang dasyat.

Perbualan berkait kelajuan dalam saingan Premier League itu timbul selepas aksi kemenangan 4-1 United ke atas Newcastle.

Rakan sepasukannya itu kemudiannya menasihati Sancho agar segera membiasakan diri dan turut meminta bintang England itu menyesuaikan diri dengan corak permainan, aura serta budaya dalam saingan Premier League.

Kini selain beliau perlu berusaha untuk membiasakan diri, Sancho juga perlu menyesuaikan diri dengan peranan baru yang diberikan kepadanya.

Ia mungkin akan menjadi satu hal yang sukar memandangkan beliau perlu melakukan banyak perkara dalam satu masa, ditambah pula dengan pengharapan yang diletakkan padanya.

Sancho tidak tersenarai dalam senarai skuad Gareth Southgate untuk aksi kelayakan Piala Dunia pada rehat antarabangsa ini, mungkin kerana beliau kekurangan minit permainan.

Mungkin seandainya beliau diturunkan sebagai wing-back dan kemudiannya berjaya untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya semula, tidak mustahil Sancho akan kembali di panggil sertai skuad kebangsaan England pada kempen saingan Piala Dunia Qatar nanti.

Beliau bersama skuad Manchester United bakal kembali memulakan aksi saingan Premier League selepas ini bertemu Watford, sebelum berkunjung ke Stamford Bridge untuk bertemu Chelsea.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aksi Dungu Sancho Viral, Peminat Chelsea Pula U-Turn Dan Kecam Dia