Jawapan Balas Dari Ultras Inter Terhadap Permohonan Maaf Lukaku Mencuri Perhatian Peminat

Romelu Lukaku sebelum ini meminta maaf kepada penyokong Inter Milan kerana beliau meninggalkan kelab dengan cara yang tidak beradap, dan jawapan balas dari ultras Inter sungguh mengejutkan.

Lukaku meninggalkan San Siro pada musim panas lalu untuk sertai semula Chelsea dengan yuran perpindahan memecah rekod kelab bernilai £97.5 juta.

Walau pada awalnya beliau beriya menyatakan kegembiraannya dapat kembali beraksi di Stamford Bridge, namun selepas beberapa bulan Lukaku tampil mengeluarkan kenyataan yang sangat tidak profesional dan dungu.

Beliau mengakui yang dirinya tidak gembira dengan situasi di Stamford Bridge pada ketika ini dan turut meluahkan hasratnya untuk kembali sertai gergasi Serie A itu di masa hadapan.

Ultras Inter Milan, Curva Nord tampil meluahkan rasa tidak gembira mereka dengan permohonan maaf Lukaku dengan menggantung banner di luar San Siro sebagai jawapan balas.

“Tidak ada masalah siapa yang lari dari hujan, apa yang penting siapa yang kekal dalam ribut.”

“Bye Romelu.”

Lukaku berjaya menjaringkan 24 gol dalam saingan Serie A pada musim lalu dengan beliau menjadi individu terpenting yang membantu Inter Milan menjuarai saingan liga.

Pemain berusia 28 tahun itu bergelut untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya pada musim ini sejak dari awal beliau ditandatangani oleh Chelsea.

Dek kerana melihat aksi persembahannya semakin merosot, Lukaku tampil membuat kenyataan dungu di hadapan media dan secara terbuka mengaku beliau menyesal tinggalkan Inter Milan.

Dalam satu temu bual beliau beberapa minggu lalu yang diterbitkan pada Khamis baru-baru ini, Lukaku menjelaskan kepada Sky Sports Italia bahawa:

“Saya rasa semuanya yang berlaku tak sepatutnya berlaku seperti ini.”

“Bagaimana saya rasakan bersama Inter, bagaimana saya berkomunikasi dengan penyokong, hal ini mengganggu saya kerana ia bukan masa yang sesuai sekarang, tapi walaupun saya sudah meninggalkan kelab sekarang, saya masih rasa yang ini bukan masa yang sesuai.”

“Sekarang saya fikir tak salah untuk saya bercakap kerana saya selalu katakan yang Inter Milan ada dalam hati saya, saya akan kembali beraksi di sana, saya sangat berharap itu.”

“Saya sudah jatuh cinta dengan Itali, ini adalah masa paling tepat untuk bercakap dan biarkan semua orang tahu apa sebenarnya yang berlaku tanpa saya bercakap buruk tentang sesiapa, kerana saya bukan jenis macam itu.”

“Saya betul-betul mahu meminta maaf kepada penyokong Inter kerana saya tak rasa saya sepatutnya meninggalkan Inter dengan cara seperti mana saya lakukan.”

“Saya sepatutnya bercakap dengan kamu semua terlebih dahulu, terutama selepas segalanya yang kamu lakukan untuk saya, untuk keluarga saya, ibu saya, anak saya. Saya tidak akan pernah lupakan itu.”

“Saya harap dari lubuk hati saya yang paling dalam, saya mahu kembali ke Inter dan bukan ketika hujung karier saya tapi ketika saya masih cukup bagus untuk bantu menang lebih banyak Piala.”

Lukaku turut mendakwa yang beliau pernah menolak untuk menyertai Manchester City selepas satu musim bersama Inter Milan.

“Selepas tahun pertama, saya tolak tawaran dari Manchester City yang lebih lumayan dari Chelsea sekarang, dan ia kerana saya tak mahu pergi.”

“Ia bukanlah masa yang sesuai, ia baru tahun pertama saya, saya mahu tunjukkan sesuatu yang bagus untuk Inter kerana mereka menyelamatkan karier saya.”

“Saya dalam masalah ketika bersama Manchester United. Inter Milan melabur besar untuk saya dan kami mencipta kejayaan menakjubkan bersama.”

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel bengang dengan tindakan dungu Lukaku yang mendedahkan hal-hal tidak sepatutnya dalam temu bual tersebut.

Beliau menganggap Lukaku sekadar membuat kecoh dan langsung tak membantu persediaan kelab untuk berdepan Liverpool hujung minggu ini.

“Kami tidak suka itu kerana ia sekadar menciptakan kekecohan yang kami tak perlukan, tapi di satu sisi lain, kami tidak mahu membuat kecoh, sangat mudah saja sebenarnya untuk jadi kontroversi.”

“Tapi saya tak suka tentang itu, ia hanya kekecohan yang kami tak perlukan, kami perlukan suasana tenang.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lukaku Sepatutnya Perlu Belajar Dulu Asas Untuk Bercakap