Jersi Messi Habis Dijual Dalam Masa 30 Minit

Para penyokong Paris Saint Germain menyerbu laman rasmi kelab untuk membeli jersi Lionel Messi dan semuanya habis dijual 30 minit sahaja selepas bintang Argentina itu sah menandatangani perjanjian bersama kelab.

Jersi bernombor 30 itu laku keras bak goreng pisang panas, dengan para penyokong terus membelinya kerana bimbang kehabisan stok.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or tiba di Paris kemarin untuk melakukan ujian kesihatan sebelum melengkapkan perpindahannya menyertai PSG dari Barcelona secara percuma.

Messi yang kontraknya bersama Barcelona tamat pada Jun lalu telah menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama PSG dengan beliau turut ditawarkan lanjutan kontrak selama satu tahun.

PSG mengesahkan tentang penandatanganan bintang berusia 34 tahun itu dan turut mendedahkan nombor yang akan Messi pakai di Parc des Princes nanti.

Neymar sebelum ini sanggup menawarkan nombor 10 yang beliau pakai untuk Messi, namun bintang Argentina itu menolak dan hanya mahu memakai nombor 30, yang mana ia nombor yang beliau pakai ketika debutnya bersama Barcelona dahulu.

Video pengumuman rasmi tentang penandatanganan Messi telah dimuat naik pada jam 9:15pm waktu UK di laman twitter milik PSG.

Wartawan, Jonas Adnan Giaever kemudiannya memuat naik status yang menyatakan bahawa jersi Messi di PSG Store habis dijual dalam tempoh 30 minit sahaja selepas video tersebut di muat naik.

Messi sebelum ini telah membuat satu sidang media terakhir di Nou Camp dengan beliau menitiskan air mata ketika memberikan ucapan perpisahan yang cukup beremosi.

Selepas dari itu, beliau berehat selama satu hari, sebelum menerima tawaran rasmi dari PSG untuk menyertai pasukan dari Ligue 1 itu.

Legenda Barcelona itu terbang ke ibu kota Perancis bersama keluarganya dan kehadiran beliau disambut dengan penuh meriah oleh para penyokong Paris Saint Germain.

Messi dilaporkan menjadi pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam skuad ketika ini, dengan beliau menerima £29.6 juta, jauh melebihi gaji yang diterima oleh Neymar dan Mbappe.

Bercakap ketika sidang media pertamanya sebagai pemain PSG, Messi mendedahkan yang beliau sudah tidak sabar untuk beraksi di Parc des Princes.

Messi ketika itu telah menyatakan bahawa:

“Saya sudah tidak sabar untuk memulakan karier baru saya di Paris. Kelab dan matlamat mereka sangat sesuai dengan jiwa dan impian saya.”

“Saya tahu betapa berbakatnya para pemain dan semua staff di sini. Saya bersemangat untuk bina hubungan dengan mereka, saya mahu berikan yang terbaik untuk kelab dan penyokong. Saya tidak sabar untuk jejakkan kaki di atas padang di Parc des Princes.”

Baru 30 minit sudah habis jersi Messi dijual, sepertinya PSG bakal memperoleh pelbagai lagi keuntungan lain selepas ini hasil dari penandatanganan bintang terhebat sepanjang zaman itu.

Jersi Messi habis dijual selepas 30 minit sahaja Messi diumumkan sebagai pemain PSG

Walau terpaksa menanggung beban gaji yang tinggi, namun keuntungan yang PSG peroleh baik dari atas padang mahupun di luar padang teramat sangatlah berbaloi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Nasihat Cavani Kepada Mbappe Untuk Menjadi Pemain Terbaik Dunia