Jurgen Klopp Cipta Rekod Baharu Liverpool Di Eropah

Jurgen Klopp mencipta rekod baharu bersama Liverpool di Eropah selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas LASK di pertandingan Europa League pada awal pagi tadi.

Kemenangan tersebut menjadikan Klopp sebagai pengurus Liverpool yang merekodkan kemenangan terbanyak di pertandingan Eropah pada ketika ini.

Musim lalu kejayaan menewaskan Napoli 2-0 di pusingan peringkat kumpulan Champions League adalah kemenangan ke-49 Klopp bersama Liverpool di Eropah – menyamai rekod terdahulu yang dipegang Rafa Benitez.

Gol-gol daripada Luiz Diaz, Darwin Nunez dan Mohamed Salah memadam pendahuluan LASK minit ke-14 oleh LASK membenarkan Klopp kini merekodkan kemenangan ke-50.

Jumlah kemenangan tersebut turut mengatasi dua pengurus legenda kelab Merseyside itu Bill Shankly dan Bob Paisley yang memenangi tiga kejuaraan Eropah sepanjang tempoh 9 tahun.

Namun demikian bola sepak moden pada hari ini bermakna Klopp dan Liverpool terpaksa menharungi lebih banyak perlawanan berbanding era Shankly dan Paisley.

Jurulatih dari Jerman itu juga berkata rekod tersebut tidak akan membawa makna apa-apa jika Liverpool gagal layak ke peringkat seterusnya dalam pertandingan tersebut pada musim ini.

“Biar saya tegaskan di sini, jika saya kekal dengan 50 kemenangan selepas tamat saingan peringkat kumpulan dan dianggap kekal sebagai jurulatih Liverpool paling dihormati kerana itu, semua orang akan membenci saya dengan fakta dan pencapaian tersebut.

“Memang hebat untuk memiliki rekod sedemikian. Kami bermain banyak perlawanan di Eropah. Ia bagus kerana kami menang banyak perlawanan, dan pernah melayakkan diri ke perlawanan akhir sebanyak 4 kali.

“Ia memang hebat tetapi ia juga kerana pertandingan di Eropah pada hari ini perlu melalui lebih banyak perlawanan berbanding era sebelumnya. Itulah sebabnya [rekod tersebut mudah diperolehi],” jelas Klopp.

Liverpool mara ke perlawanan akhir Europa League 2016 beberapa bulan selepas Klopp mengambil alih pasukan itu sebelum layak ke perlawanan akhir Champions League dua tahun kemudian.

Kelab Merseyside itu tewas kedua-dua perlawanan namun kemudian berjaya menewaskan Tottenham untuk menjulang kejuaraan Champions League pada 2019.

Liverpool layak ke perlawanan akhir Champions League sekali lagi pada 2022, namun tewas kepada Real Madrid – lawan sama yang menafikan mereka kegemilangan pada 2018.

BACA:  Hatrik Foden Bantu Cipta Rekod Baharu Premier League