Juventus Tak Puas Hati Dipotong 10 Mata Oleh Mahkamah Itali

Juventus telah ditolak 10 mata selepas kes rayuan penolakan mata sebelum ini berkenaan isu manipulasi perpindahan pemain dibicarakan semula di mahkamah Itali.

Kelab Turin itu sebelum ini ditolak 15 mata pada Januari lalu sebelum mahkamah timbang tara sukan di Itali mengarahkan keputusan itu dibicarakan semula pada April lalu.

Namun keputusan terbaru yang diumumkan pada Isnin hanya mengurangkan mata yang dipotong. Keputusan tersebut tiba sebelum Juventus dibelasah oleh 4-1 oleh Empoli pada awal pagi tadi.

Keputusan mahkamah tersebut bermakna Juventus jatuh ke kedudukan ketujuh Serie A dan tidak akan layak beraksi di Eropah pada musim hadapan.

“Ia adalah siuasi yang aneh. Hukuman diumumkan 10 minit sebelum sepak mula,” kata pengurus Juventus Massimiliano Allegri.

“Menyimpulkan keseluruhan musim di hari begini adalah sukar. Juventus biasa menang. Kami harus kembali merapatkan saf.”

Pada April lalu sebuah tribunal di Komiti Olimpik Itali membatalkan hukuman penolakan 15 mata dari Juventus yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) selepas rayuan dikemukakan.

Komiti tersebut mengarahkan agar hukuman kepada kelab dan beberapa individu di dalam kelab yang terlibat di dalam isu itu dilihat kembali

Pavel Neved adalah salah seorang daripada individu yang turut dihukum oleh FIGC yang pada asalnya dihukum 8 bulan daripada bola sepak.

Neved bersama tujuh individu lain, Paolo Garimberti, Assia Grazioli Venier, Caitlin Mary Hughes, Daniela Marilungo, Francesco Roncaglio dan Enrico Vellano kini dibebaskan daripada sebarang salah laku.

Hukuman terhadap bekas pengerusi kelab, Andrea Agnelli, bekas CEO, Maurizio Arrivabene dan Pengarah Sukan Federico Cherubini turut dibatalkan.

Melalui sebuah kenyataan, Juventus berkata mereka mengambil maklum akan perkembangan terbaru kes itu dan kini mengkajisam ada ia berbaloi untuk melakukan rayuan semula.

Selain daripada kes memanipulasi perpindahan pemain, Juventus kini turut berhadapan dakwaan salah laku di dalam akaun kelab.

Menurut agensi berita di Itali, kes tersebut akan disebut untuk perbicaraan awal di Mahkamah pada 26 Oktober hadapan untuk menilai sama ada prosiding seterusnya perlu dilakukan.

BACA:  Allegri Sahkan Tidak Akan Menguruskan Lagi Pasukan Serie A Selepas Juventus, Chelsea Dilaporkan Berminat