“Kapten Tanpa Armband” – Ronaldo Buktikan Mengapa Beliau Layak Dianggap Sebagai Pemimpin

Cristiano Ronaldo memberi semangat kepada sembilan pemain Manchester United sebelum bermulanya aksi perlawanan bertemu Norwich City malam semalam.

Tindakan beliau itu jelas menunjukkan yang bintang handalan Portugal itu sememangnya ketua semula jadi walau beliau tidak memakai armband.

Melihat kepada reaksi para pemain lain yang turut menghormati beliau, ia jelas menunjukkan yang Cristiano Ronaldo juga sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar di bilik persalinan.

Pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu mencatatkan hat-trick ketika membantu Manchester United menewaskan Norwich City 3-2 semalam.

Kemenangan itu juga membantu setan merah untuk menghidupkan peluang mereka mengakhiri saingan Premier League musim ini di kedudukan empat teratas.

Sejak beliau kembali ke Old Trafford pada musim panas lalu, Ronaldo sebenarnya kerap dihentam oleh pelbagai pihak kerana merasakan beliau sebagai bebanan kelab.

Walau bagaimanapun, beliau tetap cemerlang menjadi pemain utama kelab dan kerap menjaringkan gol-gol penting yang membantu United mencatat kemenangan musim ini.

Pengaruh yang beliau bawa jelas sekali sangat besar dengan Ronaldo merupakan tokoh ikutan serta idola kebanyakan rakan sepasukannya.

Ketika para pemain Manchester United dan Norwich City sedang bersedia untuk berjalan masuk ke padang semalam, Ronaldo menunjukkan yang beliau tahu pengalamannya sangat diperlukan pada ketika itu.

Pemain berusia 37 tahun itu berjalan menuju ke arah penjaga gol, David De Gea dan ketua pasukan Harry Maguire untuk memberi semangat kepada mereka, sebelum berjalan memberi high-five kepada Victor Lindelof, Diogo Dalot dan Alex Telles.

Ronaldo kemudiannya dilihat pergi ke arah Anthony Elanga, Jesse Lingard dan Paul Pogba sebelum Bruno Fernandes datang ke arah mereka.

Satu-satunya pemain yang Ronaldo tak sempat untuk bercakap dan memberi semangat ketika itu adalah Jadon Sancho yang ketika itu meluangkan masa berbual bersama bekas pemain Bundesliga dan penyerang Norwich, Milot Rashica.

Selain memberi semangat Ronaldo turut cemerlang memimpin skuad untuk menewaskan Norwich dalam perlawanan tersebut dengan beliau cemerlang membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 permainan.

Ronaldo cemerlang memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan The Canaries, yang membenarkan Anthony Elanga menghantar bola kepadanya.

Pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu kemudiannya meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini pada minit ke-32 permainan selepas beliau cemerlang menanduk padu bola dari sudut sepakan penjuru.

Norwich berjaya menjaringkan gol pertama mereka sebelum tamat aksi babak pertama menerusi Kieran Dowell sebelum Teemu Pukki menyamakan kedudukan selepas rehat separuh masa.

Rashica hampir sahaja membantu Norwich untuk melakukan comeback namun malang untuk beliau kerana David De Gea terlalu kebal untuk ditewaskan.

Ronaldo akhirnya berjaya menjaringkan gol ketiga beliau dalam perlawanan ini menerusi sudut sepakan percuma untuk membantu setan merah mencatatkan kemenangan 3-2.

Ia merupakan gol pertama Cristiano Ronaldo menerusi sudut sepakan percuma sejak Julai 2020.

Kekalahan Tottenham Hotspur dan Arsenal kepada Brighton dan Southampton seolah-olah memberi harapan kepada United untuk merampas kedudukan keempat dalam carta saingan Premier League.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan liga pada hujung minggu lalu, dan selepas kemenangan bertemu Norwich mereka berjaya mendaki ke kedudukan kelima.

Manchester United selepas ini bakal berkunjung ke Anfield untuk beraksi bertemu seteru utama mereka, Liverpool.

Ralf Rangnick jelas sekali sedar yang cabaran bakal mereka hadapi selepas ini lebih besar lagi kerana Liverpool jelas sekali pasukan yang sukar untuk dihadapi.

Beliau mendedahkan kepada laman rasmi kelab bahawa:

“Kita perlu bincangkan tentang persembahan kita sendiri. Keputusan hari ini sangat bagus, ia akan meningkatkan momentum kita dan keyakinan pasukan, tapi kita kena lebih realistik.”

“Dengan persembahan seperti itu, boleh dikatakan agak mustahil untuk memenangi sesuatu bertemu Liverpool dan kemudian bertemu Arsenal di Emirates dan bertemu Chelsea di Old Trafford.”

“Kita perlu bermain lebih baik dengan kawalan bola dan lebih menggunakan fizikal serta lebih aggresif. Ini merupakan isu terbesar dan hal terbesar yang membuatkan saya tak gembira hari ini.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bukti Mentaliti Elite Tahap Dewa Ronaldo Sebelum Juve Benam Barcelona 3-0