Kebangkitan Birmingham City – Mampukah Mereka Kembali ke Puncak?

David Beckham mempunyai sesuatu yang ingin disampaikan kepada Tom Brady.

Pada 16 September, Beckham hadir ke Stadium St Andrew’s. Ia adalah gelanggang kepada Birmingham City. Selain Beckham dan Brady terdapat juga beberapa selebriti lain berada di bandar tersebut. Sebab kenapa mereka berada disana adalah kerana pasukan pelawat adalah Wrexham. Wrexham adalah kelab milik Ryan Reynolds dan Rob McElhenney. Mereka berdua membawa suasana Hollywood di tempat duduk utama stadium.

Dalam perlawanan itu Birmingham mencatat kemenangan 3-1. Beckham sempat memberitahu Brady dan pengerusi kelab, Tom Wagner: “Anda mempunyai sesuatu yang istimewa di sini.”

Sebagai pemilik Inter Miami, Beckham bukan satu-satunya yang teruja dengan perkembangan Birmingham pada musim ini. Sejak malam itu, kelab itu terus mendominasi Liga Satu (League One) dan kini berada di puncak liga. Dua pasukan teratas dijamin tempat automatik ke Championship. Birmingham memiliki kelebihan 8 mata berbanding Wrexham yang berada di tempat ketiga dengan 2 baki perlawanan dalam tangan.

Birmingham mencatat tanpa kalah dalam 18 perlawanan di semua pertandingan. Tumpuannya kini beralih kepada pertemuan menentnag Newcastle United dalam pusingan keempat Piala FA. Ia akan menjadi perlawanan terbesar di St Andrew’s dalam tempoh sedekad.

“Para pemain telah menunjukkan prestasi cemerlang kerana kami melalui banyak perlawanan sukar di mana kami diharapkan untuk menang,” kata pengurus, Chris Davies. “Namun, inilah perlawanan yang kami nanti-nantikan.”

Jika Beckham sudah terpegun dengan sorakan ketika menentang Wrexham, dia pasti akan lebih kagum dalam perlawanan ini. BBC telah memilih perlawanan Birmingham-Newcastle untuk siaran utama. Birmingham sudah merancang sesuatu yang istimewa termasuk persembahan secara langsung dan pertunjukan bunga api.

Birmingham: Dari Kejatuhan kepada Kebangkitan

Birmingham City merupakan kelab yang telah tersisih daripada Liga Perdana sejak 2011 yang sedang mengalami fasa pemulihan.

“Sabtu ini adalah gambaran masa depan dan orang ramai akan melihat siapa kami sebenarnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif sementara, Jeremy Dale

“Kami percaya transformasi Birmingham City dan bandar ini akan menjadi kisah bola sepak paling menarik dalam dekad ini.”

Pada pagi Isnin, para pemain berkumpul di Elite Performance and Innovation Centre (EPIC) di Henley-in-Arden untuk sesi pertemuan.

Kemenangan ke atas Rotherham pada hujung minggu lepas memastikan Birmingham kekal di puncak liga. Selepas ini Birmingham akan menghadapi 2 perlawanan pertandingan piala dalam tempoh 5 hari.

Chris Davies, yang merupakan antara pengurus termuda dalam bola sepak England tiba awal untuk membuat persiapan untuk perlawanan menentang Stevenage dalam Vertu Trophy. Walaupun pertandingan ini bukan keutamaan Birmingham tetapi mereka tidak mahu mengambil mudah sebarang perlawanan.

Pengarah sukan, Craig Gardner turut sibuk menyelesaikan perpindahan pada hari terakhir jendela. Gardner tenang, sebahagian besar perniagaan perpindahan sudah diselesaikan pada musim panas lalu.

Sebuah papan di pusat latihan menunjukkan setiap posisi sudah mencukupi dengan skuad ini berpotensi menjadi pasukan paling berbakat dalam sejarah Liga Satu.

Pelaburan Besar dan Rancangan Besar

Selepas membelanjakan antara £20 juta hingga £25 juta pada musim panas lepas, Birmingham menjadi pasukan termahal dalam sejarah Liga Satu. Birmingham tersingkir dari Championship pada musim lalu, pertama kali sejak 1995 mereka berada di luar dua divisyen teratas.

Namun, pengerusi kelab, Tom Wagner pemilik Knighthead Capital Management tetap berpegang pada pelan asalnya: “Kebangkitan ini akan lebih besar daripada kejatuhan.”

Walaupun diturunkan ke Liga Satu, sambutan penyokong tetap positif. Ia berbeza dengan era kepimpinan sebelumnya di bawah syarikat China, Trillion Trophy Asia yang menyaksikan protes peminat, pemotongan mata dan masalah kewangan.

Kini, kelab ini sedang mengalami kebangkitan. Jualan tiket musim meningkat walaupun harga naik. Jualan barangan rasmi meningkat empat kali ganda.

Lebih besar lagi, Wagner mempunyai pelan pembangunan bernilai £3 bilion termasuk membina stadium baharu berkapasiti 60,000 tempat duduk serta sebuah Sports Quarterl.

“Birmingham adalah bandar dengan lebih 4 juta penduduk di kawasan metropolitannya dan ia penuh dengan potensi,”kata Wagner.

“Kami kehilangan satu generasi penyokong sebelum ini dan kini tiba masanya untuk mendapatkan mereka kembali.”

Skuad yang Berpotensi

Birmingham kini memiliki pasukan penuh kualiti:

  • Christoph Klarer – bek tengah berbakat dari Austria
  • Ethan Laird – bekas pertahanan Manchester United
  • Jay Stansfield – penyerang berbakat yang dibeli dari Fulham dengan harga rekod kelab, £15 juta

Birmingham juga memperkukuhkan hubungan antarabangsa dengan membawa masuk pemain Korea Selatan, Paik Seung-ho. Pemain itu kemudiannya membantu menyesuaikan rakan senegaranya, Lee Myung-jae yang menyertai kelab pada hari terakhir perpindahan.

“Saya mempunyai impian, itulah sebab saya datang ke sini,” kata Klarer.

“Saya mahu bermain di peringkat tertinggi. Perlawanan menentang Newcastle adalah peluang hebat untuk melihat sejauh mana tahap kami.”

Chris Davies yang sebelum ini merupakan penolong pengurus di Tottenham Hotspur dan mempunyai pengalaman bekerjasama dengan Brendan Rodgers di Liverpool, Celtic dan Leicester menekankan budaya kerja keras dalam pasukan ini.

“Saya mahu pemain saya berusaha lebih daripada lawan mereka sebelum mereka cuba mengatasi mereka secara permainan,” katanya.

“Kami akan menguji diri kami menentang Newcastle, kerana satu hari nanti kami mahu bermain menentang mereka di Liga Perdana. Itulah impian kami.”

Kembali ke Puncak?

Birmingham menetapkan sasaran untuk kembali ke Liga Perdana menjelang 2026. Pada 2030 mereka mahu menjadi kelab global yang cemerlang.

Walaupun kenyataan kapten pasukan, Krystian Bielik, pada September bahawa Birmingham “terlalu bagus untuk Liga Satu” menimbulkan kontroversi, pasukan ini tetap yakin.

“Kami mempunyai mentaliti ‘kami tidak akan kalah’. Kami Birmingham dan kami akan tunjukkan mengapa kami Birmingham,” kata Ethan Laird.

“Kami tidak akan berpuas hati sehingga kami mencapai matlamat kami.”

Kini, di St Andrew’s penyokong mula beratur tiga jam sebelum sepak mula. Ia jauh berbeza berbanding dahulu ketika stadium sering separuh kosong.

Dengan peningkatan pengalaman hari perlawanan, pelaburan dalam komuniti dan rancangan besar untuk masa depan Birmingham City percaya bahawa perjalanan luar biasa mereka baru sahaja bermula.

“Kami tidak akan berpuas hati dengan sekadar menjadi biasa-biasa,” kata Jeremy Dale.

Pada Sabtu ini, Birmingham ingin membuktikan bahawa mereka benar-benar sudah berubah.

BACA:  Reaksi David Beckham Selepas Ward-Prowse Meluahkan Keinginan Untuk Bertemu Dengannya