Kelab Elit Mahu UEFA Perkenalkan Slot ‘Pasukan Bersejarah’ Dalam Kelayakan ke UCL

Pada hari Isnin, Persatuan Kelab Eropah (ECA) telah menerima pembentangan tentang butiran cadangan baharu berkenaan model kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) yang berformat baharu bermula pada musim 2024-25 nanti, dengan empat slot tambahan diperkenalkan berbanding 32 pasukan buat masa ini.

ECA memberi reaksi balas dengan memberitahu UEFA bahawa mereka juga mempnuyai cadangan bagaimana empat slot tambahan tersebut dibahagikan.

Daripada keempat-empat tiket tersebut, dua slot perlu diberikan kepada pasukan yang mempunyai rekod yang mantap dan pasukan tersebut menamatkan saingan liga di luar daripada slot automatik kelayakan, satu kepada pasukan yang bermain di liga kelima terbaik di Eropah, dan satu lagi menerusi laluan juara liga.

Faham tak ni? Jangan risau. Kita cerita dengan lebih dalam sikit, sedalam cinta Pok Ya kepada Siti, dan juga sedalam kasih Halim kepada Sara.

Tak tengok Pok Ya Cong Codei la tu, sebab tu tak tahu.

Format UCL Baharu

Penambahan pasukan akan menjadikan jumlah pasukan bertanding daripada 32 pasukan kepada 36 pasukan di UEFA Champions League. Bermakna ada empat penambahan slot baharu.

Perubahan terbesar akan menyaksikan transformasi dari peringkat kumpulan tradisional ke peringkat liga tunggal termasuk semua 36 pasukan yang mengambil bahagian.

Setiap kelab kini akan dijamin sekurang-kurangnya 10 perlawanan peringkat liga terhadap 10 lawan yang berbeza dengan lima perlawanan sebagai tuan rumah dan lima perlawanan tandang atau tempat lawan.

Setiap pasukan yang bermain 10 perlawanan berdasarkan pilihan atau ‘seeded basis’ dan mengikut Swiss Model.

Format lama menyaksikan 32 pasukan bertanding dipecahkan kepada 8 kumpulan, dihuni 4 pasukan dengan enam perlawanan menentang tiga pasukan dimainkan secara home dan away.

Lapan pasukan teratas dalam liga tunggal akan layak secara automatik ke peringkat kalah mati

Sementara pasukan yang berada di kedudukan kesembilan hingga ke-24 akan bersaing dalam play-off secara timbal balik (two-legged play-off) untuk memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir pertandingan.

Perubahan format yang serupa juga akan berlaku untuk UEFA Europa League dengan liga tunggal membabitkan 8 perlawanan di peringkat liga dan dan UEFA Europa Conference League mebabitkan 6 perlawanan di peringkat liga.

Tertakluk pada perbincangan dan persetujuan lebih lanjut, kedua pertandingan ini juga dapat diperluas ke sejumlah 36 pasukan masing-masing di peringkat liga.

Kelayakan untuk Liga Juara-Juara UEFA akan terus terbuka dan diperoleh melalui prestasi pasukan dalam pertandingan domestik.

Salah satu tempat tambahan akan menjadi milik kelab yang menduduki tempat ketiga dalam kejuaraan persatuan di kedudukan kelima dalam ranking persatuan kebangsaan UEFA.

Satu lagi slot akan diberikan kepada juara domestik dengan menambah dari empat kepada lima jumlah kelab yang layak melalui saluran juara atau dalam bahasa orang putih disebut champions path.

Dua tempat terakhir akan masuk ke kelab dengan koefisien kelab tertinggi sejak lima tahun kebelakangan ini yang tidak layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tetapi telah melayakkan diri sama ada untuk fasa kelayakan Liga Juara-Juara, Liga Europa atau Liga Persidangan Europa.

Semua permainan kecuali final masih akan dimainkan pada pertengahan minggu, bagi menjaga kepentingan kalendar permainan domestik.

Ngerti?

Pembahagian Empat Slot Tambahan ke UCL

Satu slot akan diberikan kepada liga kelima terbaik di Eropah. Pada ketika ini, liga yang berada di tangga kelima adalah Ligue 1 dan hanya tiga pasukan yang mendapat slot ke UCL dengan dua daripadanya secara automatik ke peringkat kumpulan dan satu menerusi penentuan play-off.

Jadi untuk format baharu, Ligue 1 akan mendapat tiga slot automatik dan satu slot menerusi perlawanan kelayakan.

Satu lagi slot akan diberikan secara tradisional, di mana pasukan dari MA negara yang berada di kedudukan rendah dalam ranking UEFA bersaing melalui perlawanan play-off di pusingan kelayakan.

Pada masa yang sama, dua slot akan diberikan kepada pasukan yang mempunyai rekod cemerlang sepanjang tempoh lima tahun sebelumnya, dan pasukan tersebut menamatkan liga di luar slot kelayakan. Slot ini boleh dikatakan sebagai slot untuk pasukan yang tak power, tapi mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Persetujuan yang dicapai dalam ECA adalah slot ini diberikan kepada pasukan yang gagal layak secara biasa tetapi berada di tangga pertama di luar slot kelayakan automatik ke UCL.

Kalau di EPL, pasukan ini perlu berada di tangga kelima untuk mendapat satu daripada slot ini, atau di tempat keenam jika pasukan di tangga kelima juga turut mendapat slot pasukan bersejarah ini.

Contohnya macam ni.

Situasi 1

Manchester United menamatkan saingan liga di tangga kelima dan mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam ranking kelab UEFA di kalangan pasukan-pasukan yang gagal menempatkan diri di slot kelayakan ke UCL di liga negara lain. Dengan ini Manchester United akan layak secara automatik ke UCL pada musim berikutnya.

Situasi 2

Manchester United menamatkan saingant liga di tangga keenam dan pasukan yang berada di tangga kelima adalah Chelsea. Chelsea akan mendapat slot ke UCL, begitu juga Manchester United.

Situasi 3

Manchester United menamatkan saingan liga di tangga keenam dan pasukan yang berada di tangga kelima adalah Brighton & Hove Albion. Memandangkan Brighton tidak pernah beraksi dalam pentas Eropah, maka Brighton tidak mempunyai markah yang elok dalam ranking kelab UEFA, dan ini bermaksud kelab ini tidak layak ke UCL.

Oleh kerana kelab di tangga kelima tidak mempunyai sejarah yang bagus dalam kejohanan tersebut, maka Manchester United juga tidak akan layak meskipun mempunyai markah yang paling tinggi dari kalangan kelab-kelab Eropah dan slot akan diberikan kepada kelab dari negara lain.

Faham, kan?

Kalau format ini telah digunapakai sejak beberapa tahun lepas, maka senarai kelab di bawah inilah yang akan mendapat slot tersebut.

Kelab yang layak ke UCL mengikut format baru pada musim sebelum ini

Kelab Manakah Yang Tak Layak Walaupun Ranking UEFA Tinggi Baru-Baru Ini?

Pada musim lepas, Arsenal berada di ranking ke-10 UEFA, dan mempunyai mata tertinggi di antara pasukan-pasukan yang gagal layak ke UCL secara automatik. Akan tetapi disebabkan mereka menamatkan saingan liga di tangga kelapan, maka mereka hanya mampu menyanyikan lagu Champions League dengan menggunakan rekorder.

Begitu juga AS Roma yang berada di tangga ke-13 ranking kelab UEFA, tetapi menamatkan saingan liga di tangga keenam.

Tottenham Hotspur juga berada di tangga yang agak tinggi dalam ranking UEFA – ke-15, tetapi dalam liga, mereka sekadar berada di tangga ketujuh lantas tiada tempat buat mereka di UCL.

Kenapa Format Ini Boleh Menarik Perhatian UEFA?

Untuk memahami kenapa semua ini boleh berlaku, kita undurkan masa ke musim 2017-18 dan 2019-20.

Secara komersialnya, jika dua pasukan tambahan dari EPL berjaya layak ke UCL maka kantung UEFA juga secara automatiknya akan menjadi semakin kembang, terutamanya jika kelab EPL tersebut adalah Arsenal dan Manchester United.

Kedua-dua pasukan ini sangat mendap dalam liga sejak beberapa tahun ini tetapi mereka masih mempunyai pengikut dan penyokong yang sangat ramai di seluruh dunia. Jika pasukan-pasukan ini beraksi di UCL, maka berbondong-bondonglah penaja akan masuk untuk berdamping dengan UCL dan pada masa yang sama, jumlah tontonan juga akan meningkat sekaligus memberikan keuntungan tambahan kepada UEFA.

Dengan kata lain, perubahan format ini adalah kerana duit. Itu je.

Adakah Perubahan Ini Akan Benar-Benar Berlaku?

Tak juga.

Ini adalah cadangan daripada ECA, bukan daripada UEFA sendiri. Tapi kalau apa yang diminta oleh ECA tidak dipenuhi oleh UEFA, akan ada masalah juga nanti. Dengan kata lain, ECA adalah pemegang taruh yang betul-betul berkuasa dalam pentas bola sepak di Eropah.

Segala benda yang dicadangkan oleh ECA ini akan dibincangkan oleh UEFA pada bulan April ini, sebelum lampu hijau diberikan pada bulan Mei.

Jadi sekarang ini, semuanya belum pasti lagi. Sabar ye.

Sumber : TheAthletic

BACA:  Barcelona Ikut Jejak Manchester United Bermain Di Europa League