Tidak Sanggup Cabar UEFA, Juventus Pasrah Tidak Bermain Di Eropah Musim Hadapan

Juventus sah tidak akan bertanding di pentas Eropah pada musim 2023/24 disebabkan pelbagai isu berkaitan peraturan kewangan FFP.

Gergasi Itali itu bukan kelab asing dengan pelbagai kontroversi di luar padang dan pernah hilang kelayakan bermain di Serie A pada 2006.

Musim lalu menyaksikan kelab berpengkalan di Turin itu ditolak 10 mata apabila siasatan mendapati mereka bersalah dalam melakukan urusan pembelian pemain yang melibatkan pemalsuan nilai transaksi.

Kontroversi itu turut menyebabkan ramai anggota di dalam lembaga pengarah kelab meletak jawatan selain daripada digantung untuk terlibat dalam mana-mana aktiviti bola sepak kerana kesalahan tersebut.

Pada suatu ketika, Juventus berada di kedudukan kedua Serie A dan penolakan mata menyebabkan pasukan itu jatuh ke kedudukan ketujuh liga sekali gus hilang peluang beraksi di Champions League.

Kedudukan tersebut bagaimanapun melayakkan The Old Lady beraksi di Europa Conference League pada musim akan datang.

Laporan terbaru dariapda Corriere dello Sport bagaimanapun mendedahkan Juventus kini telah mencapai persetujuan dengan UEFA untuk tidak mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut untuk mengelak daripada terus disiasat dan dihukum.

Ia juga langkah untuk membenarkan kelab itu kembali bersaing di Champions League pada musim 2024/25 sekiranya berjaya melayakkan diri.

Ditadbir oleh kumpulan pengurusan baharu, perjanjian dengan UEFA ini dilihat sebagai harga yang perlu dibayar untuk membenarkan mereka membuka lembaran baharu di dalam sejarah kelab itu.

Selain daripada masalah dan kontroversi luar padang, prestasi keseluruhan Juventus juga dianggap mengecewakan apabila tersingkir di peringkat kumpulan Champions League selepas tewas lima daripada enam perlawanan yang dilalui – termasuk dimalukan Maccabi Haifa dengan jaringan 2-0.

Persetujuan yang dicapai bersama UEFA ini bermakna slot Juventus di Conference League pada musim depan akan diganti oleh Fiorentina.

Juventus kemudiannya terhumban ke Europa League dan melayakkan diri sehingga ke separuh akhir sebelum tewas 3-2 secara agregat kepada Sevilla.

Walaupun melalui prestasi tidak menentu, Juventus mengekalkan Ketua Jurulatih Massimiliano Allegri.

Sejak beberapa minggu lalu Juventus turut dikaitkan dengan penyerang Chelsea, Romelu Lukaku yang hampir pasti akan meninggalkan Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas ini selepas tempoh pinjaman bersama Inter Milan tamat.

BACA:  Semua Board Juventus Letak Jawatan Termasuklah Nedved dan Agnelli