Kemerosotan Barcelona dan Real Madrid Punca Kesenduan Sepanyol?

Dua perlawanan, dua kali seri – itulah keputusan yang dicatatkan oleh pasukan bekas juara Euro dua kali berturut-turut, Sepanyol. Selepas dua perlawanan, dengan dua mata, Sepanyol sekadar merekodkan 1 jaringan gol, selepas Alvaro Morata menjaringkan gol ketika menentang Poland.

Kalau ikutkan, dua mata daripada dua perlawanan ni dah kira bagus dah dan pasukan ini masih lagi dalam posisi untuk memburu kelayakan ke pusingan 16-pasukan.

Tambahan pula, dengan format yang sedia ada, jika Sepanyol berada di tangga ketiga sekalipun, mereka masih berpeluang untuk mara jika menjadi salah satu daripada empat pasukan di tangga ketiga yang terbaik.

Tapi, ini adalah Sepanyol. Bukan Hungary, bukan England, bukan Macedonia Utara.

Sepamyol adalah pasukan yang pernah memegang tampuk sebagai pasukan terhebat di dunia, pasukan yang dikenali sebagai pasukan yang ampuh di segenap posisi, ditambah pula dengan corak permainan tiki-taka yang bisa membuatkan lawan berteka-teki.

Apa yang terjadi kepada Sepanyol?

Ada cakap-cakap masyarakat bola sepak di Gua Musang yang mengatakan bahawa kejatuhan Sepanyol ini adalah disebabkan kemerosotan prestasi dua kelab yang paling banyak mendominasi La Liga – Real Madrid dan Barcelona.

Kedua-dua pasukan ini masing-masing menamatkan liga musim lalu di tangga kedua dan ketiga, dengan Atletico Madrid menjadi juara sejak kali terakhir mereka melakukannya pada tahun 2014.

Kebetulan pada tahun yang sama, Piala Dunia telah dianjurkan, di Brazil. Prestasi Sepanyol?

Mereka ditala sedap oleh pasukan Belanda 1-5 dalam perlawanan pembukaan, ditewaskan dengan mudah oleh Chile 0-2 dan hanya menang perlawanan terakhir mereka 3-0, itupun menentang Australia.

Kalau nak ikutkan, perlawanan Sepanyol menentang Australia ni ibarat JDT lawan Telekom Melaka. Kau ngerti?

Dalam bahasa yang mudah, Sepanyol ditendang keluar daripada Piala Dunia sebelum sempat mereka turun ke padang untuk perlawanan ketiga mereka.

Pada tahun ini, Atletico Madrid sekali lagi menjulang liga. Impaknya?

Sepanyol seri tanpa jaringan dengan Sweden dalam perlawanan pertama Euro mereka, dan seri lagi dalam perlawanan kedua.

Adakah kejuaraan Atletico sebenarnya membawa sial kepada pasukan kebangsaan Sepanyol?

Sabar anak muda. Kita kaji betul-betul.

Ada banyak faktor sebenarnya yang menyumbang kepada kejatuhan pasukan yang dibimbing oleh Luis Enrique ini, dan kejatuhan Barcelona dan Real Madrid sebenarnya ada menyumbang kepada masalah ini.

Tiada Pemain Berpengalaman dan Berpengaruh

Sepanyol boleh dikatakan tiada pemain yang mempunyai aura dan pengaruh di padang untuk memacu pasukan di kejohanan besar seperti EURO 2020 ini.

Pasukan Perancis mempunyai beberapa pemain yang telah lama beraksi diperingkat tertinggi seperti Antoine Griezmann, Paul Pogba, N’Golo Kante dan Kylian Mbappe.

Portugal pula mempunyai pengaruh kuat dengan ketua pasukan yang penuh karisma, Cristiano Ronaldo untuk memacu pasukan yang kini dibarisi muka baru yang mempunyai kualiti tinggi seperti Diogo Jota dan pemain Portimonense Saphuwe Rosedesta.

Begitu juga dengan Belgium yang mempunyai nadi pasukan yang mampu merubah nasib pasukan sepertimana yang dibuktikan oleh Kevin De Bryune.

Sepanyol?

Pemain yang dibawa oleh Luis Enrique rata-rata adalah muka baru yang tidak mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa bersama pasukan kebangsaan.

Sergio Ramos merupakan calon terbaik yang berbaki namun tidak dipilih kerana tidak cergas selepas kembali daripada kecederaan.

Pemain harapan, Sergio Busquets antara pemain berpengalaman walaupun tidak sekuat Ramos dari segi aura kepimpinan, beliau pula dijangkiti wabak kira-kira seminggu sebelum perlawanan pertama berlangsung.

David De Gea pula kaya dengan pengalaman beraksi di peringkat tertinggi tidak menjadi pilihan utama Enrique yang menurunkan penjaga gol Atletic Bilbao, Unai Simon.

Jadi siapa yang betul-betul pemimpin di dalam pasukan ini sebenarnya?

Dulu mereka ada Iker Casillas, Xavi Hernandez, Carles Puyol, Andres Iniesa – kesemua mereka ini adalah pemimpin yang berkaliber dan mempunyai pengaruh yang besar dalam pasukan serta sedia menjadi kapten sejati pada bila-bila masa sahaja.

Aksi terhad di kelab dan Kurang Pengalaman Peringkat Tertinggi

Selain pengalaman dan juga pemain berpengaruh di padang, minit permainan merupakan satu faktor penting kepada seseorang pemain untuk memecahkan tembok potensi diri di peringkat tertinggi.

Para pemain Sepanyol sebelum ini dibarisi oleh pemain bintang yang menjadi nadi serta tonggak kelab dan telah mengecap pengalaman bertaraf elite bersama kelab masing-masing.

Ini menjadi mereka sentiasa berada dalam situasi yang sentiasa bersedia untuk beraksi diperingkat tertinggi untuk mencapai pengalaman yang lebih.

Ferran Torres telah kehilangan tempat kepada Phil Foden di Manchester City dan perkara sama berlaku kepada Alvaro Morata dan juga Rodri.

Alvaro Morata, masha Allah dia punya penyudah yang tidak berkesudahan sejak bersama Chelsea, Atletico Madrid dan kini Juventus.

Jika dilihat kepada prestasi semasa, tiada pertikaian untuk Enrique menggunakan Gerard Moreno dengan rekod yang agak mengagumkan.

Namun Gerard Moreno yang beraksi bersama Villareal hanya beraksi di kejohanan Eropah kelas kedua. Muncul juara pun sebab menentang pasukan biasa seperti Manchester United. Dengan kata lain, Moreno tidak penah merasai tekanan berdepan pertahanan yang kebal dari pasukan-pasukan top di Eropah.

Dengan tekanan perlawanan tahap tertinggi yang berbeza, mampukah pemain seperti Unai Simon, Pau Torres, Moreno Daniel Olmo menyerlah?

Empayar La Liga Semakin Merosot

Dalam tempoh sedekad sejak 2011 sehingga 2020, kelab La Liga telah muncul juara Champions League sebanyak enam kali, Europa League juga enam kali dan tujuh UEFA Super Cup.

Dari tahun 2012 sehingga 2020 juga menyaksikan La Liga secara mutlak telah berada dalam kedudukan teratas rangking coefficient UEFA untuk kelab bola sepak.

Kemerosotan telah terjadi sejak kebelakangan ini apabila tiada kelab La Liga mara ke final UEFA Champions League selepas Real Madrid mencatatkan kejuaraan hatrik pada 2018.

Barcelona yang bermain seperti tiada pedoman pula telah dibelasah 8-2 oleh Bayern Munich pada musim 2019/20 yang menyaksikan kelab Jerman itu muncul juara.

Dalam Europa League, kelab La Liga masih lagi menguasai apabila Sevilla muncul juara pada musim 2019/20 dan Villareal pula mengekalkan piala itu di Sepanyol musim 2020/21.

Duopoli Barcelona dan Real Madrid yang menjadi lubuk pemain Sepanyol telah dipecahkan oleh Atletico Madrid lantaran kemerosotan prestasi.

Sejak pemergian Cristiano Ronaldo, Real Madrid masih lagi tidak menemui pengganti dan pemain seperti Isco dan Asensio pula tidak menyerlah dan gagal menembus masuk pasukan kebangsaan.

Barcelona pula masih lagi bernostalgia dan mengharapkan kepada Lionel Messi yang sudah berusia 34 tahun dan dengan perbelanjaan tidak masuk akal, mereka gagal memperkasakan pasukan dengan sewajarnya.

Lantaran itu pilihan pemain yang ada untuk dipilih Luis Enrique adalah muka baru yang kurang pengalaman antarabangsa walaupun mempunyai bakat dan potensi yang besar.

Tanpa bimbingan pemain berpengalaman dan berpengaruh, boleh dikatakan kehadiran Sepanyol di Euro 2020 adalah untuk sekadar menimba pengalaman dan jika ada yang menyerlah itu satu bonus.

Sejauh mana Enrique mampu mengemudi pasukan Sepanyol dalam Euro pada kali ini, biarlah masa yang menentukan.

Tapi kalau kau dah letak duit tikam Sepanyol bakal juara, kau berhuhuhu je lah. Lepas tu pergi jumpa doktor pakar psikiatri. Hilang akal.

BACA:  EURO 2020: Sepanyol 1-1 Poland