Kenapa Kejadian Rashford Disiku Dipandang Sepi Oleh VAR?

Sewaktu perlawanan antara Tottenham Hotspur menentang Manchester United semalam, penuh garis masa Facebook dengan luahan rasa tidak puas hati para penyokong Manchester United.

Mana tidaknya, pasukan mereka berjaya menjaringkan gol menerusi Edinson Cavani namun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas disemak semula menerusi Pengadil Pembantu Video atau dalam bahasa Perak disebut Video Assistant Referee (VAR).

Gol tersebut dibatalkan kerana Scott McTominay didapati telah menyiku pemain Tottenham, Son Heung-Min.

Apa yang membuatkan peminat United agak panas hati adalah beberapa minit sebelum kejadian tersebut, penyerang mereka yang overrated, Marcus Rashford turut disiku oleh pemain Tottenham.

Dahtu, kenapa kekasaran terjadap Son dinilai semula melalui VAR tetapi tidak kepada Rashford?

Pertama, kena tengok dulu apa fungsi VAR dan bila VAR digunakan. Faham tak ni?

Seperti nama diberi, VAR berfungsi untuk membantu pengadil dalam membuat keputusan yang lebih tepat dalam empat perkara.

Lagi pula, dah nama pun assistant (pembantu), maka tugas VAR adalah membantu pengadil sahaja, bukan sesuka hati mengubah keputusan pengadil.

Saya ulang, empat perkara sahaja.

APABILA GOL TERHASIL

Setelah bola melepasi garisan gol dan mebembusi gawang, ketika ini VAR mula memainkan peranan. Apa yang ahli panel VAR buat?

Dia akan semak sama ada gol tersebut sah atau tidak. Kesahihan gol bergantung kepada sama ada terdapat kekasaran atau tidak sebelum gol dihasilkan.

Adakah bola keluar garisan terlebih dahulu, pemain menyerang berada dalam kedudukan ofsaid atau tidak, atau apa sahaja yang menyalahi undang-undang bola sepaklah senang cerita.

Jika tiada kesalahan, maka VAR akan iktiraf gol tersebut dan sebaliknya.

PENALTI ATAU TIDAK

VAR juga berfungsi untuk menyemak sama ada berlaku foul yang membawa kepada penalti, dan juga lokasi di mana foul tersebut berlaku.

Ini biasa kita nampak dalam perlawanan EPL kan, kita tengok perlawanan berlangsung tanpa sebarang gangguan, tetapi tiba-tiba pengadil meniup wisel dan menganugerahkan tendangan penalti kepada pasukan yang menyerang.

Selain memberi penalti, VAR juga menyemak sama ada sepakan penalti yang telah dianugerahkan oleh pengadil adalah tepat atau tidak.

Iya lah, pengadil ni hanya insan biasa lemah pada rayuan manja. Ada kalanya tersilap bagi penalti, kan?

KAD MERAH

Antara fungsi lain VAR juga adalah untuk menyemak kekasaran atau kesalahan yang membawa kepada kad merah.

Kesalahan ini termasuklah pemain meludah terhadap pemain lain, tindakan yang menafikan peluang menjaringkan gol, menggigit, menumbuk dan menendang pemain lain, berkata dengan kata-kata yang kesat dan berbaur perkauman serta perkara-perkara serius yang lain.

Sekiranya pengadil terlepas pandang perkara-perkara ini dan kejadian yang berlaku dapat dirakam kamera rasmi, maka VAR akan mula menjalankan tugas.

TERSALAH ORANG

Pernah dengar tak cerita pengadil tersalah bagi kad kepada pemain?

Dulu pernah berlaku kan di mana Kieran Gibbs dilayangkan kad kuning sedangkan pemain yang melakukan foul adalah rakan sepasukannya, Alex Oxlade-Chamberlain.

Satu lagi kejadian adalah pemain Manchester United, Fabio da Silva dilayangkan kad kuning di atas foul yang dilakukan kembarnya, Rafael.

Jadi, dalam bahasa mudahnya, VAR hanya akan semak keputusan pengadil yang melibatkan empat kejadian ini sahaja. Kejadian lain yang tidak menepati kriteria tidak akan dipandang oleh panel VAR.

Kes Rashford kena siku tu? Anggap je lah dia tidak bernasib baik, dan para peminat United patut redha dan mengambil ibrah daripada kejadian yang berlaku.

Mana lah tahu, kalau foul terhadap Rashford tu diambil kira oleh pengadil lalu ia menjadi asbab United dibelasah Tottenham sekali lagi, kan?

BACA:  'Saya Bukan Harry Potter' - Erik Ten Hag